KEMPEN Selamatkan Kanak-Kanak berjaya menyedarkan remaja mengenai hak mereka.

Pengalaman diculik sangat menakutkan. Inilah yang dilalui Fatmata tahun lalu ketika berada di pasar di Mali. Memikirkan dia mungkin terpaksa mengahwini lelaki yang menculiknya, Fatmata tahu masa depannya hampir musnah.

Selepas diculik, remaja berusia 15 tahun itu dibawa ke sebuah perkampungan di selatan Mali. Di situlah Fatmata mengetahui budaya menculik remaja perempuan untuk dijadikan isteri tercetus kerana mahu membalas dendam. Rupanya, abangnya sendiri melarikan kakak lelaki yang menculiknya.

“Saya rasa sangat takut. Saya menangis sepanjang masa,” kata Fatmata kepada wakil Thomson Reuters Foundation ketika ditemui di sekolahnya di Kampung Mahou.

“Saya tidak suka lelaki itu dan saya benci perkahwinan paksa,” sambungnya sambil membetulkan tudungnya. Sesekali matanya menjeling ke arah bilik darjah yang kosong.

Mali adalah antara negara yang mencatatkan kes perkahwinan kanak-kanak paling tinggi di dunia. Menurut Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dianggarkan satu dalam tujuh kanak-kanak remaja berkahwin pada usia 15 tahun dan lebih 50 peratus dipaksa menjadi isteri tatkala usia mencecah 18 tahun.

Amalan perkahwinan bawah umur di Mali ini bertujuan mengukuhkan ikatan antara keluarga, mengurangkan kemiskinan dan mengelakkan stigma sekiranya remaja perempuan mengadakan hubungan seks sebelum berkahwin.

Di selatan Mali, kes menculik remaja perempuan untuk dijadikan isteri semakin meningkat dan sukar ditangani, kata aktivis dan pihak berkuasa tempatan. Ada sesetengah remaja yang bernasib baik berjaya melarikan diri atau dilepaskan, tetapi ramai yang dipaksa berkahwin dan melakukan kerja rumah tangga dan dipisahkan terus daripada keluarga mereka.

SOKONGAN RAKAN SEKOLAH

Kes sebeginilah yang menggerakkan semangat pelajar sekolah untuk membantu menyelamatkan rakan mereka daripada mengalami nasib sama. Kumpulan pelajar kini mengajar rakan sekelas mengenai kesihatan seksual dan reproduktif, selain memberi pendedahan berkenaan perkahwinan dan kehamilan bawah umur. Semua ini dilakukan untuk membantu pelajar remaja dan mangsa.

Penculikan Fatmata selama sebulan itu berakhir apabila rakan dan guru sekolah bekerjasama dengan pemerintah dan pihak berkuasa tempatan mengenakan tekanan kepada penculik dan keluarganya. Tekanan yang berpanjangan itulah akhirnya memaksa mereka membebaskan Fatmara sebelum sempat dia bersetuju berkahwin.

“Kami bangga dapat memainkan peranan dalam mencegah perkahwinan itu dan berunding untuk memastikan dia dapat kembali ke sekolah,” kata Marceline Moumkana, 16, rakan sekelas Fatmata.

MELAWAN KETAKUTAN DAN MALU

Di kawasan pedalaman Mahou, yang terletak 440 kilometer di barat Bamako (ibu kota Mali), perkahwinan bawah umur dan penculikan kanak-kanak sudah menjadi budaya. Lelaki yang menculik kanak-kanak perempuan biasanya tidak mampu membayar mas kahwin atau mengalami masalah mencari calon isteri. Jika si penculik mengadakan hubungan seks dengan remaja perempuan itu, si mangsa akan dianggap ‘sudah tercemar’ untuk mengahwini orang lain dan dengan ini keluarga mangsa terpaksa menerima lelaki berkenaan sebagai menantu.

“Remaja perempuan akan dibawa ke kampung lain dan dikahwinkan di sana. Sukar untuk menganggarkan jumlahnya kerana ia sudah menjadi perkara biasa,” kata pengetua sekolah di Mahou, Sonou Diarra.

Bagaimanapun, katanya, sejak 2015, di sekolah itu tiada seorang pun daripada 900 pelajar perempuan di situ dikahwinkan apabila kempen Selamatkan Kanak-Kanak dilancarkan secara besar-besaran bagi meningkatkan tahap pendidikan mereka termasuk membincangkan pelbagai isu merangkumi kesihatan seksual dan perkahwinan paksa.

Pengajar rakan sebaya bersungguh-sungguh memberi pendedahan mengenai perkara itu dalam pelbagai cara seperti mengadakan ceramah dan persembahan mengenai seks, haid dan kehamilan. Malah mereka juga bersedia menjadi pendidik, penasihat dan pendengar untuk menenangkan rakan sekelas.

“Sesetengah remaja malu hendak ke klinik untuk merancang kehamilan kerana bimbang dikata orang. Jadi kami akan menemani mereka,” kata Djemeba Kone, 18, seorang pembimbing rakan sebaya. Pelajar ini juga membantu ibu muda dan remaja hamil yang kebanyakannya tidak pernah bersekolah dengan memberi maklumat mengenai perancangan keluarga dan penjagaan selepas bersalin.

“Walaupun kami tidak dapat menghalang remaja ini daripada berkahwin dan mengandung, kami masih boleh membantu memperbaiki kehidupan mereka,” kata Kone yang memakai kemeja-T bertulis ‘Haid bukan penyakit dan tidak memalukan’.

Pada masa sama, remaja lelaki juga perlu belajar mengenai tanggungjawab apabila menjadi bapa atau suami, kata Yacouba Sanou, pelajar lelaki berusia 16 tahun. Ini kerana kebanyakan pelajar lelaki enggan mendengar, memahami atau bertanggungjawab ke atas tindakan mereka.

GANDINGAN BERSAMA

Pelajar, guru, pemimpin dan pihak berkuasa tempatan kini saling berganding bahu bertemu lelaki yang menculik remaja perempuan untuk memujuk mereka membebaskan mangsa.

“Apabila mangsa pulang ke rumah, kami tawarkan penjagaan kesihatan bagi memastikan mereka kembali ke sekolah secepat mungkin,” kata koordinator projek Selamatkan Kanak-kanak, Yahid Dicko.

Isu ini sukar ditangani kerana di Mali, penculikan dan perkahwinan bawah umur dilihat sebagai satu budaya, bukan jenayah walaupun had umur untuk berkahwin adalah 16 tahun bagi perempuan dan 18 tahun bagi lelaki.

Fatmata sendiri amat bersyukur dengan usaha rakan sekolahnya. Dia kini bebas untuk menyambung pelajaran dan menentukan hidupnya.

“Saya gembira dapat kembali belajar untuk masa depan dan boleh memilih calon suami sendiri apabila sampai masanya kelak,” katanya. - Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2017 @ 1:08 PM