SAIFUL Anwar menunjukkan kebun dapurnya yang tersusun.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Tempoh empat tahun menderita masalah tulang belakang bukanlah jangka masa yang pendek. Menjalani pembedahan, mendapatkan rawatan susulan, berehat, mengikuti terapi, semua aturan ini kadangkala cukup untuk mendatangkan tekanan kepada diri.

Salah satu kaedah terbaik yang kerap dicadangkan pakar adalah mendapatkan sumber terapi minda dengan bercuti, melakukan aktiviti seni dan menghijaukan taman.

Cadangan sama juga kerap diberi kepada mereka yang menghadapi tekanan di tempat kerja, keletihan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas setiap hari dan menangani kekusutan kaum ibu yang menjadi suri rumah.

Bagi Saiful Anwar Abdul Razak, 32, aktiviti kebun dapur yang dulunya dilakukan sekadar suka-suka sudah menjadi terapi terbaik untuk dirinya melupakan seketika sakit yang dihidapi.

“Saya mempunyai minat bercucuk tanam sejak kecil. Kebetulan ayah adalah peneroka di FELDA Jelai, jadi saya memang sudah diajar menyemai biji benih dan anak pokok sejak usia muda.

“Jika di rumah ini, pantang ada benih buah, sayur atau keratan pokok, saya akan terus semai di laman belakang. Jika tanaman yang tumbuh itu jenis pokok (besar) saya akan hantar ke kampung untuk ditanam.

“Setakat ini, kalau di kampung, sudah ada pokok durian belanda. Di laman belakang rumah, saya lebih banyak menanam ‘perkakas’ dapur seperti serai, kunyit, nanas, halia, cili dan ada juga anggur serta tanaman herba lain.

“Paling banyak adalah pokok buah tin. Kalau hendak dikira, buat masa ini saya sudah mempunyai lebih 30 jenis pokok buah tin yang dijaga, dibaja sebaiknya hingga tidak henti mengeluarkan hasil.

“Pokok ini bukan sekadar memberi terapi minda dan tubuh, malah buahnya mempunyai kandungan kalsium yang cukup tinggi. Ia bagus untuk mereka yang mempunyai masalah tulang belakang seperti saya,” katanya.

Ketika singgah menjenguk laman dan kebun dapur di rumah teres milik Saiful Anwar dan isterinya, Nooraza Jaafar di Rawang, terbit rasa kagum. Laman sempitnya nampak begitu luas dengan susunan pokok tin yang tinggi, berbuah lebat. Setiap pasu lengkap dengan sistem pengairan.

Sementara laman belakang yang menjadi laluan umum ditanam pelbagai tumbuhan renek dan ramuan dapur. Hasil tanaman itu kemudian dikongsi untuk keperluan harian bersama jiran-jiran.

Paling menarik, Saiful Anwar juga menanam pokok anggur sejak enam tahun lalu. Tumbuhan itu elok memanjat pagar dan banyak mengeluarkan bunga serta putik buah.

“Kalau mengikut kata orang, pokok anggur tidak boleh ditanam, sukar hidup, apalagi berbuah. Rezeki saya apabila pokok ini akhirnya berbuah buat pertama kali tiga tahun lalu. Sampai kini, ia masih rajin mengeluarkan hasil dan paling banyak pernah mencecah 13 tangkai.

“Bagaimanapun, sekarang saya lebih fokus kepada pokok tin. Sepanjang berehat di rumah, saya banyak membaca dan belajar bagaimana menjaga dan menguruskan pokok tin. Sampaikan kawan bertanya dan meminta tunjuk ajar cara menanam pokok ini.

“Secara tidak langsung, saya ada hobi dan masa diisi dengan banyak perkara bermanfaat. Namun, ada ketikanya kesihatan saya tidak mengizinkan. Jadi, isteri akan membantu menyiram dan membaja,” katanya.

TERAPI BUAH TIN

Bercerita lanjut mengenai keseronokan menanam pokok tin, Saiful Anwar berkata, dia teruja setiap kali melihat usahanya membawa hasil lumayan.

“Bertanam adalah terapi terbaik, terutama apabila kita melakukan sesuatu yang kita minat. Sejak mengenali pokok dan buah tin, saya banyak menghabiskan masa membuat rujukan.

“Sebiji buah tin itu khasiatnya sama dengan tiga gelas susu. Ia mengandungi kalsium yang baik untuk tulang. Paling utama, kita perlu tahu bahawa Allah SWT pernah bersumpah atas nama buah ini menerusi surat at-Tin. Satu-satunya surah al-Quran yang bermula dengan nama buah-buahan.

“Semua ini jadi tarikan untuk saya terus menanam bukan satu, tetapi puluhan jenis buah daripada lebih 30 negara berlainan. Banyak ilmu pertanian yang sebelum ini langsung saya tidak pernah tahu, tetapi akhirnya dapat dikuasai dengan menanam pokok tin.

“Pada saya, pokok ini memang sukar ditanam dan diurus, namun jika ada ilmu dan tunjuk ajar daripada yang pakar, semuanya mudah. Malah, ia akan jadi lebih mudah untuk menanam pokok lain selepas ini,” katanya yang turut menawarkan anak pokok matang serta baja untuk mereka yang berminat menanam pokok tin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2017 @ 3:02 PM