MOHD Fadzil (tengah) bersama sebahagian peserta.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Masalah kegemukan atau obesiti kini dikenal pasti menjadi ancaman terbesar rakyat Malaysia, terutama apabila negara berada di kedudukan teratas dengan masalah ini di rantau Asia Pasifik.

Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan menunjukkan obesiti dihadapi sebahagian rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas, dengan bilangannya meningkat saban tahun. Malah, kajian juga menunjukkan seorang daripada dua dewasa Malaysia mempunyai berat badan berlebihan.

Bagi sesetengah individu, senaman dianggap membebankan mungkin kerana tiada dorongan atau galakan orang sekeliling. Jika ada yang cuba memulakan gaya hidup sihat dengan senaman, tanpa sokongan atau motivasi ada kemungkinan usaha itu tersekat separuh jalan.

Menyedari aktiviti kecergasan yang dilakukan berkumpulan dan bersistem lebih memberi impak kepada penurunan berat badan, Hospital Columbia Asia Setapak menganjurkan program kecergasan dan penurunan berat badan, I Fit Weight Loss Challenge 2017.

Bertujuan memupuk kesedaran mengenai kesihatan dan mempromosi gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, program selama 12 minggu itu khusus untuk mereka yang ingin melihat jarum mesin penimbang menurun ke angka lebih kecil.

Ia dijalankan selama 26 sesi merangkumi pelbagai latihan fungsi khusus termasuk latihan bebanan, bootcamp, latihan berintensiti tinggi (HIIT), corak pergerakan, daya ketahanan dan latihan berkumpulan, selain sesi seminar bersama pakar pemakanan serta terapi fisio.

Hampir 30 peserta dilatih jurulatih bertauliah, Mohd Fadzil Sharuddin bermula 26 Ogos lalu hingga 12 November ini dengan memfokuskan transformasi gaya hidup lebih sihat. Pada masa sama, peserta dapat melakukan aktiviti diatur dengan menyeronokkan.


MOHD Fadzil (kiri) memberi penerangan cara senaman kepada peserta.

Menurut Mohd Fadzil, kurangnya ilmu mengenai senaman dan diet seimbang adalah faktor utama masalah obesiti di negara ini. Malah begitu ramai dalam kalangan masyarakat yang tidak mempedulikan jumlah dan jenis makanan yang perlu diambil mengikut keperluan kalori mereka.

Katanya, ramai di antara mereka yang menghidap obesiti kurang prihatin terhadap kesihatan apatah lagi mengamalkan gaya hidup sihat sebagai amalan harian.

Oleh itu, sebagai jurulatih dalam program itu, dia bertanggungjawab membentuk perancangan dan latihan jangka panjang untuk memastikan pencapaian misi program terbabit menerusi latihan yang dibentuk mengikut keupayaan fizikal, umur dan sejarah perubatan peserta.

“Program ini lebih daripada sekadar cabaran menurunkan berat badan, iaitu membentuk gaya hidup sihat peserta walaupun selepas tamat program. Itu yang kita lebih tekankan.

“Tugas saya di sini juga bukan hanya melatih peserta mencapai sasaran dan meningkatkan prestasi kecergasan mereka dengan senaman dan latihan yang betul, saya juga sentiasa memberikan semangat dan motivasi agar mereka kekal fokus dalam mengubah cara hidup dan kesihatan khususnya,” katanya.

Bagi peserta, Mohd Zullaimy Muhammad, 50, atas faktor umur dia berasakan terdapat keperluan untuknya terus kekal cergas dengan bantuan jurulatih berpengalaman selain sokongan rakan yang bermatlamat sama.

Katanya, dia juga menyedari agak sukar melakukan aktiviti kecergasan berseorangan kerana tiada galakan daripada sesiapa sebaliknya aktiviti berkumpulan lebih menyeronokkan dan tidak mudah bosan dengan latihan berbeza setiap minggu yang diatur.

Melalui program itu juga, mereka dapat mengetahui keperluan kalori harian seterusnya dapat merancang berapa kalori yang diperlukan bagi mengekalkan berat badan ideal.

“Saya juga dapat mengetahui makanan sihat dan makanan yang patut ditinggalkan selain mempelajari teknik senaman yang betul bagi meningkatkan metabolisme dan pembakaran lemak.

“Saya bekas pesakit kanser. Selepas menjalani pembedahan, rawatan kemoterapi dan radioterapi, berat badan mencapai lebih 100 kilogram (kg) dan keadaan saya amat lemah ketika itu.

