ASISTEN Komisioner Ong Chin Lan.
WALAUPUN peratusannya jauh lebih kecil berbanding penderaan ke atas wanita, namun jumlahnya meningkat setiap tahun. - Gambar hiasan
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Kes membabitkan wanita tempatan yang bertindak nekad memotong kemaluan suaminya, seorang warga Pakistan kerana tidak tahan diperlakukan dengan kasar ketika hubungan seks menggemparkan negara. Wanita berusia 51 tahun itu yang mengahwini suaminya berusia 44 tahun melakukan perbuatan itu ketika mangsa sedang tidur pada Mei 2015.

Menggunakan pisau cukur, wanita itu perlahan-lahan menanggalkan seluar suaminya, lalu memotong kemaluan sehingga putus menyebabkan lelaki itu meraung kesakitan. Dia yang bekerja sebagai peniaga kemudian melarikan diri dari rumah dan pergi ke Balai Polis Batu Kikir, kira-kira jam 1.55 pagi.

Anggota polis yang terkejut dengan kedatangan mangsa dalam keadaan berlumuran darah segera menghantarnya ke Hospital Jempol untuk mendapatkan rawatan.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman (PDRM) Asisten Komisioner Ong Chin Lan, kejadian berlaku terhadap lelaki warga Pakistan itu antara kes penderaan suami dilaporkan dan mendapat perhatian masyarakat.

Ini kerana tindakan wanita itu dianggap kejam kerana sanggup memotong kemaluan suaminya akibat rasa marah yang keterlaluan kerana dirinya diperlakukan sebegitu ganas ketika hubungan seksual.

Berdasarkan statistik PDRM, terdapat peningkatan dalam kes penderaan suami setiap tahun daripada 37 kes pada 2015 meningkat kepada 54 kes pada 2016. Pada tahun ini bermula Januari hingga Julai sebanyak 28 kes sudah dilaporkan. Walaupun peratusannya jauh lebih kecil berbanding penderaan ke atas wanita, namun jumlahnya meningkat setiap tahun.

“Bentuk penderaan paling tinggi pada 2014 hingga 2017 membabitkan fizikal seperti pukul, tampar dan tendang, diikuti memukul menggunakan senjata seperti batang besi dan kayu golf, merosakkan harta benda seperti perabot dan kereta, simbah asid pada kenderaan, gigit dan cakar, tetak dan tikam serta simbah asid dan air panas ke badan suami,” katanya.

DUGAAN PASANGAN MUDA

Menjelaskan mengenai punca isteri mendera suami ia membabitkan perbuatan curang suami yang menjalinkan hubungan sulit dengan orang lain. Faktor lain termasuklah perselisihan faham, masalah kewangan, anak, cemburu, mabuk dan dadah. Kebanyakan kes berlaku pada pasangan berusia 26 hingga 45 tahun yang boleh dikatakan sebagai pasangan muda.

“Pada usia ini adalah peringkat penyesuaian di antara pasangan. Kemudian apabila mempunyai anak, bebanan tugas semakin bertambah begitu juga dengan kewangan. Campur tangan mentua juga turut menyebabkan kes penderaan meningkat.

“Apabila ini berlaku wujud situasi tegang di antara kedua-dua pihak yang bermula menerusi insiden harian seperti pemalas, tidak bekerja, mempunyai hubungan dengan wanita lain. Ada pasangan yang berani meluahkannya, ada pula mendiamkan saja. Lama-kelamaan ia menyebabkan situasi tidak dapat dikawal lantas menyebabkan pergaduhan, sehingga sanggup mencederakan pasangan,” katanya.

Namun masalah dalam rumah tangga biasanya dapat dikendalikan pasangan, apabila mereka sedar dan memohon maaf. Tetapi kerana tidak dapat mengawal perasaan menyebabkan ia berlaku semula.

Bagi isteri yang didera mereka tidak membuat laporan kerana tidak mahu kehilangan suami manakala suami pula malu dengan keluarga dan orang sekeliling seandainya kes mereka diketahui ramai.

SIASATAN SETARA

Tambah Ong, siasatan terhadap mangsa penderaan sama ada lelaki atau wanita tiada bezanya. Setiap laporan diterima akan disiasat secara terperinci. Semasa siasatan polis mangsa akan dirujuk kepada hospital kerajaan bagi membuat pemeriksaan sekiranya mengalami kecederaan. Pemeriksaan ini sangat penting bagi mencari bahan bukti seterusnya mendakwa mereka yang bersalah.

“Sekiranya perlu mangsa akan dirujuk kepada pegawai Kebajikan Masyarakat bagi permohonan Perintah Perlindungan Interim Sementara (IPO) dan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO). Permohonan perintah perlindungan ini bertujuan supaya kejadian keganasan rumah tangga tidak lagi berlaku ke atas mangsa semasa tempoh siasatan atau perbicaraan kes sedang dijalankan. Dalam sesetengah kes pegawai polis akan mengiring mangsa pulang ke rumah untuk mengambil barang keperluan,” katanya.

Walaupun ia mungkin dianggap sebagai kes yang jarang berlaku namun lelaki yang dicederakan isteri seharusnya tampil membuat laporan polis berikutan ia turut membabitkan perlakuan ganas dan bahaya.

Baik suami mahupun isteri seharusnya berbincang bagi setiap masalah yang berlaku dalam rumah tangga. Tiada persefahaman dan ego menyebabkan banyak kes keganasan berlaku dalam rumah tangga.

“Apabila masing-masing tidak mahu mengalah dan bersikap panas baran, anak-anak turut menjadi mangsa. Walaupun kes isteri mendera suami peratusannya rendah namun saya menasihatkan suami atau mangsa tampil membuat laporan supaya tindakan boleh diambil dan sekali gus dapat membendung isu keganasan rumah tangga pada peringkat awal. Bagi wanita pula jika disabitkan kesalahan hukuman yang setimpal akan dikenakan ke atas mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2017 @ 1:08 PM