CHEESEKUT kopi
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Menikmati manisan ringkas bersama keluarga memang cukup menyenangkan. Tambahan jika menunya mudah dan boleh dilakukan bersama anak-anak di dapur.

Tidak perlu menguli doh, memotong bahan, mengukus, menumis, merebus mahupun menggoreng. Memadai dengan menyediakan bahan ringkas seperti biskut, krim keju, bancuhan kopi 3 dalam 1, susu pekat manis dan cip coklat.

Paling penting, jangan terkejut jika hasilnya nanti menjadi lebih enak berbanding kek keju yang banyak dijual di pasaran. Selain lima bahan asas berkenaan, anda masih boleh menambah ‘aksesori’ lain seperti jem buah, kekacang, kismis, taburan keju serta pelbagai bijirin.

Bagi yang sukakan rasa berkrim, gantikan bancuhan kopi dengan susu segar perisa asli atau perisa lain yang disukai. Biskut juga boleh diselang-selikan dengan bijirin atau buah-buahan kering.

Sementara hiasan atas pula boleh digantikan dengan taburan cip coklat putih, parutan kelapa kering, keju, serbuk biskut atau dibiarkan kosong.

Sekiranya anda tidak mempunyai perancangan untuk bersiar-siar pada hujung minggu, ajak anak-anak menumpahkan kreativiti mereka dengan menghasilkan cheesekut mengikut selera masing-masing.

Perlu diingat bahawa tiada resipi yang salah atau betul dalam menghasilkan cheesekut enak, asalkan anda masih mengekalkan sukatan bahan asas yang sama.

Bahan-bahan

• 250g krim keju

• 50ml susu pekat manis

• 1/2 cawan cip coklat

• 1 cawan bancuhan kopi (suhu bilik)

• Biskut


1. SEDIAKAN semua bahan.

Cara-caranya


2. MASUKKAN krim keju bersama susu pekat manis dan adun sebati.

3. PASTIKAN bancuhan krim keju sekata dan lembut.

4. CELUPKAN biskut ke dalam bancuhan kopi.

5. LETAK sedikit bancuhan krim keju dan susun biskut.

6. LAPIS bahagian atas biskut dengan keju dan ulang langkah lima dan enam sehingga penuh.

7. SEMPURNAKAN bahagian atas cheesekut dengan taburan cip coklat. Sejukkan selama satu jam

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 12:01 AM