UNTUK penggemar kebaya potongan mengikut bentuk tubuh dan diberikan zip pada bahagian depan.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Jika ditanya wanita pakaian lama yang masih disimpan sudah tentu jawapannya sepasang baju kurung kain kapas. Selain nilai nostalgia yang ada pada busana ini sudah semestinya corak bunga kecil di atas fabrik lembut dan sejuk menjadikan ia tidak lapuk ditelan zaman.

Baik nenek, ibu, anak sehingga cucu pakaian ini diperturunkan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya. Tanpa mengira usia, latar belakang dan pekerjaan, wanita semestinya kelihatan anggun apabila menggayakan kurung kapas.

Dengan perkembangan fesyen semasa, tidak ramai pereka yang masih memperjuangkan rekaan busana tradisi ini. Jika ada ia ditenggelamkan dengan ciri campuran sama ada pada fabrik atau potongan menjadikan baju kurung tidak lagi berada pada potongan asalnya.

Namun bagi pemilik jenama Mek Kembang Cotton, Alia Najihah Alias dia mempunyai sebab kukuh mengapa memilih rekaan tradisi sebagai asas dalam perniagaannya.


KURUNG moden sentiasa mendapat sambutan kerana sesuai digayakan ke majlis keraian atau ke pejabat.

“Saya yakin, semua orang pernah memakai kurung kapas dan menyimpannya di rumah. Saya sendiri adalah penggemar fabrik kapas dan mempunyai pelbagai koleksi. Ditambah pula nenek berniaga kain sedikit sebanyak saya tahu kain kapas mempunyai peminat yang ramai,” katanya yang mengakui sangat menggemari pakaian daripada material ini kerana senang diuruskan dan selesa disarung pada badan.

Bagi mengekalkan ciri klasiknya dalam setiap rekaan, Alia mengetengahkan koleksi kurung, kebaya dan baju Kedah menggunakan fabrik kapas namun diperkemaskan dengan tambahan ciri moden.

Walaupun potongan yang dihasilkan dikatakan sama, namun keistimewaan jenama ini terletak pada fabrik yang dilakar sendiri serta jahitan sempurna mengikut bentuk tubuh si pemakai.

“Saya akui walaupun fesyen datang silih berganti, fabrik bertukar ganti namun kesetiaan saya masih kepada kain kapas. Cuma bagi mencipta kelainan setiap corak saya hasilkan sendiri agar lebih unik dan terhad. Setiap warna dan corak tidak sama agar pelanggan merasakan padanan mereka eksklusif dan istimewa kerana tidak sama dengan yang lain,” katanya yang beroperasi di Bangi Gateway dan Kuantan, Pahang.


POTONGAN kurung Kedah diberikan sentuhan moden dengan rekaan ala blaus pada baju.

Sebagai langkah memastikan busana kain kapas mendapat sambutan, Alia Najihah turut menerapkan elemen moden seperti baju kurung moden tanpa pesak, zip diletakkan di hadapan, kain selisih depan atau kembang payung bagi menyerlahkan nilai busana itu.

Pada tahun ini Mek Kembang Cotton masih mengekalkan corak floral cuma sebagai tambahan dia memasukkan elemen kilauan pada kapas Swiss dengan taburan manik berkilat pada fabrik menjadikan ia lebih glamor. Untuk fabrik polos pula kebanyakannya disediakan untuk tempahan saja.

Menceritakan mengenai perkhidmatan tempahan baju, jelas Alia, ia masih diteruskan dan menjadi tanda pengenalan jenama ini. Apabila orang memperkatakan mengenai Mek Kembang Cotton pasti mereka ingat baju siap dalam masa 24 jam.



CORAK bunga berlatarbelakangkan rona hitam nampak anggun digayakan.

“Ini yang kami sediakan iaitu menerima tempahan bagi pelbagai jenis busana atau gaun mengikut permintaan pelanggan dengan syarat memilih fabrik yang disediakan di sini. Sejak melancarkan perkhidmatan ini empat tahun lalu kami menerima maklum balas positif pelanggan yang menggemari kualiti jahitan yang ditampilkan.

“Saya akui kebanyakan pelanggan mempunyai pelbagai saiz. Ada yang berisi, tinggi, rendah, besar pada bahagian bahu atau kecil pada pinggul. Golongan sebegini memerlukan ukuran mengikut bentuk tubuh. Jadi dengan adanya tempahan ia membolehkan peminat kapas bergaya mengikut rekaan kesukaan mereka. Harga untuk tempahan bermula RM180 ke atas mengikut jenis kain,” katanya yang bercadang membuka cawangan baru di Johor pada tahun hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2017 @ 8:56 AM