JURUMEKAP menunjukkan cara gunakan alat solekan.
HM Digital

Produk kecantikan Korea Selatan terus mencipta fenomena luar biasa sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan banyak produk yang lahir di negara berkenaan menjadi kegilaan di setiap pelosok dunia malah ada antaranya sudah menandingi jenama antarabangsa.

Dipelopori oleh fenomena K-pop, pengaruh K-kecantikan semakin berleluasa. Menurut kaji selidik pada 2013 oleh Pertubuhan Pelancongan Korea, lebih 50 peratus daripada pengunjung asing ke negara itu membeli produk kosmetik Korea.

Amorepacific, antara syarikat penjagaan kulit dan kosmetik gergasi di negara itu terus mencipta revolusi kecantikan di Asia Tenggara dengan pelbagai pembaharuan dan inovasi.

Menyingkap wawasan syarikat itu mengenai kehidupan seharian yang berubah dengan inovasi kecantikannya, Amorepacific baru-baru ini mengumpulkan media dari Malaysia, Singapura, Thailand, Vietnam dan Indonesia menerusi program Journey to Beauty Innnovation di Kota Kinabalu, Sabah.

Program dua hari itu turut mengetengahkan perjalanan syarikat terbabit yang lebih 70 tahun mengubah sejarah kecantikan untuk pengguna di seluruh dunia.

Intipati inovasi Amorepacific adalah untuk mengubah kehidupan kecantikan setiap hari secara bermakna dengan contoh utama bagaimana syarikat itu menjadi pelopor dalam kajian botani Asia.

Amorepacific membangunkan kosmetik teh hijau pertama dan ginseng (ABC Ginseng Cream pada 1966 dan Miro, jenama teh hijau pada 1989), menandakan permulaan trend kecantikan semula jadi yang kini popular dalam kalangan pengguna di seluruh dunia.

Malah ia juga mempopularkan kategori utama K-kecantikan seperti Boosting Serum, Sleeping Masks dan kosmetik Cushion. Mengenai cushion, 75 peratus wanita Korea mengakui penggunaan produk itu memudahkan dan mempercepatkan rutin solek mereka menerusi tinjauan pada 2015.

Inovasi kecantikan syarikat itu tidak berhenti dengan penciptaan produk baru. Ia juga berusaha menghasilkan penyelesaian kecantikan dan rutin yang boleh dinikmati oleh pengguna setiap hari.

Syarikat itu turut mendedikasikan dirinya lebih jauh ke dalam kehidupan harian pengguna di pasaran kecantikan luas ASEAN, apabila terdapat banyak lagi kejayaan yang boleh diraih dan potensi untuk berkembang.

Ketua Ibu Pejabat Amorepacific Serantau ASEAN Robin Na berkata, syarikat itu sudah menjadi sebahagian daripada pasaran menarik ini selama hampir 20 tahun, berkembang bersama pelanggan tempatan.

Ia kini beroperasi di Singapura, Malaysia, Thailand, Vietnam dan Indonesia, memberi tumpuan kepada lima jenama globalnya, Sulwhasoo, Laneige, Mamonde, Etude House dan Innisfree.

“Misi kami adalah untuk menyampaikan ‘kecantikan Asia’ yang dapat dijelaskan sebagai kecantikan holistik dengan mencari keindahan dalam dan luar.

“Seperti yang anda ketahui, semua produk kami mengikuti falsafah kecantikan Asia. Untuk menjelaskan dengan lebih mudah, Sleeping Masks membolehkan tidur berkualiti tinggi yang meningkatkan sistem pembersihan kulit semasa tidur, Boosting Serum menguatkan asas kulit sebelum penjagaan kulit anda, produk berasaskan ginseng, teh hijau dan kekacang pula menyampaikan manfaat alam semula jadi kepada kulit dan formula cushion yang memberikan manfaat penjagaan kulit sebagai tambahan kepada liputan.

