ANTARA aktiviti menarik sempena kempen ‘Make Vision Count’ dianjurkan Focus Point.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Penjagaan kesihatan menyeluruh tidak hanya tertumpu untuk mengelak diri daripada dijangkiti pelbagai jenis penyakit berbahaya malah ia turut meliputi aspek penjagaan mata.

Organ terpenting ini memberi pengaruh yang sangat besar dalam kehidupan seharian setiap individu kerana tanpa mata, segalanya tidak dapat dilakukan dengan baik.

Sehubungan itu, Focus Point baru-baru ini melancarkan kempen sempena Hari Penglihatan Sedunia 2017. Kempen ‘Make Vision Count’ bertujuan menggalakkan penjagaan mata dan penglihatan memandangkan kes kecacatan penglihatan dan masalah mata semakin meningkat di negara ini.

Hari Penglihatan Sedunia (WSD) ialah inisiatif global untuk meningkatkan kesedaran terhadap kebutaan dan kecacatan penglihatan yang boleh dicegah.

Ketua Perkhidmatan Optometri Negara Kementerian Kesihatan, Dr Nur Zahirah Husain berkata, kira-kira 285 juta individu di seluruh dunia hidup dengan tahap penglihatan rendah dan kebutaan.

“Ini bermakna 80 peratus daripada kes buta atau kecacatan penglihatan di dunia sebenarnya boleh dicegah, sama ada melalui pengesanan masalah mata lebih awal atau menyembuhkannya menggunakan rawatan atau pembedahan, atau boleh diselesaikan hanya dengan sepasang cermin mata yang sesuai.

“Menurut laporan media tahun lalu, 54 daripada 1,000 rakyat Malaysia mempunyai tahap penglihatan rendah disebabkan masalah kesihatan,” katanya.

Dr Nur Zahirah berkata, dianggarkan 15,000 individu di seluruh negara mempunyai tahap penglihatan rendah berdasarkan perangkaan yang diperoleh daripada hospital kerajaan.

“Antara faktor yang menyebabkan masalah tahap penglihatan rendah ialah penyakit seperti glaukoma, diabetes (kencing manis), keuzuran berkaitan usia, katarak, penyakit retina dan kesilapan refraktif,” katanya.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Focus Point Holdings Berhad, Datuk Liaw Choon Liang, WSD adalah satu sambutan yang sangat bermakna kerana ia selari dengan nilai teras dan model perniagaan syarikat untuk membolehkan manusia melihat dengan lebih baik.

“Tahun ini adalah tahun keenam berturut-turut acara WSD dianjurkan. Kami teruja dan bangga untuk menjadi sebahagian daripada usaha global ini.

Acara ini juga selaras dengan falsafah syarikat kami yang berusaha menabur bakti kepada masyarakat,” katanya.

Tambahnya, tema WSD tahun ini ‘Make Vision Count’ membawa pengertian setiap individu boleh menangani kebutaan atau kecacatan penglihatan yang boleh dicegah dengan pendidikan yang sewajarnya dan pengetahuan yang berguna.

“Semua individu perlu memainkan peranan untuk menjamin keberkesanan penjagaan mata. Ini termasuk mereka yang ada kaitan atau terbabit dalam penjagaan mata seperti ahli oftalmologi, ahli optometri, jururawat oftalmik, penderma, pesakit, penjaga dan juga keluarga.

“Satu daripada kebimbangan global ialah peningkatan miopia (rabun jauh) yang menjejaskan ramai kanak-kanak dalam usia persekolahan dan semakin menjadi isu kesihatan utama pada zaman sekarang,” katanya.

WSD Focus Point mengaturkan pelbagai aktiviti menarik untuk menggalakkan rakyat Malaysia menjaga mata dan penglihatan. Kempen Focus Point dipersembahkan dengan cara yang segar, berwarna-warni dan unik untuk menghidupkan tema ‘Make Vision Count’.

Pelbagai permainan menarik dan interaktif serta peraduan bergambar ‘Snap for Vision’ diadakan untuk membolehkan semua individu menghargai anugerah penglihatan dengan cara yang menyeronokkan.

Academy of Art & Design turut dijemput untuk membantu menghidupkan tema dengan mencipta ukiran mata 3D untuk menggambarkan realiti penjagaan mata.

Focus Point juga menganjurkan majlis penyampaian sumbangan untuk membantu dua organisasi yang memperjuangkan penjagaan mata di Malaysia. Ia menderma 1,000 bingkai cermin mata kepada Kelab Lions KL Bukit Kiara dan menyampaikan sumbangan wang tunai RM5,000 kepada Persatuan Orang Buta Malaysia. Selain itu, Focus Point urut mengadakan pemeriksaan mata diagnostik secara percuma untuk orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 12:46 PM