PUNCAK gunung yang ditawan.
BERDEPAN suhu ekstrem tidak menggugat ketahanan Rizal.
PENGEMBARAAN membawanya melihat alam yang lebih meluas.
PENGEMBARAAN membawanya melihat alam yang lebih meluas.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Pengalaman berdepan detik mencemaskan hingga nyaris mati lemas ketika berusia lima tahun menjadikan figura ini fobia terhadap air hingga seluruh usia remajanya tidak pernah berpeluang mengikuti aktiviti berkaitan air.

Jika kebanyakan remaja seusianya ketika itu menikmati keseronokan bermandi-manda di sungai, laut mahupun kolam renang, Mohd Khairizal Mohd Khalif, 42, hanya mampu menyendiri di tepi dek perasaan takut dan panik yang menebal dalam dirinya.

Mohd Khairizal atau lebih mesra dipanggil Rizal mengakui, bukan mudah untuknya mengatasi ketakutan itu bahkan tidak pernah sekalipun terdetik untuk menyertai aktiviti sukan air ekstrem seperti rakit meredah jeram.

Meskipun pelbagai aktiviti lasak lain seperti mendaki gunung, meredah hutan mahupun mengembara seorang diri di negara asing mampu dikuasainya, aktiviti air tidak pernah termasuk dalam senarai cabarannya.

Mengakui seorang yang amat gemarkan cabaran, lulusan dari Universiti De Monte Fort, United Kingdom dalam bidang Pengurusan Estet ini berkata, pada usianya 30 tahun baru mula terfikir sampai bila dia harus membiarkan dirinya diselubungi rasa fobia terhadap air.

“Seolah-olah tepat pada masanya, rakan mengajak mengikuti aktiviti rakit meredah jeram dan reaksi pertama saya tentu sekali ini adalah kerja gila. Pada masa sama saya mula terfikir saya perlu lakukan sesuatu untuk mengatasi rasa takut itu.

“Lagipun, saya tidak mahu lagi terus ditertawakan rakan sejak kecil kerana takut air. Saya akhirnya bersetuju dan memberanikan diri untuk mencuba walaupun ketika itu tidak dapat dibayangkan bagaimana saya mengawal rasa panik ketika berada dalam air.

“Saya kuatkan mental kerana saya benar-benar mahu atasi dan hilangkan rasa takut pada air. Sejak itu, minat terhadap aktiviti ini bercambah hinggakan saya buat keputusan untuk belajar menjadi jurupandu rakit meredah jeram.

“Hendak menjadi jurupandu juga bukan mudah kerana ketika itu, tidak ramai orang Melayu yang menjadi jurupandu, kebanyakannya masyarakat Orang Asli. Bukan mudah untuk mereka menerima saya, tetapi berkat kesabaran dan sikap tidak berputus asa, saya berjaya mempelajari teknik dan kemahiran. Ilmu yang cukup berharga dari mereka,” katanya yang kini sudah 11 tahun menjadi jurupandu sukan air itu.

FOBIA BERGANTI SUKA

Kesungguhan bapa kepada lima cahaya mata itu mengatasi ketakutannya membuktikan tiada yang mustahil untuk dilakukan jika ada kesungguhan dan tekad mencabar diri.

Malah, daripada seorang yang takut air, Rizal membuktikan sebaliknya apabila dia turut menyertai pelbagai pertandingan rakit redah jeram di peringkat antarabangsa.

Sejak itu, aktiviti rakit meredah jeram menjadi aktiviti mingguannya untuk menghilangkan tekanan kerja, malah dari situ juga dia dapat membina rangkaian bersama ramai individu yang menggemari sukan lasak.

Menurut Rizal, membesar sebagai anak polis hutan di Ulu Kinta, Perak, mengajarnya erti berdikari berikutan ketika itu bapanya kerap masuk hutan melawan komunis dan mengawal sempadan.

Ibunya pula berniaga kecil-kecilan untuk menambah pendapatan keluarga dan sering tiada di rumah pada waktu siang, jadi dia bersama kakaknya ketika itu sudah terbiasa membuat kerja rumah ketika dirinya hanya berusia lapan tahun.

Bercerita mengenai aktiviti mendaki, menurutnya, dia bukan pendaki tegar sebaliknya aktiviti itu antara yang menarik minatnya untuk dicuba dan mencabar dirinya sama ada dia boleh sampai ke puncak.

“Di belakang rumah saya terletaknya Gunung Korbu, gunung kedua tertinggi di Semenanjung. Jadi, dari kecil saya sudah biasa dengan persekitaran hutan dan gunung.

