PERANCANG kewangan diberi kursus dan latihan profesional serta komprehensif oleh agensi.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


Jika sebelum ini ramai yang benci bertemu ejen insurans dan takaful kerana stigma negatif masyarakat yang menganggap mereka cuba menipu wang kita. Namun, kini khidmat mereka ditagih bagi membantu dalam khidmat nasihat dan pengurusan kewangan.

Tugas mereka sebagai perunding kewangan bukan saja memberi khidmat perundingan insurans dan takaful supaya kita mempunyai perlindungan pendapatan mencukupi sebagai persediaan menghadapi musibah, malah mencakupi portfolio kewangan yang lain seperti skim persaraan swasta, perancang dan pengurusan wasiat serta pelaburan pendidikan anak.

Seiring perkembangan zaman, perunding kewangan kini bergelar usahawan kerana mereka membina perniagaan sendiri dalam bidang berkenaan dan mempromosi kerjaya sebagai perancang kewangan. Perniagaan yang diceburi itu bukan sekadar untuk mengaut keuntungan semata-mata kerana tujuan utamanya membantu orang lain yang berdepan Kesusahan.

Bagi tiga perunding kewangan yang bernaung di bawah agensi perunding kewangan, Stable Vision Corporation Sdn Bhd, dan sudah berjaya mendaki puncak, masing-masing mempunyai kisah tersendiri mengapa dan bagaimana mereka memilih bidang keusahawanan ini.

Dahlia Abd Malek, 45, graduan Sarjana Muda Sains Matematik dahulunya bekerja sebagai eksekutif pembelian di sebuah kilang elektronik di Seremban, Negeri Sembilan, sebelum dipelawa menjadi ejen insurans pada 1996.

Walaupun memiliki lesen, beliau tidak aktif mencari pembeli polisi insurans kerana masanya lebih tertumpu pada pekerjaannya ketika itu yang memerlukannya banyak bekerja di luar pejabat.

“Selepas 17 tahun bekerja di kilang berkenaan, saya dapati tingkat gaji saya tidak banyak berubah sedangkan komitmen semakin banyak. Bagi mengurangkan beban kewangan, saya menjadi ejen unit amanah pada 2012 secara sambilan sebelum serius menjadi ejen insurans empat tahun kemudian.

“Saya nekad berhenti kerja selepas mendapati kerjaya ini sangat fleksibel apabila memberi saya ruang untuk menguruskan masa sendiri dan membahagikannya antara kerja dan keluarga. Hampir enam tahun berada dalam industri ini, saya sudah menerima pelbagai anugerah dan kini bergelar eksekutif penasihat pengurusan kewangan,” katanya.


DAHLIA.

Dahlia berkata, kerjaya sebagai perancang kewangan juga memberikannya banyak kepuasan kerana selain memperoleh ganjaran dan pengiktirafan serta peluang untuk mengembangkan potensi diri, beliau dapat membantu ramai orang memanfaatkan duit yang ada ke jalan yang lebih baik.

“Saya akui menjadi ejen insurans dan takaful adalah pekerjaan yang sangat mulia kerana dapat memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan mengambil perlindungan pendapatan. Dalam menjalankan tugas memberi kesedaran kepada orang ramai, kami juga bertanggungjawab menjaga industri ini sendiri supaya tidak dipandang serong oleh orang ramai.

“Namun demikian kami juga berdepan cabaran, antara cabaran terbesar dihadapi adalah sikap dan persepsi orang ramai terhadap kepentingan insurans dan takaful. Saya sendiri pernah kecewa ditolak pelanggan, tetapi saya tidak simpan dalam hati kerana sedia maklum dalam bidang ini kita perlu sentiasa rajin dan jangan cepat putus asa,” katanya.

Tebus masa bersama keluarga

Bagi graduan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) Haslin Hasan, 40, beliau juga memulakan karier dalam perunding kewangan sebagai ejen unit amanah pada 2013 sebelum menjadi ejen insurans dan takaful sepenuh masa tiga tahun kemudian.

“Sebelum ini saya memegang jawatan sebagai pengurus jenama di sebuah syarikat terkemuka. Walaupun berpendapatan lumayan, saya hilang masa untuk bersama keluarga berikutan syarikat banyak berurusan dengan pelanggan luar negara dan ini menuntut saya untuk bekerja sepanjang masa.

