SABARIAH meluangkan masa melihat aktiviti anaknya, Muhammad Nor Aiman Norizan yang merupakan pelajar di di PKIB.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


Kita biasa melihat ramai ibu bapa yang memiliki anak istimewa menghantar si kecil kurang upaya ke kelas akademik atau kelas kemahiran seperti berenang, bermain piano atau berkuda.

Namun agak jarang ibu bapa menghantar anak istimewa ke kelas agama dan pengajian al-Quran kerana kesukaran mendapatkan pusat pembelajaran khas yang menyediakan pendidikan sebegini. Jika ada pun tenaga pengajar, biasanya mereka tidak dilatih bagi menyantuni anak istimewa dalam bidang al-Quran.

Bagi anak yang dilahirkan dengan masalah pembelajaran seperti sindrom Down, hiperaktif, autisme atau disleksia dengan pelbagai ragamnya, mereka memerlukan teknik pembelajaran tertentu dikendalikan guru yang mahir dalam bidang pendidikan khas.

Begitu juga dengan anak dilahirkan pekak, sering timbul persoalan bagaimana mereka belajar al-Quran jika tidak dapat mendengar? Sebagai manusia yang dilahirkan sempurna, mungkin tidak terjangkau di fikiran kemungkinan membaca al-Quran menggunakan bahasa isyarat yang menjadi medium komunikasi untuk orang pekak.

Sebelum ini, tiada sekolah atau kelas agama untuk golongan orang kurang upaya (OKU) kerana ramai beranggapan anak syurga ini tidak wajib mempelajarinya. Namun kesedaran mulai timbul dalam kalangan ibu bapa yang ingin menyempurnakan tanggungjawab mereka dengan memberikan pendidikan agama. Sekurang-kurangnya anak ini dapat mendirikan solat lima waktu, mengaji al-Quran dan berpuasa pada Ramadan selain belajar asas akademik serta tahu menguruskan diri sendiri.


SEORANG guru, Siti Nurul Hidayah Amran memberikan tunjuk ajar kepada pelajar sindrom Down, Amirul Hakim Safa’ei di PKIB.

Bagi Penyelaras Anjung Kasih, Persatuan Kanak-Kanak Istimewa Bangi (PKIB) Haslina Mohamad Ali, idea membuka pusat pembelajaran al-Quran untuk anak istimewa adalah cetusan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Bangi, Shafie Ngah yang mencadangkan agar dibuka satu pusat untuk kanak-kanak OKU.

Memandangkan Haslina sendiri berpengalaman mendidik anaknya yang juga cacat pendengaran merangsang semangatnya membuka Anjung Kasih secara rasmi pada 9 Februari 2014.

“Ia bermula dengan 10 pelajar dan dijalankan secara bergerak. Guru dan sukarelawan bergerak ke mana-mana lokasi berdasarkan permintaan dengan membawa semua peralatan pembelajaran. Ketika itu kami berpusat di kawasan Teras Jernang di Bangi,” katanya.

Sedikit demi sedikit disebabkan permintaan semakin bertambah menyebabkan Haslina dan rakan mencari premis bagi menyediakan kelas secara tetap.

“Alhamdulillah, bermula Oktober 2014, PKIB memulakan pengajian dengan empat guru yang bertugas secara tetap dan juga ada sukarelawan terdiri daripada pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM) yang kebanyakannya pelajar untuk kelas pendidikan khas,” katanya.

Pelajar pula adalah kanak-kanak OKU tanpa mengira masalah mereka. Setakat ini hampir 30 kanak-kanak didaftarkan dan mereka mempunyai masalah autisme, hiperaktif, sindrom Down dan cacat penglihatan.

Mendidik dengan hati

Berpengalaman mendidik anak yang juga cacat pendengaran, pada mulanya Haslina tercari-cari tempat sesuai untuk membimbing anaknya mempelajari ilmu agama. Memang sukar untuk mengajar sendiri memandangkan dia memerlukan peralatan khas bagi mendidik anak sebegini.

Dalam pencarian itu dia bertemu Yayasan Pendidikan al-Quran Anak Istimewa (Yayasan Faqeh) yang menyediakan modul atau kurikulum berkesan bagi memenuhi keperluan anak OKU. Malah mereka turut menjalankan latihan dan penyelidikan ke arah memperkasakan sistem pendidikan al-Quran di samping mengumpul dan menyalurkan dana ke arah pembangunan al-Quran dalam kalangan OKU.

Yayasan Faqeh diasaskan pasangan suami isteri, Mohd Zaini Mat Abas dan Dr Nazean Johari, bagi memberi ruang dan peluang kepada anak istimewa mendapatkan pendidikan agama secara formal.

Antara yang diperkenalkan adalah kaedah Faqeh yang memanfaatkan nombor dan warna untuk murid pekak diasaskan oleh Timbalan Pengerusi Yayasan Faqeh Nor Aziah Mohd Daud. Ia terbukti mampu mengajar anak istimewa membaca al-Quran dan menggunakan kaedah Braille bagi yang cacat penglihatan.

