UJIAN paps smear.
SARINGAN kanser.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Saban tahun kita dimaklumkan mengenai peningkatan jumlah pesakit kanser. Setakat April tahun lalu, Kementerian Kesihatan mendedahkan kira-kira 100,000 rakyat negara ini disahkan menghidap kanser setiap tahun. Tambah membimbangkan apabila wanita dikatakan paling ramai mengalami penyakit paling digeruni itu.

Kenyataan itu turut menganggarkan satu daripada empat rakyat akan mengalami penyakit kanser pada usia 75 tahun. Antara punca situasi itu kerana peningkatan populasi dan jangka hayat yang lebih lama.

Berbalik kepada isu kanser, antara perkara kerap melintas di ingatan kebanyakan daripada kita adalah mengenai kepentingan ujian saringan dan pengesanan awal barah. Namun yang difikirkan selalunya berakhir pada topik penanda tumor.

Ringkasnya, penanda tumor adalah suatu bahan yang boleh diukur di dalam darah, tisu badan atau cecair tubuh yang lain. Nilai yang diukur dapat membantu proses mengesan dan merawat pesakit kanser. Ia mungkin berbentuk protein, antigen atau hormon atau penanda tumor.

Bagi Ketua Klinik Perubatan Penjagaan Kesihatan International Medical University (IMU) dan Pakar Perubatan Keluarga Dr Verna Lee Kar Mun, sekalipun penanda tumor banyak digunakan dalam ujian di makmal komersial, tidak dibangunkan secara menyeluruh untuk menyaring sebarang jenis kanser.

“Kalau diperhatikan secara dekat, penanda tumor adalah bahan yang dihasilkan oleh tubuh sebagai tindak balas kepada kanser. Ia juga boleh dihasilkan oleh sel kanser itu sendiri. Dalam sesetengah kes, penanda ini adalah khusus untuk satu jenis kanser saja, sementara yang lainnya mungkin tidak boleh atau boleh juga dilihat dari jenis kanser lain. Bahan ini biasanya didapati berada di tahap yang sangat tinggi dalam darah atau air kencing atau tisu badan.

“Dalam situasi biasa, sampel darah atau air kencing akan diambil untuk dianalisis bagi mengenal pasti penanda tumor tertentu atau berbilang. Ujian ini sangat penting dan dilakukan berulang kali terhadap pesakit yang disahkan kanser atau mereka yang tidak lagi menerima rawatan.

“Ia bertujuan memantau tindak balas rawatan kanser (ketika proses rawatan) atau untuk mengesan semula barah (selepas tamat rawatan) pada pesakit. Dalam perubatan, ini dipanggil pencegahan tertier (peringkat ketiga).

“Bagaimanapun, satu perkara yang cukup penting untuk diperhatikan adalah pergerakan sel kanser dan sel normal yang membawa kepada peningkatan julat penanda tumor. Dalam erti kata lain, keadaan tidak kanser masih boleh menyebabkan penanda dinaikkan di atas julat normal, kerana bahan ini dihasilkan secara semula jadi di dalam tubuh,” katanya.

Menjelas lanjut, Dr Verna berkata, terdapat kekurangan data dan bukti saintifik yang boleh menjelaskan kepada doktor dan pengamal perubatan mengenai kaedah paling tepat untuk mentafsirkan hasil ujian sebegini.

“Doktor sendiri tidak tahu apa langkah pengurusan seterusnya jika seorang individu yang sihat mencatatkan hasil ujian penanda tumor yang tidak normal. Sebab itu, ujian penanda ini tidak pernah digunakan sebagai ujian saringan kanser,” katanya.

Ujian penanda tumor dan kanser

Sekiranya keputusan ujian berulang menunjukkan kecenderungan meningkat dalam tahap penanda tumor, doktor akan menjalankan ujian lanjut untuk mengesahkan kanser atau kegagalan rawatan.

Pada asasnya, penanda tumor yang akan membantu doktor memilih rawatan sesuai untuk pesakit, sama ada menggabungkan kemoterapi atau terapi radiasi selepas pembedahan, atau memilih jenis ubat yang paling berkesan, memantau rawatan, meramalkan kadar pemulihan serta memerhati sebarang tanda sel kanser berulang.

“Seperti yang dijelaskan, penanda tumor berbeza digunakan untuk menguji pelbagai jenis kanser.

