KANAK-KANAK mempelajari sesuatu dengan berkesan apabila mereka sedang berseronok.
Susunan Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Membaca dan menulis adalah kemahiran yang amat penting dalam kehidupan harian. Kanak-kanak yang berjaya menguasai kemahiran ini sejak usia muda biasanya dapat mengharungi dunia akademik dan kerjaya profesional dengan jayanya.

Pandangan umum sering melihat kanak-kanak belajar membaca dan menulis semasa prasekolah atau darjah satu saja. Kenyataan ini ada kebenarannya, memang kanak-kanak mula membaca semasa prasekolah, tetapi sebenarnya apa yang berlaku sebelum itu memainkan peranan penting dalam menentukan bagaimana mereka belajar membaca serta menulis.

Kajian menunjukkan kanak-kanak dengan kemahiran pertuturan dan bahasa yang baik lebih bersedia menerima pelajaran dan mudah belajar membaca serta menulis.

Setiap ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak mereka dan banyak yang aktiviti boleh dilakukan bagi membantu permata hati berjaya di sekolah.

Kebanyakan aktiviti ini boleh dilakukan dengan menggalakkan kemahiran literasi awal secara menyeronokkan bersama anak dalam mendidik mereka membaca dan menulis di rumah.

KEMAHIRAN LITERASI AWAL

Pasti ada yang tertanya-tanya, apa itu kemahiran literasi awal? Literasi awal adalah segala maklumat mengenai membaca dan menulis yang diketahui oleh kanak-kanak sebelum mereka boleh membaca atau menulis.

Kemahiran literasi awal ini boleh dipupuk oleh ibu bapa semasa kanak-kanak berada pada umur dua hingga lima tahun. Dunia kanak-kanak penuh dengan aktiviti bermain. Kanak-kanak mempelajari sesuatu dengan berkesan apabila mereka sedang berseronok.

Sebenarnya kenyataan ini adalah benar untuk kita semua. Kita mempelajari sesuatu dengan lebih mudah dan berkesan apabila sedang berseronok, sama juga konsepnya dalam memperkenalkan kaedah literasi awal, perlulah dengan kaedah menarik.

Kemahiran literasi awal adalah kritikal kerana ia menentukan sebaik mana kanak-kanak mampu mempelajari kemahiran membaca dan menulis.

Kanak-kanak yang mempunyai kemahiran literasi awal yang baik lebih mudah belajar membaca dan menulis. Kemahiran membaca dan menulis yang lebih baik membantu meningkatkan pencapaian akademik mereka.

Ada pelbagai cara yang menarik untuk menggalakkan perkembangan kemahiran literasi awal dan cadangan aktiviti di bawah mungkin boleh membantu ibu bapa.

Jadilah ibu bapa dan penjaga yang kreatif. Berseronoklah bersama anak kerana ini membantu mereka mencipta kejayaan yang cemerlang dalam kemahiran membaca dan menulis.

1. Permainan yang membabitkan perkataan

Satu cara yang menarik untuk memperkenalkan literasi awal adalah melalui:

- Bermain permainan berunsurkan huruf dan perkataan

- Kanak-kanak biasanya lebih mudah mempelajari sesuatu secara tidak langsung

- Mengajar secara teratur memang perlu, tetapi pada peringkat awal adalah lebih sesuai dengan permainan

- Mempelajari konsep literasi awal sambil berseronok.

Antara permainan yang dapat mengembangkan literasi awal adalah:

- Meneka perkataan yang bermula dengan huruf atau bunyi tertentu. Tekankan bunyi atau huruf awal supaya kanak-kanak peka kepada bunyi awal perkataan.

- Galakkan mereka melihat sekeliling untuk mencari jawapan.

- Permainan Sahibba, Saidina, Scrabble, Boggle atau Upwords. Kebanyakan permainan itu tampil dengan versi yang mudah untuk kanak-kanak yang lebih kecil.

Cara berkenaan dapat memperkenalkan mereka kepada dunia literasi dengan cara yang menarik dan menyeronokkan.

2. Tunjukkan perkataan dan huruf di mana saja

Selain permainan, cara lain untuk menggalakkan kemahiran literasi awal adalah dengan menarik perhatian mereka melalui perkataan dan huruf yang berada di persekitaran kita.

Kanak-kanak perlu mengenali apa itu huruf dan perkataan sebelum boleh membaca. Ibu bapa tidak perlu mengajar kanak-kanak berumur dua atau tiga tahun untuk membaca.

Sebaliknya, cuma memperkenalkan konsep mengenai tulisan, perkataan dan huruf agar mereka mempunyai kesedaran serta pendedahan awal kepada perkataan.

Pendedahan awal ini adalah kemahiran literasi yang akan membantu mereka untuk membaca dan menulis. Perkataan yang paling mudah untuk ditunjukkan kepada kanak-kanak seperti logo yang kelihatan di kebanyakan tempat.

Ibu bapa boleh juga menggunakan perkataan yang terdapat pada baju, permainan dan kotak makanan untuk memberi pendedahan awal kepada konsep cetakan.

Perlu diingati bahawa tujuan aktiviti bukan untuk mengajar membaca, tetapi sebagai pengenalan kepada dunia literasi. Lama-kelamaan, mereka dapat mengenali dan memahami logo serta perkataan yang biasa dilihat atau ditunjukkan.

Ini adalah asas kepada kemahiran membaca iaitu mengenali perkataan dan memahami maksudnya. Sebagai ibu bapa kita perlu peka kepada perkataan dan huruf yang berada di sekeliling sekali gus mengambil kesempatan menarik perhatian kanak-kanak kepada huruf yang dijumpai.