“Sampai satu tahap saya jadi penat dan ingin melakukan perubahan selepas mengenangkan saya banyak terlepas acara penting bersama keluarga dan saudara-mara. Paling mendukacitakan apabila saya terpaksa membawa sekali ‘kerja’ ketika menjaga ibu yang terlantar di hospital,” katanya.

Katanya, beliau nekad berhenti kerja dan serius menjadi perunding kewangan selepas mendapati kerjaya itu mampu meningkatkan gaya hidupnya ke arah lebih baik menerusi waktu kerja yang fleksibel dan pemberian kursus serta latihan profesional mengikut ketetapan masa sendiri.


HASLIN.

“Saya beruntung kerana banyak dibantu pengalaman sebagai perunding unit amanah kerana cara mendekati pelanggan adalah sama. Oleh itu, saya menawarkan produk insurans dan takaful kepada pelanggan sedia ada terlebih dulu sebelum mengorak langkah ke segmen pelanggan lain.

“Malah, saya turut memanfaatkan media sosial sebagai wadah pemasaran sebagai cara dalam meningkatkan pelanggan. Saya banyak kongsikan kisah benar mengenai mereka yang ditimpa musibah tanpa perlindungan pendapatan untuk menimbulkan kesedaran kepada orang ramai.

“Kaedah ini agak berkesan dan membantu saya mengenali pelbagai jenis pelanggan. Ada yang terus berminat, malah ada juga yang bersikap tunggu dan lihat. Selain itu, saya turut mengadakan ceramah pengurusan kewangan di syarikat korporat atau berkumpulan untuk memberi kesedaran mengenai kepentingan perlindungan pendapatan,” katanya.

Haslin yang kini bergelar eksekutif penasihat pengurus kewangan, mengakui jiwanya kini lebih tenang kerana bukan saja dapat menebus kembali masa bersama keluarga, malah dapat meluangkan masa dengan lebih terancang dan pada masa sama dapat mengatur perjumpaan dengan pelanggan.

Ambil perlindungan sejak muda

Penolong Pengurus Unit di Stable Vision Shanty Nur Shaffizan Mohd Shafee, 37, berkata, insurans dan takaful yang melindungi dari segi perubatan dan kesihatan mampu menjadi pelengkap kepada sistem pembiayaan penjagaan kesihatan yang sedia ada.

Walaupun terdapat banyak produk yang memberi perlindungan terhadap kos rawatan perubatan swasta yang memerlukan kos yang tinggi seperti kemasukan ke hospital, pembedahan dan rawatan kecemasan, malangnya masih ramai individu di negara ini tidak memilikinya.

“Setiap orang sepatutnya mengambil pelan perlindungan sedemikian sejak berusia 14 hari untuk perlindungan rawatan sakit sejurus lahir atau perlindungan penyakit khusus. Bagaimanapun, pelan perlindungan perubatan dan kesihatan sebaik-baiknya diambil ketika masih muda dan sihat atau mula bekerja.

“Ini kerana insurans dan takaful tidak melindungi mereka yang sudah dihinggapi penyakit. Seandainya mampu, ambillah pakej perlindungan yang lengkap dan paling tinggi, tetapi jika tidak mampu memadai mengambil perlindungan pendapatan kerana ia bermanfaat apabila tidak mampu bekerja disebabkan hilang upaya akibat kemalangan penyakit,” katanya.


SHAFFIZAN.

Beliau yang aktif sebagai perancang kewangan hampir lima tahun berkata, pelan perlindungan ini banyak membantu di kemudian hari kerana ia akan memberi perlindungan terhadap risiko hilang upaya disebabkan penyakit tertentu atau kemalangan.

“Mereka yang berdepan risiko terbabit bukan sahaja boleh kehilangan punca pendapatan, malah menanggung kos perbelanjaan perubatan yang sangat tinggi. Sebagai contoh, ada pelanggan yang ditemui mempunyai aset seperti rumah yang banyak namun apabila ditimpa penyakit kronik mereka terpaksa menjual aset itu bagi membiayai kos rawatan.

“Situasi itu amat menyedihkan kerana pelanggan berkenaan ingin menghadiahkan rumahnya kepada anak apabila mereka dewasa kelak, tetapi tidak terlaksana kerana kos perubatan yang mahal. Nasihat saya, lengkapkan pelan kewangan asas untuk keluarga dan diri kita iaitu perlindungan kesihatan, simpanan kecemasan dan persaraan serta perlindungan nyawa mudah cair untuk memudahkan pengurusan dan pembahagian kelak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 2:26 PM