Kelas diadakan selama dua jam setiap hari termasuk Ahad. Ia dimulakan dengan surah Ruqyah diikuti solat berjemaah kemudian diteruskan dengan mata pelajaran al-Quran.


MUHAMMAD Luqman Zamzuri sedang mempelajari al-Quran menggunakan kad.

Bagi kanak-kanak yang tidak boleh bercakap, kaedah memperdengarkan bacaan akan membolehkan mereka memahami seterusnya menghafaz al-Quran. Mereka juga belajar menerusi kaedah Tahfiz Ahyar dan Tahfiz Ashraf iaitu dengan menyusun ayat menerusi sekeping kad.

Haslina sedar bukan mudah mendidik anak OKU sehingga mereka benar-benar memahami dan mengamalkannya. Setiap satu memberi cabaran berbeza.

“Pengajar perlu lebih bersabar untuk memberi kefahaman kepada kanak-kanak OKU terutama apabila berdepan anak yang cepat mengamuk, tidak fokus dan ada tantrum sendiri. Jadi, sebagai pengajar, kami tanamkan sifat sabar dan ikhlas. Apa juga perkara yang disertakan dengan sepenuh hati membuatkan mereka lebih bersemangat dan kreatif,” katanya yang mengakui anak istimewa mempunyai deria keenam dan mudah mengesan jika ada individu yang tidak ikhlas mengajar mereka.

Tidak boleh digambarkan kepuasan guru dan ibu bapa apabila anak ini menunjukkan perubahan. Ramai juga ibu memberikan pandangan terapi al-Quran adalah penawar paling berkesan bagi memberikan ketenangan jiwa untuk kanak-kanak pekak walaupun mereka tidak boleh mendengar, mukjizat al-Quran akan dapat dinikmati sekiranya mereka menghayatinya.

“Bagi anak yang kerap mengamuk jiwa mereka lebih tenang, menjadi lebih sabar dan kurang sifat marah. Ini sudah tentu memberikan kesan positif kepada ibu bapa untuk terus mendidik anak menjadi insan yang lebih bermanfaat kepada orang lain,” katanya.

Bagi ibu bapa pula sekiranya mereka tidak mendedahkan anak OKU kepada pelajaran agama, anak ini tidak akan tahu wujudnya ilmu itu. Menerusi pembelajaran, mereka belajar bersolat dengan konsisten dan berdisiplin, kadang kala lebih baik berbanding anak normal. Mereka juga mula membaca al-Quran setiap hari mengikut kemampuan diri sendiri. Apa yang penting ibu bapa perlu yakin mukjizat al-Quran akan memberikan perubahan kepada anak.

“Memang benar anak ini sudah ditentukan syurga tempatnya tetapi bagaimana pula tanggungjawab sebagai ibu bapa? Jadi cubalah sebaik mungkin memberikan pendidikan akademik dan agama kepada mereka,” katanya yang menyediakan yuran rendah kerana ingin membantu keluarga kurang berkemampuan mendapatkan pembelajaran agama untuk anak mereka.

‘Dedah Aiman pada dunia luar sejak awal’

“Ketika doktor mengesahkan Muhammad Nor Aiman Norizan adalah kanak-kanak autisme, hampir luluh hati saya. Hancur berkecai semua impian yang saya angankan. Saya terpaksa membina kekuatan dan semangat semula sebelum merencana perancangan kehidupan untuk Aiman,” demikian menurut Sabariah Azahari, 37, ibu kepada anak autisme yang mendapat pendidikan di Persatuan Kanak-kanak Istimewa Bangi (PKIB) hampir tiga tahun lalu.

Seperti ibu lain, Sabariah mengharapkan Aiman membesar dengan sihat dan bijak. Dia sudah merancang mempraktikkan ilmu keibubapaan apabila anaknya lahir. Namun apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan apabila pada usia setahun setengah Aiman tidak menunjukkan peningkatan dari segi pertuturan dan penguasaan bahasa.

Dia juga seorang yang hiperaktif walaupun sejak dilahirkan sehingga berusia setahun Aiman membesar seperti kanak-kanak seusia dengannya.

Kegusaran Sabariah semakin bertambah apabila mencecah usia dua tahun Aiman belum mampu mengeluarkan sebarang perkataan kecuali menjerit dan menangis. Ditambah pula dengan sifatnya yang gemar menyendiri, mengamuk dan tidak suka berada di tempat bising membuatkan Sabariah bimbang serta membuat keputusan bertemu pakar kanak-kanak.

“Selepas diagnosis, doktor mengesahkan Aiman kanak-kanak autisme dan berada pada tahap sederhana. Siapa yang tidak sedih apabila zuriat tergolong sebagai anak istimewa. Berbulan saya menangis, cuba terima hakikat dan reda. Akhirnya saya mulai ikhlas menerima Aiman sepenuhnya,” katanya.