“Semua ini adalah contoh penyelesaian kecantikan holistik kami untuk kesejahteraan pelanggan yang melangkaui kecantikan luaran. Penyelesaian kecantikan holistik yang berpusat di Asia inilah membezakan kami daripada jenama lain serta trend khusus yang diharap dapat disebar ke seluruh dunia,” katanya pada sesi soal jawab bersama media. Hadir sama Pengarah Pusat Inovasi dan Kajian Amorepacific Singapura Yunha Lee; Penyelidik Cushion Amorepacific Hajin Jung dan Penyelidik Bahan Amorepacific Junseong Park.

Ikuti sesi soal jawab bersama Hajin dan Junseong mengenai bahan warisan dan inovasi produk cushion Amorepacific.

SOALAN (S): Apakah keutamaan atau cabaran untuk penyelidikan cushion, terutama untuk ASEAN?

JAWAPAN (J): Kami membangunkan produk cushion pertama pada 2008 berlandaskan keperluan pelanggan Korea pada masa itu. Begitu juga, apabila mula mengeksportnya pada 2011 - kami menyedari pelanggan global mempunyai harapan yang berbeza. Sebagai contoh, produk cushion tahan lama yang mungkin dikenali sebagai yang terbaik di Korea mungkin tidak memenuhi jangkaan pelanggan ASEAN disebabkan oleh iklim serantau dan juga perbezaan budaya kecantikan.

Itulah sebabnya kami kini memberi tumpuan kepada kajian pelanggan tempatan ASEAN; untuk memperkenalkan pelbagai produk khusus dengan keperluan mereka. Kami cuba memahami keperluan pelanggan tempatan yang berbeza ketika membangunkan produk.

S: Veganisme semakin popular dalam penghasilan produk kecantikan, adakah sebarang rancangan menghasilkan produk vegan bagi kedua-dua penjagaan kulit dan kosmetik?

J: Kebanyakan produk kami sudah mengandungi bahan aktif yang berasal daripada bahan semula jadi. Kami juga sentiasa berusaha mengekstrak bahan aktif lain daripada bahan semula jadi untuk menggunakannya dalam produk syarikat, oleh itu kami sememangnya memenuhi keperluan vegan dan merancang terus melakukannya.

S: Selain cushion biasa, apa jenis lain yang diterima oleh pengguna ASEAN?

J: Cushion kompak paling sesuai dengan jenis kulit anda. Negara ASEAN mempunyai kelembapan dan suhu yang lebih tinggi. Berbanding pelanggan Korea, pelanggan ASEAN memilih cushion yang mempunyai kemasan serbuk dan matte. Oleh itu, kami berusaha untuk mengembangkan dan memperluaskan jenis cushion matte sejak mula menawarkan jenis kawalan liang Laneige BB. Baru-baru ini, kami mengeluarkan satu produk baru, Laneige Powder Fit Cushion untuk solekan matte lebih mudah dan cepat, yang diterima dengan baik di pasaran.

S: Sebagai pengguna, bagaimana kita mengenal pasti antara cushion yang baik dan buruk?

J: Bagi saya, apabila bercakap mengenai kosmetik, ia bukan sekadar mengenal pasti baik atau buruk, tetapi mencari produk yang tepat untuk jenis kulit anda. Seperti yang saya katakan sebelum ini, pelanggan ASEAN cenderung memilih produk cushion yang mempunyai kesan kawalan liang dan kemasan ‘matte’ terutamanya kerana cuaca panas, berbeza pelanggan Korea yang lebih suka produk pelembap jenis ‘dewy’.

S: Terangkan mengenai eksklusiviti bahan warisan Amorepacific dan bagaimana ia membantu dalam keberkesanan produk? Selain itu, apakah kepekatan kandungan ramuan dalam produk?

J: Kami percaya kualiti bahan warisan yang dimasukkan ke dalam produk adalah jauh lebih penting daripada kuantiti. Sebagai contoh, walaupun produk mempunyai kandungan kepekatan tinggi, ia tidak akan berguna jika ramuannya tidak stabil atau tidak dapat menyampaikan kesannya dengan cekap. Itulah sebabnya kami mengembangkan teknologi penstabilan, pengangkut dan perumusan untuk menyediakan bahan warisan kepada pelanggan. Ini bukan saja sesuai untuk penjagaan kulit, tetapi juga produk kosmetik lain. -Yusliza Yakimir Abd Talib

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 1:23 PM