Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


Siapa yang tidak teruja melihat keanggunan wajah di cermin sebaik dirias jurusolek profesional. Rona pembayang mata diadun seimbang hasil campuran dua warna terang, pemerah pipi dilayang sempurna sehingga menampakkan senyuman mekar tanda hati sedang gembira. Begitu juga gincu yang menonjolkan garis senyuman menggoda.

Bagaikan tiada yang kurang bagi pasangan merpati dua sejoli tatkala melangkah menuju singgahsana pada hari bahagia mereka. Solekan disudahi dengan keseriannya manakala busana memperlihatkan keanggunan mempelai yang tiada tolok bandingnya.

Menurut jurusolek Wan Abdul Adziim Wan Jaafar, perkara pertama yang penting diberi keutamaan untuk solekan persandingan adalah pemilihan bedak asas. Ibarat membina rumah untuk mendapatkan asas yang kukuh, tapak perlu dibina teguh. Keadaan yang sama diperlukan untuk solekan.

“Bedak asas sesuai rona kulit perlu dipilih agar langkah seterusnya dalam solekan menampakkan hasil yang diimpikan. Namun mempelai tidak perlu gusar kerana jurusolek berpengalaman biasanya tahu jenis dan ton sesuai kulit. Walaupun pemilihan bedak asas nampak mudah, ketelitian adalah sangat penting. Ini kerana di pasaran terdapat pelbagai jenis bedak asas daripada jenis cecair dan padat.

“Untuk sapuan sekata, kekal tahan lama dan kurang bertompok bedak asas cecair harus menjadi pilihan untuk raja sehari. Pilih rona seakan-akan warna kulit dengan meletakkan di bahagian bawah rahang. Kemudian sapu nipis sebelum disusuli dengan bedak debu.

“Untuk bedak asas jenis cecair anda boleh menggunakan jari, span atau berus solekan kerana semuanya tetap meninggalkan kesan yang sama. Apa yang penting fungsi bedak asas itu sendiri iaitu menutupi cela keseluruhan wajah sekali gus menjadikan warna kulit sekata,” katanya.

Berpengalaman dalam bidang solekan terutama riasan wajah pengantin, jelas Adziim, selain bedak asas solekan mata juga harus diberikan perhatian sewajarnya. Ini kerana mata memainkan peranan penting bagi memperlihatkan kejelitaan mempelai. Fungsi solekan mata adalah untuk memberikan kesan lebih galak bagi si mata bundar atau mengecilkan bahagian mata sekiranya terlalu memukau. Ia diperoleh menerusi sapuan pembayang mata, celak dan juga maskara.

“Saya sering syorkan mempelai memilih rona gelap bagi yang berkulit gelap atau sawo matang manakala mereka yang berkulit cerah bebas menggunakan sebarang warna. Tetapi warna yang kekal menawan seperti campuran coklat dan biru, ungu, merah jambu atau rona perak, coklat dan keemasan adalah paling sesuai,” katanya.

Untuk bulu mata palsu pula, ia bergantung kepada jenis mata pengantin sendiri. Bagi yang mempunyai bulu mata pendek dan kurang lentik pemakaiannya mampu menampakkan keserian berganda. Namun perlu diingat ia mungkin akan membuatkan mempelai rasa kurang selesa disebabkan lekatan bulu mata pada kedua-duanya.

Berbincang dengan jurusolek terlebih dulu jenis bulu mata yang anda inginkan. Mungkin boleh membuat pilihan sama ada jenis yang sederhana, mewah atau sedikit panjang.

“Memang ada mempelai menolak untuk memakai bulu mata palsu kerana merasakan pergerakan mereka terbatas. Ia terpulang kepada pilihan masing-masing,” jelasnya.

Memberikan kesan lebih menyerlah pilih rona merah jambu untuk pemerah pipi kemudian sapu warna senada untuk gincu dan pengilat bibir. Tidak lengkap penampilan tanpa busana mewah yang memperlihatkan keanggunan raja sehari. Pemilihan gaun dengan perincian ropol pada bahagian dada menandakan kesempurnaan gaya yang ditunggu-tunggu tetamu dan juga saudara-mara.

Tip solekan tahan lama:

1 . Biarkan pelembap meresap

Bersanding dalam tempoh yang lama sekurang-kurangnya tiga jam dengan perlu melayan tetamu pastinya membuatkan mempelai gusar memikirkan solekan yang akan hilang serinya. Di sinilah pentingnya teknik solekan yang mampu membuatkan solekan terutama bedak asas tahan lebih lama. Apa yang perlu dilakukan biarkan sapuan pelembap meresap terlebih dulu ke dalam kulit sebelum anda memakai bedak asas. Biarkan sekitar 15 minit, sehingga pelembap meresap sempurna. Jika anda memiliki jenis kulit berminyak, kurangkan penggunaan pelembap di zon-T kerana ia adalah cara terbaik untuk memastikan anda tidak berlebihan menggunakan pelembap di wajah.

2 . Pakai bedak asas

Penggunaan bedak asas sememangnya membantu membuatkan mekap kelihatan lebih sempurna. Pilih bedak asas cecair jenis matte kerana ia paling baik dan tidak berkilat. Kesannya ia membuatkan solekan tahan lebih lama. Selain itu anda juga boleh menggunakan bedak asas jenis mineral yang susah luntur. Gunakan span bersih atau jari untuk menyapu bedak asas pada kulit muka bagi mendapatkan hasil yang lebih sempurna dan mekap tahan lama.

3. Teknik memakai bedak

Ramai tidak tahu teknik memakai bedak mampu membuatkan solekan tahan lebih lama. Caranya selain sapuan ke seluruh wajah pilih bahagian zon-T yang dikatakan mudah berminyak kemudian sapu lebihan bedak pada bahagian itu.


1. PILIH bedak asas jenis cecair untuk sapuan sekata. Sapu ke seluruh wajah termasuk leher.

2. GUNA dua jenis rona pembayang mata, coklat keemasan digabungkan dengan ungu.

3. UNTUK menjadikan mata galak bersinar, sapu celak pada bahagian bawah mata.

4. GUNA bedak asas untuk membuat bayangan pada hidung.

5. BENTUKKAN alis menggunakan celak.

6. GUNAKAN pemerah pipi merah jambu untuk tampil lebih berseri.

7. SAPUAN gincu merah jambu dan pengilat bibir menyudahkan solekan raja sehari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2017 @ 2:57 PM