AMBIL masa berbulan-bulan untuk pengubahsuaian agar tidak kelihatan ‘kampung’.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Jika dahulu tudung bawal hanya dikenali sebagai tudung kampung, tetapi menerusi rekaan yang diubah suai ia semakin diminati dan mempunyai peminat tersendiri. Malah tidak hairan apabila ia sesuai digayakan untuk semua acara termasuk majlis eksklusif dan perkahwinan.

Namun bagi mengangkat tudung bawal sehingga dikenali ramai, pengasas Tudungruffle Hanis Arif mengakui ia bukanlah sesuatu yang mudah. Ini disebabkan ketika mendapat idea untuk menghasilkan rekaan tudung berpetak, tudungnya pernah ditolak untuk penggambaran disebabkan dianggap tidak moden dan urban. Dari situ, Hanis mengambil beberapa bulan untuk mengubah suai dan mencuba idea yang lebih berani dan segar agar ia tidak kelihatan ‘kampung’.

“Akhirnya selepas meneliti beberapa perkara yang menjadi kesukaan pelanggan maka terhasillah tudung Chicnones iaitu kombinasi selendang dan bawal yang memberikan tumpuan kepada wanita yang inginkan penggayaan selendang tetapi bersengkuap bawal. Ia juga adalah cetusan idea saya sendiri sebagai peminat bawal sejak dulu lagi,” katanya yang menjalankan perniagaan sejak tiga tahun lalu dengan bermodalkan RM50 sahaja.

Menggunakan fabrik berkualiti, rekaan Chicnones mengetengahkan sifon dan voile pada bahagian sengkuap. Namun untuk rekaan mewah edisi khas yang digayakan raja sehari Hanis menggunakan material satin sutera dengan sentuhan lebih glamor.

Jelasnya satin yang digunakan ini direka bagi memastikan ia mudah dibentuk pada bahagian sengkuap sekali gus menampakkan rekaan lebih ringan, tidak panas dan terletak cantik apabila dipakai.

“Bagi saya perkahwinan adalah hari bersejarah bagi setiap individu. Gambar perkahwinan pula akan dikenang sehingga ke anak cucu kelak. Oleh itu bakal pengantin, perlu menggayakan rekaan yang malar segar, sederhana dan mampu menaikkan seri wajah mempelai bertudung,” katanya.

Selain itu Tudungruffle juga memperkenal rekaan berpotongan ropol pertama mengambil inspirasi daripada pelanggan yang sentiasa menyokong dan menghargai hasil kerjanya selama ini. Juga tudung bercetak menggunakan fabrik satin yang semakin digilai ramai. Apa yang membuatkan jenama ini sentiasa menjadi buruan peminatnya adalah rona pastel yang mampu menyerlahkan keanggunan di pemakai.

“Memang benar kebanyakan koleksi Tudungruffle menggunakan rona lembut seperti merah jambu, krim, biru lembut, kelabu, coklat dan ton warna yang lebih tenang bagi memudahkan wanita memadankan dengan busana polos atau bercorak. Malah rekaan sederhana ditambah warna lembut menjadikan penampilan seseorang lebih anggun dan bergaya,” katanya.

Anak kedua daripada lapan beradik ini sememangnya mempunyai impian yang sangat tinggi agar jenama Tudungruffle menjadi pilihan semua golongan wanita.

Berkat kesungguhannya kini selepas tiga tahun bertapak dia perlahan-lahan mendaki tangga menjadi pengusaha butik yang bukan sahaja menjana keuntungan berlipat kali ganda, malah diakui mempunyai pandangan jauh untuk menghasilkan rekaan berinovasi bagi melawan arus lambakan tudung yang sama di pasaran.

Sambil menjelaskan mengenai peniruan, Hanis sangat optimis dan tidak menganggapnya sebagai negatif sebaliknya perkara biasa dalam kalangan industri fesyen tanah air dan juga di negara luar.

“Pada awalnya memang ada sedikit rasa marah dan sakit hati, tapi lama kelamaan, saya sedar, walau seramai mana pun yang meniru, yang paling penting adalah menjaga kualiti produk bagi menghargai kesetiaan pelanggan dengan menyediakan tudung berkualiti, cantik dan mengikut permintaan mereka,” katanya yang kini mempunyai butik di Bangi Sentral dan juga lebih 40 stokis berdaftar di Malaysia dan luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 6:54 AM