Nikmati aktiviti literasi awal ini dan pastinya anak anda yang akan menunjukkan perkataan serta huruf di persekitaran walaupun belum boleh membaca. Ini membuktikan mereka sudah menguasai kemahiran literasi awal.

3. Berpantun dan mencari perkataan berirama

Membaca pada dasarnya adalah memahami erti bunyi bahasa apabila digabungkan menjadi perkataan dan seterusnya ayat. Bunyi ini adalah sama apabila disebut dan didengar atau dibaca dan ditulis.

Memandangkan pentingnya bunyi bahasa, setiap kanak-kanak harus mempunyai asas yang kukuh dalam mengenali serta menggunakan bunyi sebutannya.

Cara yang berkesan mengukuhkan konsep bunyi bahasa adalah dengan berpantun ataupun mencari perkataan berirama, yang bunyinya seakan-akan sama.

Misalnya, bermain untuk mencari perkataan yang sama bunyinya seperti ‘meja dan eja’ ataupun ‘ibu dan Sibu’. Kita juga boleh mengumpulkan perkataan dengan bunyi awalan yang sama seperti jem, jari, jeruk dan Jenny serta buat ayat menarik melalui perkataan berkenaan.

Mencari perkataan yang bunyinya sama akan menekankan konsep bunyi. Ia membantu kanak-kanak menjadi lebih peka dan bersedia membaca kerana asas bunyi sudah pun diperkenalkan.

Semasa membuat ayat atau mengumpul perkataan yang sama, petua yang perlu diingati:

- Tidak semestinya ayat itu betul dari segi maksud.

- Buatlah ayat yang lucu agar aktiviti ini menggembirakan kanak-kanak.

- Ini akan mengaitkan literasi dengan masa bahagia dan meningkatkan kecenderungan kanak-kanak untuk membaca dan menulis.

- Mencari perkataan, berpantun dan ayat berirama boleh dibuat di mana saja.

- Hiburkan hati sambil menanti waktu untuk sampai ke destinasi dengan berpantun dalam kereta, bas, kereta api atau kapal terbang.

- Boleh juga membuat ayat dalam restoran, semasa menunggu makanan dan cuba kaitkan pantun dengan hidangan.

- Bacalah pantun dan nyanyi lagu dengan perkataan yang berirama. Berseronoklah dengan kanak-kanak sambil mencari perkataan yang hampir sama bunyinya.

4. Jadilah contoh pembaca yang baik

Kepemimpinan melalui teladan adalah kata perangsang yang biasanya disarankan kepada pegawai atasan di jabatan kerajaan atau swasta. Ibu bapa juga adalah pemimpin keluarga dan kanak-kanak sentiasa memperhatikan kita.

Setiap perkataan yang disebut atau disuruh, pengajaran paling berkesan adalah melalui perkara yang kita lakukan. Sekiranya kita mengharapkan anak yang rajin membaca dan menulis, kita perlulah menjadi contoh atau teladan yang baik dengan cara:

- Luangkan masa untuk membaca akhbar, majalah atau buku.

- Pastikan anak melihat anda membaca.

- Berceritalah kepada anak mengenai apa yang sedang anda lakukan, tunjukkan gambar jika sesuai.

- Pastikan anak memerhatikan anda menulis aktiviti harian. Contohnya, menulis nama anak dalam buku, mencatat senarai barang untuk dibeli atau alamat pada sampul surat.

- Bercerita dengan anak mengenai tulisan yang ditulis.

- Beri mereka peluang untuk mencuba walaupun hanya menconteng atau pura-pura menulis.

- Apabila kanak-kanak memerhatikan orang dewasa terdekat membaca dan menulis, mereka akan faham bahawa ia adalah penting.

- membabitkan mereka untuk sama-sama membaca dan menulis akan menggalakkan lagi kecenderungan anak pada perkara sama di kemudian hari.

- Bacalah sekerap mungkin untuk menjadi teladan kepada anak tersayang.

5. Membaca buku bersama anak

Membaca buku cerita bersama anak terbukti dapat memupuk kemahiran literasi awal, bertutur dan memahami bahasa. Ini juga salah satu aktiviti yang dapat mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan anak.

Bayi dan kanak-kanak dalam lingkungan usia dua hingga tiga tahun sudah boleh menikmati buku cerita.

- Pilihlah buku yang bergambar dan mempunyai warna menarik.

- Anak juga boleh memilih buku kegemarannya.

- Duduk dengan selesa.

- Pilih masa yang sesuai ketika ibu bapa dan anak berasa tenang.

- Jangan setakat membaca saja, tetapi bercerita berdasarkan gambar.

- Gunakan suara yang menarik dan lakonkan aksi dalam cerita jika boleh.

- Anda juga boleh mengajukan soalan kepada anak berdasarkan cerita berkenaan.

- Selepas beberapa kali membaca cerita yang sama, beri peluang kepada anak untuk bercerita semula.

- Membaca bersama anak memberi peluang kepada mereka untuk membiasakan diri dengan buku, mengalami cara membelek buku serta kaedah betul untuk memegangnya. Semua ini adalah kemahiran awal literasi yang menyediakan kanak-kanak untuk belajar membaca.

- Luangkan masa setiap hari untuk sama-sama membaca buku kerana ini akan melahirkan anak yang bersedia, berminat dan pandai membaca.

Sumber: Portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2017 @ 12:27 PM