Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Sista bukan topik baru, tetapi kehadirannya menyebabkan kebimbangan wanita. Walaupun bukan penyakit yang membimbangkan, namun jika saiznya semakin membesar, ia boleh memberi komplikasi pada kemudian hari kepada pesakit, sekali gus menyebabkan rasa tidak selesa.

Menurut Pakar Kesuburan, Perbidanan dan Sakit Puan (O&G) Pusat Perubatan Tropicana, Dr Nurhazinat Mohamed Yunus, sista kerap dijumpai pada ovari dalam kalangan wanita pada usia reproduktif.

“Walaupun sista tidak berbahaya dan ketumbuhan bukan kanser, ia boleh memudaratkan pesakit jika saiznya semakin membesar, berpusing atau menyebab­kan individu itu kurang menerima bekalan darah.

“Ia boleh menyebabkan rasa sakit dan ketidakselesaan pada perut. Jika saiznya menjadi lebih besar sehingga melebihi enam sentimeter, ia boleh mengganggu kitaran haid menjadi tidak teratur.

“Walaupun tidak bahaya, namun oleh kerana ia boleh memudaratkan, pesakit disarankan merawat sista apabila ia membesar melebihi empat sentimeter. Bagi mengelakkan komplikasi pada kemudian hari dan mengenal pasti ia bukan dalam kategori kanser, sista perlu dibuang melalui prosedur pembedahan.

“Ini kerana kanser juga ada kalanya boleh menyerupai sista. Disebabkan itu, tisu daripada sista yang dibuang akan dihantar ke makmal untuk diuji bagi menentukan ia bukan kanser,” katanya.

Jelasnya, sista ovari adalah satu kantung atau karung berisi cairan berbentuk lendir, air atau darah yang berada di dalam kilang telur.

Ia boleh membesar tanpa disedari. Cairan di dalam sista (atau kantung) dihasilkan sel aktif atau tidak normal yang membentuk sista berkenaan di dalam kilang telur (ovari).

Dianggarkan 60 hingga 70 peratus kes sista ovari tidak disedari kerana tidak menunjukkan gejala dan dikesan secara tidak sengaja. Hanya 30 hingga 40 peratus boleh dikesan melalui simptom seperti sakit perut ketika haid atau kitaran haid tidak teratur.

Ia boleh dirasai apabila saiznya membesar hingga lebih kepada empat sentimeter yang menyebabkannya menekan usus di dalam perut, mengakibatkan sakit, sembelit atau ketidakselesaan.

Sista mengambil masa lama dan puncanya tidak diketahui. Lendir atau cecair seperti air atau lendir dipanggil sista biasa. Ada juga sista yang lebih kompleks mempunyai lendiran yang likat, darah atau bahagian pejal dan keras.

Jenis sista

Antara jenis sista yang biasa terjadi adalah:

1. Sista biasa - Ia terjadi apabila folikel besar pada ovari yang terus-menerus membesar selepas telur dilepaskan daripada ovari. Sista jenis ini paling biasa ditemui. Ia akan hilang dengan sendirinya selepas beberapa bulan.

2. Endometriosis - Adakalanya sista ovari adalah jenis endometriosis (penyakit senggugut) ataupun ketumbuhan yang kebanyakannya ialah benigna (bukan kanser). Sista jenis ini memerlukan rawatan sama ada secara memakan ubat atau pembedahan.

Sista ini mengandungi darah pekat lama yang dinamakan sista coklat kerana rupanya yang seakan-akan coklat masakan. Penyakit ini biasa akan menyebabkan pembentukan parut dan lekatan pada organ pelvis.

3. Sista dermoid - Ia terjadi daripada sel yang menghasilkan telur pada ovari, kadangkala bercampur dengan tisu rambut, lemak dan rawan. Ia adalah sista yang dibawa sejak kecil dan kadang kala kehadirannya tidak disedari melainkan saiznya yang sudah membesar seiring dengan pertambahan usia. Kemungkinan ia boleh disedari melalui tanda seperti kitaran haid yang tidak teratur, sakit atau menjumpai bengkak di bahagian perut.

4. Sista folikel - Ia berbentuk cecair tidak berwarna dan berasal daripada sel karung telur sendiri yang tidak memberi gerak balas kepada hormon kitaran haid dan saiznya boleh membesar tanpa surut.

Hampir semua sista ovari yang berlaku sebelum usia menopaus adalah tidak berbahaya. Kanser ovari sebelum usia menopaus juga adalah sangat jarang berlaku.

Tidak jejas kesuburan

Selain itu, sista juga tidak menyebabkan wanita sukar hamil kecuali jika jenis sista yang dialami adalah dalam kategori endometriosis. Begitupun, pemeriksaan rapi perlu dilakukan bagi menentukan jenis sista dan punca mereka tidak boleh mengandung.

“Kebanyakan wanita mempunyai pelbagai perancangan dan jika merancang untuk hamil, mereka disarankan untuk membuang sista yang terdapat dalam kilang telur sebelum mengandung bagi mengelakkan risiko kepada kandungan.

“Misalnya, jika perut sakit disebabkan sista ketika mengandung, ia sukar untuk dirawat dan jika melakukan pembedahan juga ada risikonya tersendiri seperti kelahiran pramatang, keguguran atau kesan kepada anak.

“Ada juga wanita yang merancang untuk menjarakkan kehamilan dan ada kaedah itu menggunakan hormon tertentu seperti estrogen. Hormon boleh mempengaruhi sista dan menggalakkannya semakin membesar,” katanya.

Makanan tambahan atau hormon tidak menggalakkan pertumbuhan sista tetapi boleh merangsang bengkak sekiranya sudah memiliki sista. Sista yang melebihi empat sentimeter sukar untuk dirawat menggunakan ubat kecuali dengan pembedahan untuk membuangnya.

Namun, ada sesetengah kes, ia boleh dikawal menggunakan ubat-ubatan khususnya bagi pesakit yang berisiko untuk dibedah. Contohnya, wanita yang mempunyai sejarah pembedahan berulang kali, mempunyai masalah obesiti atau sakit jantung.

“Tidak ada makanan khusus untuk menjaga kesihatan kilang telur. Secara umumnya, pemakanan sihat, berat badan yang sepatutnya dan mengurangkan pengambilan ubat-ubatan atau makanan tambahan yang tidak dapat dipastikan kandungannya, akan mengurangkan risiko untuk mendapat sista ovari.

“Kita hendaklah berhati-hati, terutama pengambilan makanan ringan atau makanan mengandungi bahan kimia secara keterlaluan kerana ia boleh merosakkan sel dalam kilang telur dan berkemungkinan menggalakkan kembali pertumbuhan sista,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 1:54 PM