MEMBERI kesan menarik dalam gaya.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Tidak lengkap rasanya sepasang busana tanpa dipadankan sepatu pilihan yang cantik dan memberi keselesaan ketika disarung.

Ada yang memilih kasut bertumit kerana inginkan penampilan lebih tinggi dan elegan tidak kurang pula yang gemarkan kasut bertutup atau tapak rata untuk memudahkan pergerakan.

Apa juga pilihan anda, kasut antara keperluan dan ia bukan sekadar memenuhi tuntutan fesyen semata-mata.

Menyediakan pilihan kepada wanita dalam memilih kasut digemari, jenama Thecalashoes tampil dengan koleksi kasut yang memberi keselesaan kepada pemakainya.

Diusahakan Hazwan Faiz Abd Rahim dan Badruzzaman Zakarya, koleksi terbaru Milla by Thecalashoes mempunyai rekaan agak ranggi juga feminin bagi memberi pilihan kepada pelanggan.


BERGAYA dengan koleksi kasut selesa.

Menurut Hazwan Faiz, pihaknya menjanjikan keselesaan supaya pelanggan tetap selesa walaupun memakai kasut bertumit tinggi.

“Bahagian dalam kasut yang lembut memberi sokongan lebih baik kepada kaki. Untuk aspek keselamatan, tapak kasut dilapik dengan getah penahan bagi mengelakkan kemungkinan atau risiko tergelincir sekiranya berjalan di permukaan yang licin atau basah,” katanya.

Hazwan Faiz berkata, paling utama material yang digunakan sangat mudah dijaga walaupun terkena kekotoran pada bahagian luar.

“Harga yang ditawarkan juga berpatutan iaitu serendah RM50 sehingga RM100 ke atas.

“Buat masa ini, kami hanya memfokuskan kepada saiz bermula 36 hingga 41 dan bercadang menambah saiz pada masa akan datang,” katanya.


MELENGKAPKAN gaya pemakai.

Tambahnya, rekaan setiap koleksi Thecalashoes kebanyakannya tidak diulang pengeluarannya semula sekiranya habis stok bagi mengekalkan ciri eksklusif.

“Sebelum ini, kami menyasarkan pelanggan remaja, namun kini rekaan semakin meluas dan sesuai digayakan pada usia 35 tahun dan ke atas.

“Selain memenuhi selera pelanggan, kasut ini direka dengan ciri yang dicari ramai wanita bertudung kerana ia menutup kaki sebaik-baiknya bagi menjaga aurat mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2017 @ 9:38 AM