(Duduk tengah) Pengarah Perubatan, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Pusrawi, Dr Habibah Abd Ghani bergambar bersama pihak yang terbabit dalam Program Cetusan Laktasi.
HOSPITAL Pusrawi anjur program Cetusan Laktasi untuk ibu bapa angkat.
Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Penyusuan susu ibu itu adalah semula jadi dan mudah, tetapi ia satu kemahiran yang perlu dipelajari. Namun, perkara yang lebih penting adalah ibu perlu bersedia dari segi psikologi dan tidak mudah mengalah apabila timbul masalah ketika menyusukan bayi.

Penyusuan ibu secara eksklusif selama enam bulan terbukti membantu mencegah serangan alahan awal kepada bayi, selain membekalkan nutrisi terbaik untuk anak.

Susu ibu mengandungi semua khasiat diperlukan bayi untuk membantu perkembangan tahap imun tubuh mereka bagi melawan pelbagai penyakit termasuk alahan.

Justeru, bagi menggalakkan penyusuan susu ibu, pelbagai usaha dilakukan sama ada daripada badan bukan kerajaan (NGO), persatuan penyusuan, kementerian ataupun hospital.

Bukan saja ibu kandung, malah program penyusuan juga perlu didedahkan kepada ibu susuan yang mahu menyusukan anak angkat mereka bagi memastikan keluarga memberi sokongan sekali gus memahami pertalian darah yang terjalin selepas itu.

PROGRAM CETUSAN LAKTASI

Menyedari kepentingan dan manfaat susu ibu kepada bayi, Hospital Pusrawi mewujudkan program Cetusan Laktasi bagi membantu ibu susuan untuk mula menyusukan anak angkat mereka.

Menurut Pegawai Perubatan Hospital Pusrawi, Dr Norizan Mohd, mungkin ramai yang masih belum sedar wanita yang tidak hamil turut berupaya atau berpeluang menyusukan anak angkat mereka jika tahu kaedahnya.

“Justeru, dalam program ini, ibu bapa akan diberi bantuan dari segi rundingan bersama doktor berpengalaman dan ustaz atau ustazah berkaitan hukum, nasihat pemakanan oleh pegawai pemakanan dan pemeriksaan kesihatan terhadap ibu serta bayi.

“Program ini terbuka kepada semua wanita yang sudah berkahwin dan ingin menyusukan anak angkat mereka. Malah, ia juga terbuka untuk wanita yang ingin memulakan semula penyusuan anak sendiri atau anak angkat,” katanya.

Kaedah yang dilakukan bergantung sama ada anak angkat sudah diperoleh atau belum. Antara kaedah yang akan dilakukan ialah dengan memberikan hormon tertentu untuk mengaktifkan kelenjar susu dalam payudara.

Rawatan boleh mula dilakukan seawal enam bulan sebelum menerima anak angkat. Namun, sebelum rawatan diberikan, ibu akan diperiksa kesihatan mereka terlebih dulu bagi mengelakkan kes tertentu seperti HIV yang tidak boleh menjalani program berkenaan.

Jika anak angkat sudah diterima, juga boleh mengikuti program berkenaan dengan kaedah bersesuaian seperti ubat penggalak susu yang akan diambil sehingga pengeluaran susu dalam jumlah mencukupi.

“Walaupun ibu susuan tidak dapat menghasilkan kolostrum seperti ibu kandung, pengeluaran susu matang itu juga mempunyai khasiat sama seperti susu badan ibu hamil atau yang melahirkan bayi.

“Program ini dilancarkan secara rasmi pada April 2017 walaupun ia sudah diperkenalkan kepada umum sejak September 2016. Seramai 10 ibu yang mengikuti program ini bermula April lalu dan enam daripadanya berjaya menyusukan bayi mereka dengan berkesan,” katanya.

Menariknya, setiap ibu yang menjalani program ini juga dibantu dan diajar mengenai teknik memperbanyakkan pengeluaran susu seperti mengepam, pemakanan, posisi betul menyusukan bayi dan urutan.

Justeru, program ini diwujudkan bagi memberi pendedahan kepada ibu susuan bukan saja dari sudut perubatan namun hukum dalam Islam di samping menjadi hab konsultasi kepada individu memerlukan.

Ia juga sebagai salah satu usaha bagi menggalakkan pemberian susu ibu kepada bayi di bawah usia dua tahun selain membantu keluarga angkat mendapatkan maklumat mencukupi termasuk konsultasi berhubung penyusuan susu ibu.

