DUA anak Nur Akmar penguat semangatnya teruskan hidup.
SUAMI dan anak tunjang kekuatannya Nur Akmar.
HM Digital

Mendengarkan saja kanser payudara pasti menggerunkan mana-mana wanita apatah lagi jika penyakit pembunuh nombor satu wanita itu didiagnosis berlaku kepada diri sendiri.

Meskipun kanser payudara adalah kanser paling biasa dialami oleh wanita seluruh dunia, kanser payudara peringkat lanjutan atau digelar ABC (advanced breast cancer) pasti menambah derita penghidapnya.

ABC yang menggambarkan keadaan kanser payudara invasif yang sudah merebak daripada payudara dan nodus limfa berdekatan ke kawasan organ tubuh lain seperti paru-paru, nodus limfa yang jauh, kulit, tulang hati atau otak.

Namun, menyelami hati dua wanita kental yang didiagnosis ABC memberi satu persepsi berbeza kerana kecekalan mereka mengharungi dugaan hebat dan tak terjangkau dek akal. Semangat juang mereka yang tinggi wajar menjadi inspirasi buat semua yang sedang berjuang melawan kanser.

Pertemuan dengan Nur Akmar Shuib dan Mazlina Rajman di Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) di Kampung Baru, Kuala Lumpur baru-baru ini mendedahkan pengalaman mereka mengharungi penyakit itu.

KELUARGA PENGUAT SEMANGAT

Menurut Nur Akmar, dia didiagnosis menghidap kanser payudara pada 2013 tanpa sebarang simptom dan kesakitan malah ketika itu dia masih menyusukan bayinya yang berusia 10 bulan.

Tanpa rasa sakit atau keadaan luar biasa, dia cuma berasakan ada benjolan pada payudara dan di bawah ketiak namun kerana mahu mendapat kepastian, dia berjumpa doktor.

“Saya jumpa doktor dan meminta saya dirujuk kepada pakar radiologi. Pada mulanya saya hanya jalani ujian imbasan bunyi kerana sedang menyusu bayi tetapi doktor mengesan sesuatu pada payudara.

“Dari situ saya diminta untuk terus menjalani pemeriksaan mamogram dan jelas terdapat sel kanser di situ. Walaupun terkejut, tapi saya cuba positif dan menganggap kanser masih di peringkat awal dan boleh sembuh.

“Semasa mendapatkan rawatan, doktor pula meminta saya menjalani ujian imbasan CT untuk memeriksa seluruh badan dan alangkah terkejutnya saya apabila diberitahu sebenarnya sel kanser sudah merebak ke hati, tulang dan otak,” katanya.

Sudah pasti ia menjadi tamparan hebat buatnya dan perkara pertama yang terlintas di fikirannya adalah dua orang anaknya yang ketika itu masing-masing berusia tiga tahun dan 10 bulan.

Anak menjadi sumber kekuatan Nor Akmar untuk terus cekal dan tidak mahu bermuram dengan nasibnya, dia mencari sebanyak mungkin maklumat berkaitan penyakit itu dan paling penting adalah mendekati kumpulan sokongan supaya boleh berkongsi suka duka.

Dari situ dia menjumpai maklumat mengenai NCSM dan mendapat sokongan daripada rakan yang senasib dengannya.

“Bermula 2013 hingga kini, sel kanser merebak ke hati, tulang, otak dan ovari. Saya sudah membuat pembedahan otak sebanyak dua kali sebelum ini dan kini dalam proses pembedahan otak kali ketiga.

“Insya-Allah kalau ada rezeki saya akan menjalani rawatan teknologi terbaru yang masih dalam perancangan kerana pihak hospital perlukan persiapan rapi.

“Alhamdulillah saya bersyukur kerana masih kuat dan diberikan tenaga melakukan kerja rumah seperti ibu lain dan menyibukkan diri dengan aktiviti seperti ibu lain ,” katanya.

Wanita berusia 45 tahun ini berkata, pada tahap pertama penyakit itu dikesan, dia perlu menjalani kemoterapi dan selama lebih setahun anak keduanya terpaksa dijaga ibu bapa mentua di Kuantan, Pahang. Manakala anak sulungnya dijaga oleh ibu bapanya di sini kerana Nor Akmar perlu memberi tumpuan untuk rawatan di hospital.

“Siapa tidak sedih berpisah sementara dengan anak yang ketika itu masih saya susukan. Hanya hujung minggu saya pulang ke Kuantan menjenguknya. Saya mendapat kekuatan ini demi anak, ibu bapa dan suami tersayang. Saya kuatkan semangat terutama untuk anak-anak yang masih terlalu kecil ketika itu.

“Empat tahun berliku itu ditempuhi dengan kesabaran dan sepenuhnya tawakal kepada Allah sebelum kembali stabil. Memanglah ada kalanya saya tidak dapat lari daripada tekanan perasaan lebih-lebih lagi apabila mendapat tahu rakan dari kumpulan sokongan tidak dapat bertahan atau semakin teruk kerana memikirkan saya juga boleh menjadi seperti itu.

“Tapi apabila menatap wajah anak, saya kembali sedar dan terus berjuang. Saya meneruskan kehidupan seperti biasa, tiada apa yang berubah melainkan hospital kini jadi rumah kedua saya,” katanya.

Nor Akmar mengakui perjalanan hidupnya memang sukar dan mencabar, namun paling penting perlu ada sokongan penuh daripada keluarga dan orang terdekat untuk mengurangkan bebanan emosi yang ditanggung.

