LAMAN kebun yang diusahakan sering menerima kunjungan orang ramai.
Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Pada penghujung 2013, Semaon Mustafa, 48, memulakan kerja pembersihan tanah lapang yang dijadikan tempat pembuangan sampah oleh penduduk taman di kediamannya.

Hampir dua bulan dia membersihkan sampah yang dibuang di situ hanya menggunakan cangkul sebelum menukar penggunaan kawasan berkenaan menjadi laman kebun.

Sejak itu, dia yang menetap di Kuantan, Pahang sentiasa memastikan kebun diusahakan berdekatan Sungai Kuantan itu sentiasa bersih dan terjaga.

“Asal kawasan kebun ini adalah tempat pembuangan sampah yang menyakitkan pandangan apatah lagi ia kawasan pinggiran perumahan dan tanah rizab terbiar.

“Rutin saya setiap pagi dan petang adalah mencangkul, membersihkan kawasan sekitar, membuat semaian anak pokok dan membaja jika mempunyai masa lapang.

“Sebelum mengusahakan kebun, saya menetap dan bekerja di Kuala Lumpur dari 1993 hingga 2012 dan ambil keputusan balik Kuantan untuk bekerja sendiri dengan berkebun.

“Bagi saya berkebun tidak terikat dengan komitmen lain, malah latar belakang keluarga juga berasal daripada keluarga petani. Abang dan adik saya juga mengusahakan tanaman fertigasi dan disebabkan itu apabila dapat menuai hasilnya ia amat menggembirakan kami sekeluarga,” katanya.


SEMAON bersama hasil pisang yang ditanam.

Ujarnya, apabila tamat jangka hayat pokok yang ditanam, dia akan menggantikan dengan tanaman lain. Tanaman yang diusahakan adalah secara bergilir-gilir mengikut kesesuaian seperti pisang, betik, jagung, ubi kayu, tebu, rozel dan cili.

Ada juga sayuran yang ditanam seperti kubis, bayam, terung, beberapa jenis pokok kacang. Antaranya, kacang panjang dan buncis, malah hampir 30 peratus laman kebun itu juga ditanam dengan pelbagai jenis pokok bunga.

Selain itu, ada juga tanaman pokok tebu telur yang boleh dimasak gulai kari, lemak atau tempoyak, namun ia hanya boleh dimakan di bahagian telurnya saja.

Menariknya, isteri dan anak juga turun padang untuk membantu membersihkan laman kebun yang diusahakannya itu. Bukan hanya mengusahakan tanaman, dia juga menghias laman kebun itu dengan kolam mini sebagai terapi mata.

“Biarpun laman kebun ini tidak luas, saya puas apabila dapat melihat laman kebun yang sentiasa bersih terutama ketika waktu menuai.

“Ia sekali gus menghilangkan rasa penat tambahan pula ia menjadi tempat sahabat dan rakan Facebook berkumpul, melawat sambil membeli anak benih yang ada.

“Pada masa sama, saya dapat mengubah tempat pembuangan sampah kepada laman kebun yang mendatangkan hasil dan sentiasa bersih.

“Ia sedikit sebanyak dapat memberi kesedaran kepada penduduk taman agar mereka menghargai alam sekitar dan bumi selain menyayangi keindahan tempat tinggal,” katanya.


KAWASAN laman kebun yang diusahakan Semaon.

Selain orang ramai datang melawat, dia juga gembira apabila ada juga kucing terbiar dari taman perumahan yang datang setiap hari bermain apabila kawasan itu mula bersih.

Bukan hanya memberi kesedaran kepada penduduk taman, malah dia juga banyak berkongsi ilmu mengenai kebun dengan rakan di alam maya melalui Facebook dan WhatsApp seperti Group Kebun Kampung Tanam Teknik Sendiri (KGTTS) serta Pekebun Koboi Moden.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2017 @ 12:02 AM