ANTARA program dijalankan.
HM Digital

Berpeluang membawa anak tersayang ke tempat kerja pasti menggembirakan dan sedikit sebanyak mengurangkan tekanan di tempat kerja.

GlaxoSmithKline (GSK) syarikat penjagaan kesihatan pengguna baru-baru ini memberi peluang kepada kakitangannya membawa anak ke tempat kerja yang juga menjadi satu langkah boleh memberi manfaat kepada pekerja dan keluarga.

GSK menerima kunjungan anak kakitangannya buat tahun kedua berturut-turut sempena pembabitan syarikat dalam sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia yang menyaksikan lebih daripada 70 anak kakitangan GSK dibawa menyelami dunia Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Dengan tema ‘Hari Penerokaan STEM GSK’, kanak-kanak itu diberi peluang untuk mengikut ibu bapa mereka ke tempat kerja dan menerima maklumat mengenai tugasan kerja dilakukan.

Kumpulan tetamu kecil itu juga melakukan pelbagai aktiviti berkaitan STEM yang dianjurkan sepanjang hari.

Pengarah Saluran, Perdagangan Moden GSK Consumer Healthcare Sdn Bhd Dhanic Mae Dumo berkata, anak sering bertanyakan soalan seperti apakah yang dilakukan ayah dan ibu di pejabat.

“Menerusi program ini, mereka berpeluang untuk merasai dan mengalami sendiri suasana bekerja, sambil memupuk sifat ingin tahu dalam dunia STEM.

“Sebagai syarikat penjagaan kesihatan global berpandukan sains, GSK komited untuk menerajui inovasi dan kecemerlangan saintifik. Melalui penganjuran Hari Penerokaan STEM, kami berharap dapat mendorong anak meneroka dan menerajui bidang ini sama ada dalam dunia akademik atau sebagai kerjaya,” katanya.

Menurutnya, dengan nilai yang diterapkan di tempat kerja yang merangkumi rasa hormat dan integriti, ia diharap dapat menjadi nilai positif untuk dicontohi oleh generasi pelapis itu.

“Menerusi inisiatif berterusan menganjurkan program ini, kami bertekad untuk meneruskan usaha membina dan mengekalkan pembangunan masyarakat secara dalaman dengan mengimbangi tuntutan keluarga dan kerja.

“Kami berharap program ini akan mewujudkan generasi kakitangan GSK yang lebih bestari pada masa hadapan dan dalam masa menggembirakan hati pekerja dan anak-anak,” ujarnya.

Katanya, kanak-kanak itu dibahagikan kepada beberapa pasukan dan ditugaskan untuk menyempurnakan aktiviti dirancang khas yang membawa mereka ke dalam dunia STEM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2017 @ 5:56 AM