Suaminya, Mohd Amir Fursan Abdullah, 47, turut menjadi insan yang paling banyak berkongsi suka duka dan penguat semangatnya untuk sembuh.

“Anak sulung kini berusia tujuh tahun dan anak kedua pula lima tahun, sebelum ini saya fikir sempatkah saya lihat mereka membesar. Alhamdulillah, syukur saya berpeluang pakaikan anak sulung baju sekolah dan menghantarnya ke sekolah. Perjuangan ini untuk mereka,” katanya.

TERUS AKTIF DAN POSITIF

Mazlina yang disahkan menghidap kanser payudara pada 2007 hingga memaksa sebelah payudaranya dibuang. Namun wanita tabah itu tetap meneruskan kehidupan dengan positif bersama anak tunggalnya.

Pada permulaan permulaan katanya, simptom penyakit tidak begitu ketara, cuma apabila bangun pagi kaki dan tumit terasa kebas seakan-akan dicucuk-cucuk.

“Kadang-kadang ada juga rasa tak sihat, tapi saya ingat hanya sakit biasa dan tidak pernah sangka menghidap kanser. Tanpa sengaja ketika itu saya terbaca mengenai pemeriksaan payudara sendiri di rumah dan melakukannya.

“Memandangkan terdapat kelainan pada puting payudara yang seakan masuk ke dalam, saya tidak menunggu lama dan terus berjumpa doktor. Pada mulanya doktor mengatakan tiada apa-apa masalah tapi dia mengaturkan janji temu untuk pemeriksaan lanjut di Hospital Kuala Lumpur.

“Pada hari temu janji, saya jalani ujian mamogram dan biopsi dan berdasarkan keputusan ujian, saya perlu segera dibedah. Memang terkejut ketika itu, apatah lagi memikirkan nasib anak tunggal saya. Saya juga kehilangan suami akibat kanser dan sedar perlu kuatkan semangat demi anak yang masih perlukan saya,” katanya.

Dalam pembedahan itu, sebelah payudaranya terpaksa dibuang dan bermulalah siri rawatan kemoterapi dan radioterapi bagi memastikan sel kanser dimusnahkan.

Sepanjang tempoh rawatan, wanita berusia 48 tahun ini mengambil cuti selama 10 bulan tetapi dia tidak mahu bercuti lama kerana berasakan dirinya lebih positif jika berada di tempat kerja

“Selepas rawatan saya meneruskan hidup dengan menjalani gaya hidup sihat, terus positif dan melakukan aktiviti seperti biasa. Sebelum ini pun saya seorang yang aktif dan mengamalkan gaya hidup sihat, jadi memang tak betah duduk saja di rumah tidak buat apa-apa,” katanya.

Mazlina mendapatkan rawatan susulan atas arahan doktor dengan menjalani ujian mamogram, pemeriksaan tulang dan IMR bagi mengesan jika kanser merebak ke bahagian lain dalam tubuh. Pada masa sama dia juga diberikan terapi hormon selama lima tahun.

Walau dirinya sentiasa berjaga-jaga bagi memastikan keadaan dirinya bebas dan sihat dari kanser, dia tidak menyangka dugaan datang lagi apabila tahun lalu sel kanser mula merebak dan menyerang paru-paru.

Bermula dengan batuk berlarutan, dia menyangkakan mendapat batuk kering, lalu terus mendapatkan pemeriksaan lanjut di hospital dan doktor mengesahkan terdapat sel kanser pada selaput paru-parunya.

Ibarat jatuh ditimpa tangga, Mazlina pasrah dengan takdir yang menimpa. Selepas lapan tahun dia disahkan menghidap kanser payudara kini dia terpaksa berdepan ujian getir bagi melawan kanser paru-paru pula.

“Rutin rawatan bermula sekali lagi dengan kemoterapi pada Mac 2016 dan berakhir pada Mei 2016. Sukar hendak digambarkan perasaan ketika ini dan saya merasakan inilah sesi terakhir rawatan yang akan saya jalani.

“Semasa rawatan kemoterapi kanser payudara, usia masih muda sekitar 30-an dan kuat. Kali ini saya rasakan ia begitu mencabar kerana dalam usia ini saya perlu lalui rawatan ini sekali lagi.

“Namun, disebabkan saya mahu sihat dan terus melihat anak membesar, saya kuatkan semangat dan ikut saranan doktor,” katanya.

Sememangnya kesakitan yang dialami tidak dapat dielakkan namun Mazlina terus positif dan kuat mengharungi liku kehidupannya.

“Saya sentiasa muhasabah diri dan menganggap apa yang berlaku ini adalah dugaan Allah untuk hamba-Nya. Saya yakin, ujian diturunkan buat mereka yang mampu menanggungnya, mungkin itulah sebabnya saya antara yang terpilih untuk menerima dugaan ini.

“Saya bersyukur kerana dikelilingi oleh ahli keluarga dan rakan yang memberi sokongan tidak berbelah bahagi bagi membantu saya kekal positif dan meneruskan kehidupan dengan gembira,” katanya.

NCSM yang ditubuhkan sebagai pusat sokongan kepada pesakit kanser menjadi pilihan Mazlina untuk mendapatkan sokongan dan sekiranya berkelapangan dia akan menyertai aktiviti yang diadakan buat pesakit kanser supaya kembali positif dengan hidup mereka.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai ABC, sila kunjungi www.advancebreastcancer.org.my. - Yusliza Yakimir Abd Talib

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 12:48 PM