“Doktor menyarankan saya mengurangkan berat badan dan menguatkan semula otot tubuh. Dari situ, saya terpaksa menyertai aktiviti sukan dan mengawal pemakanan untuk terus sihat.

“Bagaimanapun, aktiviti kecergasan sudah menjadi sebahagian hidup saya, dan rasa lebih sihat selain kecergasan juga bertambah baik,” katanya.


PESERTA melakukan regangan selepas latihan bootcamp.

Bagi Amalina Ab Aziz, 28, pengalaman hampir diserang strok sebelum menyertai program itu menjadi mimpi ngeri buatnya hingga dia nekad menurunkan berat badan yang mencecah 118kg.

Malah katanya, akibat stres melampau dan tekanan darah tinggi dengan bacaan 220, dia dimasukkan ke unit rawatan rapi untuk mendapatkan rawatan kerana hampir strok.

“Syukur alhamdulillah, pengalaman ngeri itu menjadi pengajaran berharga buat saya untuk lebih mengambil berat terhadap kesihatan diri. Dengan umur yang masih muda, saya sebelum ini tidak langsung terfikir kesan buruk yang akan menimpa.

“Makanan segera, tinggi kandungan lemak, gula dan kalori menjadi teman setia saya setiap hari manakala bersenam adalah perkara yang selalu dielakkan dengan bermacam alasan. Kini, saya berjaya meninggalkan semua makanan itu, dan mengamalkan diet seimbang dan berkhasiat untuk kesihatan saya sendiri.

“Usaha keras saya berbaloi apabila berat badan turun hampir 20kg, ditambah dengan mengikuti program ini, kesihatan saya bertambah baik dan bacaan tekanan darah juga turun ke paras normal. Syukur tidak terhingga kerana saya seolah diberi peluang kedua untuk menambah baik kehidupan,” katanya.



ANTARA regim senaman yang perlu dilakukan.

Bagi Chew Seng Cheong, 53, usia bukan penghalang untuk menyertai program itu malah dia menyedari kepentingan untuk kekal cergas selepas keadaan kesihatannya bertambah buruk.

Katanya, kerana tidak berdisiplin dalam rutin senaman dan meninggalkannya untuk tempoh agak lama, kesihatan dan pergerakannya agak terjejas dan mudah mendapat kecederaan.

“Sampai satu peringkat, tekanan darah, kolestrol dan gula darah juga naik kerana tidak mengamalkan gaya hidup sihat. Oleh itu, saya bersama isteri, Lim Gim Lee nekad untuk menyertai program ini.

“Kami boleh lihat banyak kebaikan diperoleh daripada ramai rakan dan keluarga yang rajin bersenam dan mengamalkan gaya hidup sihat, ternyata langkah kami ini tidak silap.

“Meskipun berat badan tidak banyak perbezaan, tapi peratus lemak dalam badan semakin menurun, sendi lebih fleksibel dan kami mendapat kembali stamina berbanding cepat berasa letih sebelum ini.

“Tidak pernah kami berlari dalam jarak melebihi 0.5 kilometer (km), tapi dalam program ini, tidak sangka, kami mampu berlari sejauh 4km,” katanya.

Oleh itu, katanya, diharapkan hospital ini dapat melanjutkan program seumpama ini agar lebih ramai orang yang berlebihan berat badan mendapat manfaat.


PESERTA mengikuti sesi latihan di gimnasium.

Sementara itu, Alina Norhaida, 36, berkata, kesedaran mengenai penjagaan kesihatan menggamitnya menyertai program itu walaupun pada mulanya tidak mendapat sokongan suami kerana bimbang rutin senaman yang diatur akan memenatkan.

Bagaimanapun, melihat kesungguhannya untuk mengubah gaya hidup, ibu kepada seorang cahaya mata ini berkata, akhirnya suami memberi sokongan padu dan sentiasa berada di belakangnya untuk mencapai sasaran.

“Seronok apabila kita melakukan aktiviti berkumpulan ini kerana banyak ilmu baru yang boleh kita dapati. Selain itu, saya juga berpeluang mengenal rakan baru yang sama-sama mahu menurunkan berat badan, jadi perjalanan itu lebih mudah dengan galakan dan kumpulan sokongan ini.

“Menjaga tubuh badan dan kesihatan juga adalah sebahagian tuntutan agama, justeru, penyertaan dalam program ini banyak mengajar saya mengenai nilai kehidupan yang patut kita syukuri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 12:40 PM