Bukan itu saja, program berkenaan juga dibuka kepada keluarga angkat bukan Islam yang mahu menjadi ibu susuan atau berkeinginan untuk menyusukan anak kandung mereka.

HUKUM IBU, ANAK SUSUAN

Pegawai Agama Hospital Pusrawi, Shahidatul Akma Mohd Shaary berkata, ramai yang masih belum benar-benar faham mengenai konsep ibu susuan dan ibu angkat.

“Ibu susuan dan ibu angkat adalah berbeza. Ibu susuan biasanya akan menyusukan anak dengan susunya sendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung (melalui botol dan tiub).

“Selain itu, ibu susuan juga perlu menyusukan anak angkat yang berusia tidak lebih daripada dua tahun sehingga sekurang-kurangnya lima kali kenyang, barulah boleh menjadi anak susuannya.

“Berdasarkan maksud yang dipetik daripada Surah al-Baqarah ayat 233 menjelaskan, “Hendaklah kamu menyusukan bayi terbabit sehingga berumur dua tahun”,” katanya.

Jelasnya, tidak ada syarat khusus menyusukan bayi melainkan wanita itu cukup baligh untuk menjadi ibu susuan. Perkara yang paling penting untuk menjadi ibu susuan adalah niat kerana Allah Taala.

Seharusnya ibu bapa perlu faham proses menyusukan bayi itu bukan satu perkara yang mudah, sebaliknya ia harus dilengkapi dengan sokongan dan persediaan dari segi mental serta fizikal.

“Bagi ibu susuan pula, mereka seharusnya faham susu ibu tidak akan terhasil jika tidak mempunyai hormon tertentu yang menggalakkan pengeluaran susu seperti dimiliki secara semula jadi oleh wanita hamil.

“Justeru, jika keputusan sudah dibuat dan bersedia menjadi ibu susuan, pasangan suami isteri seharusnya peka serta memenuhi keperluan bayi dengan sempurna.

“Pada masa sama, suami juga perlu memahami situasi, bertolak ansur serta memberi sokongan kepada isteri yang berhasrat menyusukan anak angkat mereka,” katanya.

Hal ini juga perlu dihebahkan kepada ahli keluarga terdekat termasuk anak kandung (jika ada) dan keluarga kandung bayi yang dijadikan anak angkat.

Ia bagi memastikan ahli keluarga saling mengenali, sekali gus mengelakkan kekeliruan terutama apabila anak-anak sudah dewasa, ditakuti akan berkahwin dengan adik-beradik sendiri.

Ibu bapa susuan perlu faham hubungan anak susuan dengan keluarga susuan sama seperti anak kandung mereka yang lain dan hubungan harus dipupuk dengan erat.

“Menyusukan anak harus pada semua wanita dan tiada masalah untuk individu yang belum berkahwin memiliki anak susuan. Namun, sebaiknya kita memberi keutamaan kepada suami isteri atau wanita yang sudah merasai alam berumah tangga untuk memiliki anak susuan.

“Ini bagi mengelakkan rasa gembira dan selesa tanpa perlu berkahwin dan memastikan wanita mendapat sokongan penuh daripada suami serta ahli keluarga agar tanggungjawab dan amanah dapat dilakukan dengan baik terhadap bayi berkenaan.

“Disebabkan itu, ibu angkat digalakkan menyusukan anak angkat yang diambil jika berusia di bawah dua tahun bagi menjaga aspek batasan aurat, keturunan dan pergaulan dengan ahli keluarga yang lain.

“Malah, keluarga angkat dan ibu bapa kandung si anak yang diambil itu juga perlu saling mengenali agar hubungan silaturahim sentiasa terjalin,” katanya.

Ujarnya, banyak perkara yang perlu diberi perhatian sebelum mengambil anak susuan. Sebaik-baiknya, ambil anak angkat yang ingin dijadikan anak susuan bermula dari kecil iaitu sebelum berusia dua tahun.

Selain itu, mental dan rohani perlu bersedia kerana bukan mudah untuk mengambil anak susuan. Ibu bapa perlu mempunyai emosi yang kuat untuk mendidik dan membesarkan anak susuan agar dapat menjaga amanah Allah dengan sebaiknya di samping menjaga hukum atau nasab yang sudah ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2017 @ 1:00 PM