“Bagaimanapun, terdapat juga beberapa jenis kanser yang tidak mempunyai penanda tumor. Jadi, adalah lebih baik pesakit berbincang dengan doktor sebelum memutuskan sama ada mahu atau tidak menjalani ujian. Antara pilihan lain untuk melihat jenis kanser tertentu ialah kolonoskopi (kanser kolorektal), mamogram (kanser payudara), lumuran pap (kanser serviks) dan ujian darah FOBT (kanser kolorektal).

“Individu yang mempunyai risiko kanser tinggi perlu berbincang dengan doktor, diberi penerangan jelas dan khidmat nasihat bersesuaian mengenai bagaimana untuk mengurangkan risiko kanser pada usia muda,” katanya.

Kesan buruk penanda tumor sebagai ujian saringan

Kata Dr Verna, dalam kebanyakan situasi, orang mungkin akan bertanya, adakah mereka bebas kanser memandangkan hasil ujian penanda tumor yang diambil menunjukkan tahap yang sangat rendah?

“Sedangkan tahap penanda tumor yang tinggi sekalipun tidak didiagnos sebagai kanser, begitu juga dengan mereka yang menggunakan cara sama dan memperoleh bacaan tahap rendah. Kami tidak boleh bergantung kepada hasil ujian semata-mata untuk menentukan bahawa anda bebas daripada penyakit ini kerana penanda tumor berpotensi memberikan keputusan palsu atau mungkin negatif palsu.

“Seperkara lagi, apabila anda terlalu terkejut dengan tahap ujian tumor yang tidak normal, anda mungkin akan bertindak meyakinkan doktor untuk memberi tumpuan menyiasat sama ada anda benar-benar berisiko mengalami kanser. Atau lebih buruk lagi, walaupun mendapat keputusan negatif-palsu selepas melalui pelbagai ujian invasif lain, anda mungkin menghadapi masalah untuk menerima bahawa anda benar-benar bebas daripada kanser kerana terikat dengan emosi yang mempercayai ujian penanda tumor.

“Ini antara komplikasi dari sudut psikologi yang akan mengganggu seseorang individu. Secara tidak langsung, keadaan ini boleh mendatangkan kesan kebimbangan, ketakutan berlebihan dan gangguan kemurungan,” katanya.

Perlu diketahui

Had Ujian Penanda Tumor termasuk:

• Banyak penyakit bukan kanser juga boleh meningkatkan tahap penanda tumor.

• Beberapa paras penanda tumor mempunyai garis asas yang tinggi dalam individu yang normal.

• Adalah sukar untuk mendapatkan hasil yang konsisten kerana tahap penanda tumor boleh berubah dari masa ke masa.

• Tahap penanda tumor tidak dapat dinaikkan sehingga penyebaran kanser (ini tidak berguna untuk pengesanan awal, pemeriksaan, atau memerhatikan pengulangan).

• Banyak kanser yang biasa tidak menghasilkan penanda tumor.

Apabila anda membuat keputusan menjalani ujian penanda tumor, tanyakan soalan berikut kepada doktor;

• Adakah doktor mengesyorkan saya menjalani ujian penanda tumor? Jika ya, yang mana?

• Bagaimana ujian dilakukan? Berapa kerap perlu diuji?

• Bolehkah doktor menerangkan impak keputusan ujian?

• Jika saya mempunyai tahap penanda tumor yang tidak normal, apakah maksudnya? Bagaimana ia menjejaskan kesihatan saya?

• Bagaimanakah ujian penanda tumor digunakan dalam penjagaan susulan saya?

• Di mana saya boleh mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai penanda tumor?

Sekarang bahawa anda mendapat maklumat yang baik, anda boleh menyelamatkan diri daripada mengalami kebimbangan yang tidak perlu dengan memeriksa dengan doktor anda jika ujian penanda tumor diperlukan untuk anda.

Ingat bahawa ujian ini mempunyai tujuan dan batasannya, oleh itu, keputusan kadang-kadang berubah-ubah menunjukkan positif palsu atau negatif palsu. Sekiranya anda sudah mengambil ujian dan jika tahapnya tinggi, simpan dan bercakap dengan doktor anda untuk mendapatkan keputusan yang tepat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 2:54 PM