MEER Habib bersama model yang menggayakan koleksi terbaru Kumpulan Habib.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Minggu lalu ruang legar The Curve Damansara berseri dengan kemilau koleksi barang kemas Habib sempena Pameran dan Jualan Kumpulan Habib. Majlis diadakan buat julung kali itu berlangsung enam hari berturut-turut.

Ia bakal dijadikan tarikan baru dalam kalendar tahunan Habib apabila pelanggan boleh melihat sendiri koleksi koleksi terbaru setiap jenama di bawahnya iaitu Pandora, Ice-Watch dan Hearts on Fire.

Bertepatan kedatangan cuti hujung tahun dan sambutan Krismas, pameran dan jualan itu menjadi tumpuan mereka yang mahu mendapatkan hadiah istimewa buat insan tersayang.

Majlis peragaan koleksi bagi keempat-empat jenama kemudian dirasmikan Pengarah Urusan Habib Datuk Seri Meer Habib. Beliau diiringi isteri yang juga Pengarah Eksekutif Habib Datin Seri Zarida Noordin.

Tahun ini, Pameran dan Jualan Kumpulan Habib menampilkan sesi Spend n’ Spin yang menawarkan hadiah bernilai sehingga RM30,000 bagi setiap pusingan. Hadiah merangkumi loket berlian dan rantai mutiara bernilai RM8,000 setiap satu.


MODEL menggayakan koleksi Kumpulan Habib pada Pameran dan Jualan di The Curve Damansara.

Menurut Meer Habib, jualan dan pameran itu diperkenalkan sebagai simbolik menyambut kedatangan tahun baru serta meraikan ikatan yang bakal terjalin sepanjang November hingga Disember depan.

“Ini adalah satu-satunya peluang untuk pelanggan mendapatkan barang kemas idaman mereka, di bawah satu bumbung, pada harga runtuh. Kami akan adakan jualan sebegini sekali dalam setahun, di sini.

“Kami percaya, hujung tahun adalah waktu penting untuk kami perkenalkan koleksi pengantin, khusus untuk pasangan mempelai yang akan melangsungkan perkahwinan.

“Bagi sesetengah orang, tempoh sebegini bukan saja istimewa buat pasangan pengantin mendapatkan apa yang mereka mahu, malah juga ibu mentua. Untuk itu, kami menghargai sokongan setiap pelanggan terhadap Habib dan mahu mereka menikmati ganjaran harga serta pengalaman indah sepanjang berbelanja bersama kami,” katanya.

Khusus buat bakal pengantin, Habib menawarkan koleksi perkahwinan terbaru yang menampilkan padanan emas kuning dan putih 18K bersama berlian, merangkumi cincin tanda, tunang, kahwin dan set hantaran.


KOLEKSI perkahwinan Kumpulan Habib.

“Kami di sini sebenarnya tergolong dalam kalangan bijak berbelanja. Bagi masyarakat Barat, mereka biasanya menyediakan hadiah lebih mahal ketika melamar berbanding saat berkahwin.

“Orang Malaysia pula bijak merancang. Mereka beri pakej hadiah lebih murah mengikut turutan adat sebagai tanda, pertunangan, mas kahwin dan hantaran. Sesuai dengan adat tradisi itulah kami perkenalkan koleksi perkahwinan kali ini,” selorohnya.

Katanya, set hantaran yang disediakan memberi gambaran indah kepada pasangan pengantin. Ia umpama penceritaan sebuah kisah cinta yang kekal abadi.

Semua koleksi Habib yang dipamerkan ketika majlis itu masih boleh didapati di semua butik Habib seluruh negara. Selain koleksi Habib, pameran dan jualan itu turut memperkenalkan koleksi couture terbaru Hearts on Fire.


HEARTS on Fire yang menawan.

Rekaan terbaru dari koleksi perkahwinan dan fesyennya merangkumi loket, subang, cincin dan rantai tangan. Koleksi Hearts on Fire menawarkan lima koleksi pereka seperti Aerial, Lorelei, Illa, dan Copley.

Bagi peminat setia barangan Pandora pula, jenama itu melancarkan koleksi rekaan eksklusif musim sejuk dan Krismas 2017. Ia boleh didapati di seluruh bilik pameran Pandora dengan harga bermula hanya RM119.

Tidak ketinggalan, jam tangan mewah mampu milik dari Belgium, Ice-Watch. Jam ini tampil dalam tiga koleksi terbaru iaitu Ice Mirror, Ice-Sparkling dan paling istimewa, Piere Leclercq yang menawan. Semua koleksi terbaru itu bagaimanapun hanya boleh didapati di seluruh galeri Ice-Watch bermula dari awal Disember depan!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2017 @ 12:06 AM