Perkara pertama dilakukan Sabariah adalah membuat kad OKU untuk Aiman kemudian berbincang mengenai terapi yang diperlukan serta jenis pemakanan bagi mengawal berat badannya. Oleh kerana Aiman perlukan penjagaan rapi, Sabariah terpaksa berhenti kerja bagi memberikan sepenuh perhatian kepada anaknya. Dia juga mula menyertai pelbagai persatuan berkaitan autisme bagi mendapatkan pendedahan dan ilmu mengenai penjagaan anak autisme.

“Saya akui penyertaan dalam persatuan banyak membantu saya mengawal emosi. Saya mendapat banyak ilmu mengenai pendidikan anak istimewa terutama daripada ibu yang senasib dengan saya. Masing-masing saling membantu menyelesaikan masalah. Ini menyebabkan saya berasakan tidak keseorangan.

“Saya juga tidak pernah menyorokkan Aiman di rumah sebaliknya membawanya ke mana saja seperti kenduri, pusat beli-belah atau bercuti. Memang agak mencabar mengawal tingkah laku Aiman di khalayak ramai. Namun saya terpaksa kerana mahu mendedahkannya dengan dunia luar,” katanya.

Kata Sabariah, ketika membawa Aiman keluar memang ramai yang memandang, ada juga menjeling terutama apabila dia menangis atau mengamuk kerana mahukan sesuatu barang. Jika dulu memang Sabariah terasa tetapi kini dia sudah mampu menjelaskan kepada khalayak mengenai status Aiman jika ada yang bertanya.

“Selain mempunyai masalah pertuturan Aiman juga tidak boleh fokus kepada sesuatu perkara. Jika kemahuan tidak dituruti dia akan menjerit, mencakar atau menghantukkan kepala kepada objek keras. Biasanya ayahnya yang menjadi mangsa. Namun saya tidak pernah menganggap ia sebagai sesuatu yang sukar atau Aiman perlu mengelak daripada bertemu orang ramai,” jelasnya.


AIMAN mengimamkan solat Zuhur

Beri pendidikan agama

Bagi Sabariah, selain akademik, anak istimewa perlu diberikan pendidikan agama. Untuk itu pada usia tiga hingga enam tahun Aiman dihantar ke sekolah pendidikan khas di Kajang kemudian memasuki program pendidikan khas di Sekolah Rendah Bandar Seri Putra sehinggalah usia 12 tahun.

“Pertuturannya juga menampakkan perkembangan positif apabila Aiman dapat memanggil ibu dan ayah pada usia lapan tahun. Sebagai ibu bapa, walaupun perkembangannya tidak sempurna seperti kanak-kanak lain, kami sangat positif dan terus memberikan semangat kepada Aiman.

“Masalah pertuturan juga disebabkan Aiman keliru dengan penggunaan bahasa di sekolah dan di rumah. Untuk itu saya dan suami lebih banyak menekankan penggunaan bahasa Melayu ketika bercakap di rumah,” ujarnya yang bersyukur kerana anaknya itu sudah pandai menguruskan diri sendiri.

Walaupun Aiman sudah mengenal huruf dan angka, Sabariah mahu memberikan yang terbaik kepada anaknya terutama dalam hal agama khususnya bagi mengisi waktu petangnya. Jadi, Sabariah mula mengajar Aiman menggunakan buku Iqra tetapi Aiman cuma memberikan tumpuan lima minit saja selebihnya dia tidak mahu membaca. Mahu atau tidak dia terpaksa mencari guru berkelayakan tetapi sangat sukar.

“Dalam pencarian saya bertemu PKIB yang disenaraikan sebagai sekolah agama yang bagus untuk OKU. Saya terus menghantar Aiman ke PKIB pada November 2014. Pada mulanya memang Aiman memberontak mungkin kerana tidak biasa dan perlu fokus kepada apa yang diajar. Tetapi gurunya sangat komited dan sabar. Mereka bijak mengembalikan minatnya kepada pelajaran,” katanya.

Walaupun Aiman hanya dapat menghabiskan Iqra satu hingga enam dalam tempoh tiga tahun tetapi ia pencapaian yang cukup membanggakan bagi Sabariah. Sekarang pada usia 13 tahun Aiman sudah mampu menunaikan solat dan mengimamkan pelajar lain. Ilmu agama khususnya al-Quran banyak membentuk peribadi dan emosi Aiman kini menjadi lebih tenang.

“Doktor menyarankan Aiman mengambil ubat penenang kerana sifatnya yang suka memberontak. Selepas memikirkan kesan jangka panjang saya tidak mengikut saranan doktor tetapi hanya melakukan terapi fizikal dan emosi menerusi bacaan al-Quran. Sejak mendalami ilmu agama, kini Aiman semakin tenang dan lebih mesra,” katanya gembira.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 12:47 PM