SETIAP pagi Ana akan melihat tanaman herba bagi memastikan tiada ulat atau siput yang merosakkan tanaman.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


"Saya dilahirkan dan dibesarkan dalam suasana kampung di Teluk Intan, Perak dengan ibu bapa menjalankan aktiviti bertani sebagai mata pencarian. Selain sayur-sayuran hijau, tanah di belakang rumah turut dijadikan kebun herba. Antara tumbuhan yang hidup subur seperti serai, pokok kari, kantan, halia, lengkuas dan kunyit. Tanaman herba ini menjadi keutamaan kerana ibu rajin memasak dan menggunakannya sebagai bumbu masakan," kata Ana Halim, 45, suri rumah yang mengikut jejak langkah ibunya menanam herba di belakang rumah.

Sebelum menetap di kediaman teres dua tingkat di bandar Country Homes Rawang, Ana dan suami tinggal di pangsapuri tiga bilik di Kuala Lumpur. Ruang yang terhad tidak mematahkan semangat Ana untuk bercucuk tanam.

“Saya menanam herba di dalam pasu di ruang balkoni. Antara pokok yang dipilih seperti kari, daun sup dan serai kerana senang hidup. Apabila ada rezeki menetap di kawasan rumah bertanah, ini menambahkan lagi semangat untuk berkebun di ruang belakang bagi memudahkan saya memperoleh bahan keperluan herba untuk memasak atau untuk rawatan tradisional,” ujarnya.


POKOK sirih hidup subur dan tidak perlu diberikan perhatian rapi.

Sebaik pindah, Ana dan suami menukar tanah sedia ada kerana terdapat banyak batu kesan peninggalan pembinaan perumahan.

“Kami membeli tanah dari nurseri berhampiran secara berdikit-dikit dan dicampurkan dengan tanah asal. Kebanyakan benih herba pula saya ambil dari kampung halaman di Teluk Intan dan ada juga yang dibeli di nurseri berhampiran Sungai Buloh.

“Buat permulaan saya memilih tanaman herba untuk kegunaan dalam masakan seperti kunyit, pandan, kesum dan kantan manakala sirih dan inai pula digunakan untuk rawatan tradisional,” katanya.

Mengenai kos pula ia tidaklah terlalu banyak, hanya membabitkan tanah bakar dan benih yang dibeli secara beransur-ansur mengikut keperluan. Ada sesetengah pokok herba akan mati selepas satu tempoh dan perlu ditanam semula. Kos lain sekadar pembelian baja antara RM5 sehingga RM10 saja sebulan.

Sebagai suri rumah, Ana memberikan sepenuh perhatian kepada tanaman herba miliknya. Ini termasuk memberikan baja dan mencabut rumput.


BUAH mulberi yang sudah masak kini boleh dipetik.

“Penjagaan tidaklah sukar kerana tumbuhan herba mudah hidup dan senang dijaga. Selain baja saya turut amalkan petua tradisional seperti menyiram dengan air basuhan beras sekali sebulan. Siraman pula perlu dilakukan setiap hari khasnya tanaman dalam pasu.

“Untuk tanaman atas tanah pula paling kurang dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang. Serangga perosak khasnya ulat dan siput babi yang gemar memakan pucuk muda perlu dibuang segera kerana boleh merosakkan tanaman,” katanya yang turut menanam bendi dan kacang botol namun memerlukan masa yang agak lama sebelum boleh dinikmati hasilnya, berbeza dengan pokok kari, kunyit dan pandan yang digunakan lebih awal sebagai penambah aroma dan rasa tradisional dalam masakan.

Jimat kos

Ana mengakui sejak mengusahakan tanaman herba, sedikit sebanyak ia menjimatkan perbelanjaan harian, apatah lagi pada waktu harga barang mentah semakin tinggi dan ada kalanya tidak munasabah. Sebagai contoh, bunga kantan saja boleh mencecah RM5 sekuntum dan sangat mahal apabila tiba musim perayaan, daun pandan dan kunyit pula berharga RM1 sehelai.

“Jadi apabila menanam sendiri dapatlah menjimat­kan kos selain tidak perlu ke kedai runcit atau pasar raya semata-mata untuk membeli keperluan ini,” ujarnya yang rajin melayari Internet dan menonton televisyen untuk mendapatkan tip berkebun yang sesuai.

Ana turut berminat menanam pokok beri, rozel dan sayur-sayuran hijau. Dia juga sering bertukar-tukar benih dan hasil tanaman dengan jiran di sekitar kawasan perumahan.

“Contohnya jiran saya berbangsa Cina sering memberikan tip dan berkongsi khasiat tanaman herba Cina yang baik untuk kesihatan,” katanya yang aktif menulis menerusi blog peribadinya.

Ana turut menasihati wanita yang berminat menjana pendapatan sampingan boleh memulakan aktiviti berkebun di rumah.

Namun bagi yang berdepan kekangan masa seperti mempunyai anak kecil dan masih bersekolah perlulah memberikan tumpuan kepada mereka terlebih dulu sebelum memulakan aktiviti berkebun.

Ruang tanah atau kawasan luar rumah untuk menempatkan tanaman perlu juga diambil perhatian. Andai tinggal di kediaman tanpa tanah atau pangsapuri, boleh memulakannya dengan menanam pokok herba di dalam pasu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 12:52 PM