Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Percutian sememangnya dinanti setiap orang terutamanya selepas letih memenuhi tuntutan tugas di pejabat setiap hari, justeru mengunjungi pulau, pantai dan lautan mungkin antara destinasi kegemaran untuk meredakan tekanan.

Bagaimanapun, kulit terutama bahagian yang terdedah cahaya matahari terik pasti cepat menjadi gelap apatah lagi jika tidak dilindungi dengan krim tabir suria.

Akibatnya, selepas percutian yang menyeronokkan, kita perlu berdepan pula masalah selaran matahari atau kulit berbelang yang memburukkan penampilan diri dan tidak menarik dipandang.

Jangan bimbang dengan masalah itu, kerana selaran matahari boleh diatasi menggunakan beberapa bahan semula jadi. Selain selamat untuk kulit, bahan itu mudah didapati malah mungkin ada di dapur anda. Bagaimanapun perlu diingat, oleh kerana ia menggunakan kaedah semula jadi, kesannya mungkin mengambil masa sedikit dan janganlah anda mengharapkan keajaiban untuk melihat kulit kembali ke warna asal selepas beberapa kali mencuba.

Apa yang penting, anda harus rajin dan jangan berputus asa kerana selain mencerahkan kembali kulit yang gelap, kulit anda akan menjadi lembut dan berseri. Berikut beberapa bahan yang dipercayai dapat memutihkan kulit yang menjadi gelap akibat selaran matahari:

1. Buah tomato

Cara mengatasi selaran matahari menggunakan tomato melalui jusnya. Buatkan jus dari tomato dan oleskan pada bahagian tubuh yang terkena selaran sambil diurut ringan. Biarkan selama 10 hingga 15 minit sebelum dibilas bersih. Lakukan cara ini secara rutin dan teratur.

2. Yogurt

Bahan ini juga boleh menghilangkan selaran matahari dengan cara mengoleskan secara merata pada bahagian tubuh berbelang, biarkan sekitar 15 ke 20 minit sebelum dibilas bersih.

3. Jus lemon

Sama seperti kentang, jus lemon adalah agen pelunturan semula jadi. Sapukan jus lemon pada bahagian yang terkena selaran matahari dan biarkan selama 15 minit sebelum dibilas dengan air sejuk.

4. Lidah buaya

Anda boleh mengoleskan gel lidah buaya pada bahagian yang terbakar dek sinar matahari. Biarkan selama 15 hingga 20 minit sebelum dibilas dengan air sejuk.

5. Betik

Campurkan betik masak yang sudah dilenyek dengan satu sudu makan madu. Sifat madu yang melembapkan dan betik yang mencerahkan kulit dapat membantu mengatasi masalah kulit yang gelap akibat selaran matahari secara semula jadi.

6. Putih telur

Gunakan putih telur pada bahagian terbakar dan biarkan mengering. Kemudian basuh dengan air sejuk. Putih telur adalah bahan terbaik untuk membersihkan pori dan mengurangi racun yang ada pada kulit membuat kulit lebih tegang dan cerah.

7. Kentang

Selain memiliki zat tinggi, kentang juga bermanfaat bagi kecantikan. Caranya dengan mengupas ubi kentang kemudian mencucinya. Selepas itu, hiris dan gosokkan pada bahagian kulit yang gelap. Lakukan rutin sekurang-kurangnya dua hari sekali.

8. Madu

Satu lagi cara pantas mencerahkan kulit akibat selaran matahari adalah dengan madu. Madu memang berkhasiat untuk memutihkan kulit kerana dapat membuang sel kulit mati. Madu dicampur dengan buah lemon akan memberikan hasil dan khasiat yang lebih maksimum. Campurkan madu dan perahan lemon lalu ratakan ke kulit terkena selaran matahari.

9. Kulit oren dan susu

Bukan hanya buahnya saja, kulit oren juga mengandung vitamin C yang berfungsi menghalang radikal bebas yang merosakkan sel di kulit. Manakala susu pula menghilangkan kotoran dengan baik dan bahan pencerah semula jadi yang sudah terbukti. Caranya parut bahagian luar kulit oren dan tambahkan susu sebelum dicampur hingga jadi agak kental. Oles dan gosok perlahan di seluruh bahagian kulit yang berbelang.

10. Tepung beras dan kunyit

Tepung beras juga antara bahan semula jadi yang efektif untuk memutihkan kulit, begitu juga kunyit yang kaya antioksidan. Caranya, campurkan satu hingga dua sudu makan tepung beras dengan satu sudu teh serbuk kunyit atau parutan kunyit dan sedikit susu hingga menjadi pes. Lumurkan pada bahagian terjejas selama 15 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 2:20 PM