AHMAD Zakii (kanan) bersama Noor Mahnun.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Lazimnya apabila membicarakan topik HIV dan AIDS, rata-rata masyarakat terus menjatuhkan hukum terhadap penghidapnya tanpa sekelumit simpati kepada mereka.

Jarang juga yang menyedari ada antara penghidap penyakit membunuh itu terpaksa menelan musibah yang dihadiahkan pasangan atau ibu bapa masing-masing sepanjang hayat.

Jadi, memang benar kata orang, hukuman sosial bagi penderita HIV dan AIDS umumnya lebih berat berbanding dengan penghidap penyakit membunuh yang lain.

Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia (MAF) Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman berkata, ramai penghidap HIV terus hidup dalam ketakutan dan terpinggir dari masyarakat kerana berasakan ancaman stigma dan diskriminasi. Malah ramai yang masih takut ke depan untuk mendapatkan rawatan kerana bimbang didedahkan, menolak rawatan dan menjadi mangsa diskriminasi.

Beliau berkata, pihaknya melihat kesan negatif stigma dan diskriminasi dalam semua aspek kehidupan dari pekerjaan, pendidikan, penjagaan kesihatan, dan penguatkuasaan undang-undang walaupun bukti menunjukkan HIV, jika dirawat, tidak memberi kesan ke atas produktiviti dan risiko transmisi melalui hubungan biasa.


DR Adeeba ketika menyampaikan ucapan pada pembukaan ARTAID17 baru-baru ini.

“Dari pekerja yang diturunkan pangkat, dipaksa meletakkan jawatan dan diberhentikan kerja hinggalah menahan diploma pelajar, semuanya berdasarkan status HIV positif mereka. Ketidakadilan berlaku setiap hari dan kewujudan mereka tidak disedari dan tidak dilaporkan.

“Melalui program pencegahan yang berkesan, Malaysia berjaya mengatasi jangkitan baru HIV dalam dekad yang lalu. Kerajaan juga memberikan rawatan HIV percuma sejak 2006.

“Namun, hanya 40 peratus daripada penghidap HIV menerima rawatan, peratusan yang sangat rendah memandangkan ubat percuma disediakan oleh kerajaan,” katanya.

Bagi memupuk kesedaran mengenai HIV dan AIDS, MAF baru-baru ini menganjurkan ARTAID17 yang menyatukan 40 artis kontemporari Malaysia dalam misi untuk membebaskan negara daripada kesan negatif HIV dan AIDS.

Anjuran ketiga dalam siri pameran seni MAF bertemakan Bebas, koleksi tahun ini secara kritikal menangani stigma dan diskriminasi yang dikatakan penghalang terbesar bagi penjagaan kesihatan HIV serta AIDS selain ketidakadilan lain yang merosakkan dan menghalang kemajuan dalam respons AIDS.

Pameran itu berlangsung September lalu di White Box @ Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur dan dibuka kepada orang ramai secara percuma.

Hasil daripada penjualan koleksi ARTAID17 disalurkan kepada MAF untuk program pencegahan, rawatan, penjagaan dan sokongan HIV berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada wanita dan kanak-kanak yang kurang bernasib baik di kawasan sukar dicapai.

Menurut Dr Adeeba, di sebalik tindakan MAF memperluaskan usahanya untuk menangani masalah itu melalui perubahan dasar dan inisiatif pemerkasaan masyarakat, ARTAID17 adalah antara cara lebih berkesan untuk mewujudkan kesedaran dan desakan lebih kuat.

Penasihat ARTAID17 Ahmad Zakii Anwar berkata, siri ARTAID yang berkembang dari sekumpulan artis yang hanya mahu menyumbang kembali kepada masyarakat hingga pameran seni tahunan mempamerkan beberapa karya paling menarik bakat tempatan mengenai subjek berkaitan HIV dan AIDS yang sering dianggap tabu adalah pencapaian membanggakan.

Malah katanya, pihaknya turut berterima kasih atas keprihatinan dan kemurahan hati pengumpul dan pelanggan seni lain hingga mereka berjaya mengumpul hampir setengah juta ringgit dalam dua edisi lepas.


ANTARA artis yang menyumbang lukisan ‘Secret Admirer’, Cinta Ayuandrea.

“Walaupun secara peribadi, mengelakkan komentar sosial dalam karya saya, sebagai seorang artis, saya akan terus menyediakan platform seperti ARTAID supaya rakan sekerjaya berpeluang bercakap mengenai isu yang boleh mempengaruhi perubahan sosial,” katanya yang sudah terbabit dalam bidang HIV dan AIDS selama lebih sedekad melalui Intan Lifezone, sebuah Pertubuhan Bersama Majlis AIDS Malaysia di Johor Bahru.

Antara yang kembali untuk kali kedua sebagai kurator ARTAID17 adalah artis visual, pencipta dan penulis seni, Noor Mahnun Mohamed.

Katanya, pengajaran dipelajari daripada pameran ARTAID tahun lalu yang menerokai tema Cinta, dia berasakan adanya keperluan untuk menggali lebih mendalam dalam hati nurani dan mengkaji keadaan HIV serta AIDS di Malaysia yang terus diselubungi mitos dan salah faham.

“Tema tahun ini Bebas, menimbulkan persoalan eksistensial (kewujudan) kebebasan dan pembebasan. Apabila dilihat dari lensa HIV dan AIDS, ia memberi tanggapan untuk membebaskan minda kita daripada punca stigma dan diskriminasi, sama ada sikap tidak peduli atau mengambil berat dan mencabar kepercayaan, berat sebelah serta prejudis kita sejak sekian lama.

“Sebagai masyarakat, kita hanya perlu mengejar kemajuan yang dibuat dalam tindak balas AIDS. Menyedihkan walaupun selepas 30 tahun, kita masih bercakap mengenai stigma dan diskriminasi. Tetapi sehingga kita menamatkannya, wacana itu mesti diteruskan, “katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 12:26 PM