“Tapi hendak kata saya pendaki gunung tegar tidak juga. Namun saya suka mencuba aktiviti yang mencabar diri. Jadi apabila ada yang mencadangkan, saya akan cuba dan sejujurnya, kadang-kadang saya lakukan tanpa sebarang latihan.

“Pada umur 19 tahun saya naik Gunung Korbu dan Ledang buat pertama kali dan selepas itu berhenti kerana melanjutkan pengajian di luar negara hingga 15 tahun kemudian baru saya mendaki Gunung Kinabalu,” katanya.

Rizal berkata, ketika itu juga Gunung Rinjani di Indonesia mula popular dalam kalangan pendaki dan dia tergerak untuk mencubanya. Mengakui laluannya lebih sukar dan mencabar berbanding Gunung Kinabalu, dia tetap meneruskannya hingga sampai ke puncak.

Selepas itu, banyak gunung di negara itu ditawannya, antaranya empat daripada tujuh puncak gunung di Indonesia yang turut terkenal di peringkat antarabangsa iaitu Gunung Rinjani, Gunung Semeru, Gunung Kerinci dan Gunung Latimojong.

MAHU TERUS CABAR DIRI

Rizal yang juga memegang jawatan sebagai Ketua Pentadbiran dan Harta Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) berkata, minatnya untuk mencuba perkara baru turut membawanya menyertai kumpulan bermotosikal berkuasa tinggi pada umur 37 tahun.

Tidak seperti kebanyakan kaum Adam lain, dia hanya belajar menunggang motosikal pada usia lewat 30-an dan kini sudah menunggang ribuan batu di Asia Tenggara hingga sempadan China.

“Pengalaman banyak mengajar saya mengenai kehidupan. Sejak kecil saya sudah berdikari dan tidak suka menyusahkan ibu bapa sebaliknya saya lebih gemar mencari duit sendiri.

“Sebelum saya melanjutkan pengajian, saya bekerja di tiga lokasi berbeza setiap hari dari jam 7 pagi hingga 12 tengah malam di hotel, kedai sukan dan restoran piza bagi mendapatkan wang untuk menampung kos ke luar negara.

“Di universiti, saya bekerja di kilang pada waktu malam dan ke kuliah pengajian pada siangnya. Ketika cuti musim panas, sementara ramai rakan sekampus melancong ke Eropah, saya pula terus bekerja dengan syif 12 jam selama empat hari dan kerja lebih masa pada hari minggu untuk menampung pengajian di sana.

“Malangnya, saya tamat pengajian ketika krisis ekonomi pada 1997/1998 dan terpaksa menerima pekerjaan dengan gaji kasar RM800 di Johor Bahru. Alhamdulillah perjalanan kerjaya saya selepas itu terus bersinar di sebuah bank dan kini berkhidmat di syarikat penerbangan,” katanya.

Menurut Rizal, dia kini mahu terus mencabar diri dengan pelbagai aktiviti ekstrem lain dan terkini dia berhasrat mewakili negara dalam Ekspedisi Fjallraven Polar di Artik 2018.

Ekspedisi yang dianjurkan sejak 1997 itu bakal memilih 20 peserta dari seluruh dunia yang dibahagikan kepada 10 wilayah untuk menyertai cabaran di Artik selama seminggu.

Katanya, penyertaannya sebagai Muslim dalam ekspedisi itu juga secara tidak langsung membolehkannya mendalami pelbagai isu berkaitan orang Islam seperti solat, wuduk, waktu solat dan samak.

“Oleh itu, pengalaman ini yang saya dapat kongsikan bersama rakyat Malaysia sekiranya terpilih. Saya pernah mengembara ke Mongolia dan mendaki Pergunungan Altay yang mana suhu di kawasan itu mencecah -25 darjah Celsius.

“Penyertaan ke ekspedisi ini memerlukan peserta yang kuat dari segi mental dan fizikal kerana mereka bakal berdepan suhu ekstrem berserta cabaran mengendalikan anjing Huskies dan pelbagai halangan lain,” katanya.

Rizal berkata, semua aktiviti mencabar yang dilakukan semata-mata kerana mahu memberi inspirasi kepada orang lain untuk sentiasa mengejar impian dan berusaha mendapatkannya.

Katanya, dia mahu setiap orang terutama generasi muda menikmati alam sekitar melalui aktiviti seumpama ini supaya mereka lebih menghargai dan menjaganya.

“Usia juga bukan penghalang untuk melakukan apa yang kita mahukan dalam hidup. Seperti saya juga mula aktif dengan aktiviti lasak ketika awal 30-an, jadi tiada istilah terlambat untuk mencuba perkara baru yang menjadi impian kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2017 @ 5:35 AM