SUASANA kelas tuisyen percuma.
SHARIFAH Sharina menyusun buku untuk diagihkan kepada perpustakaan kelas rakyat.
SHARIFAH Sharina memberi penerangan ketika program Shopping Raya.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Pembabitan dalam program kebajikan memerlukan jiwa yang kental dan semangat tidak berbelah bahagi terutama apabila dilakukan atas inisiatif sendiri dengan hanya mengharap bantuan dan sumbangan penderma berjiwa murni.

Namun, kemuliaan hati tiga rakan mewujudkan projek amal yang digelar Projek Iqra sejak lebih empat tahun lalu wajar diberi pujian. Mana tidaknya, jika orang lain selesa menghabiskan waktu terluang bersama keluarga di rumah, mereka mengerah keringat membantu golongan yang memerlukan atas dasar kemanusiaan.

Naib Pengerusi Projek Iqra Malaysia, Sharifah Sharina Syed Aswad berkata, idea Projek Iqra itu tercetus selepas mendengar dan melihat sendiri kesukaran anak yatim lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyambung semula pelajaran walaupun berminat dan mempunyai kelayakan kerana tidak mempunyai wang untuk membayar yuran pendahuluan di pusat pengajian tinggi, membeli peralatan seperti buku bagi memulakan pengajian serta pelbagai kekangan lain yang menjadi tembok penghalang mereka meneruskan cita-cita.

Selain itu Projek Iqra juga bekerjasama dengan rumah anak yatim dalam menjalankan program berbentuk pendidikan, kesihatan dan pelbagai lagi yang boleh memberikan manfaat.

Sharifah Sharina berkata, dia bersama dua rakan, Maman Solleh dan Suhaimi Abdul Manan sebelum ini sama-sama menuntut di Universiti Teknologi Malaysia pada 1998 hingga 2001 terpanggil untuk bekerjasama selepas masing-masing bergiat aktif dalam pelbagai projek amal sejak 2010.

“Kali pertama terbabit dengan kerja amal adalah selepas saya diberhentikan kerja. Sebelum mencari kerja baru saya terfikir untuk rehat sebentar dan mencari aktiviti lain selain bekerja makan gaji.

“Jadi, ketika itu saya terfikir untuk cuba mengajar secara percuma, saya melayari Internet dan terjumpa rumah kebajikan di Setapak. Saya hubungi pengetuanya dan menawarkan diri untuk mengajar secara percuma, mereka benarkan dan selama setahun saya menjadi pendidik di sana,” katanya.

Anak jati Kuala Lumpur itu menambah, pengalaman pertamanya itu membawanya ke Pusat Aktiviti Kanak-kanak di Chow Kit sebagai pengajar dan selepas itu memperluaskan khidmat dari satu rumah kebajikan ke rumah kebajikan lain dan sekarang melalui Projek Iqra, mereka fokus pula kepada komuniti.

FOKUS ISU PENDIDIKAN

Menurut wanita berusia 37 tahun ini, pengalaman pertama menyertai program kebajikan amat bermakna kerana ketika itu barulah dia tahu bagaimana sistem pengurusan rumah anak yatim dan tahap pendidikan penghuni rumah terbabit hingga ketika penubuhan Projek Iqra pada 2013, mereka memilih untuk fokus terhadap isu pendidikan yang dilihat sebagai isu besar dan amat perlu dibantu.

“Saya terus mendapat dorongan ramai rakan dan menerusi pembacaan banyak artikel dan surat khabar saya sedikit sebanyak mendapat idea. Apabila mula mengajar di Chow Kit, saya mengenali ramai rakan yang terbabit dalam bidang sukarelawan dan sejak itu rangkaian kerja dalam bidang ini bertambah dan semakin besar.

“Paling tidak dapat dilupakan ketika kali pertama saya anjurkan program Shopping Raya di sebuah rumah kebajikan di Titiwangsa, yang pada ketika itu saya belum menjadi ahli atau menubuhkan persatuan.

“Seorang rakan menghubungi saya dan meminta membantu penghuni rumah anak yatim yang teringin sangat merasai pengalaman membeli-belah sempena menyambut Syawal.

“Ketika itulah tercetus idea Shopping Raya dan saya hanya warwarkan menerusi Facebook (FB) mengatakan kami ingin membawa sekumpulan anak yatim dan asnaf dari rumah itu ke pusat beli-belah dengan bajet tertentu.

“Saya minta rakan FB tolong sebarkan untuk mencari individu yang ingin menaja 40 penghuni rumah anak yatim itu. Alhamdulillah, dengan bajet RM100 seorang, kami dapat membuat kutipan dalam masa yang singkat.

“Seterusnya, kami uar-uarkan pula peluang menjadi sukarelawan untuk membawa anak yatim dan asnaf ke pusat beli-belah. Tidak sangka kami dapat mengumpulkan hampir 50 orang sukarelawan membawa penghuni mendapatkan barangan keperluan raya.

“Terima kasih kepada semua dermawan yang baik budi. Mereka menunaikan impian 40 kanak-kanak yang tidak pernah merasai pengalaman membeli keperluan raya sendiri. Apa yang mengharukan, ada juga sukarelawan membelanjakan sedikit duit mereka sendiri untuk penghuni, ada yang membawa memotong rambut dan pelbagai pengalaman menarik ketika itu. Dari situ program itu dilaksanakan setiap tahun hingga Ramadan lalu,” katanya.

Hasil usaha keras Sharifah Sharina dan kumpulan NGO itu tidak dilupakan apabila pada 2015 mereka menerima penghargaan menerusi anugerah Digi WWWow kategori Impak Sosial sekali gus menerima wang tunai RM10,000.

INGIN LAHIRKAN PELAPIS

Kini katanya, impian dan harapan mereka adalah untuk melahirkan generasi pelapis yang akan menyambung serta memperluaskan kerja amal dalam masyarakat. Untuk itu, mereka kini giat melatih generasi muda untuk menguruskan projek kebajikan.

Sharifah Sharina turut berharap agar suatu hari nanti generasi pelapis yang dilatih boleh mengambil alih tugas yang mereka lakukan, menambah bilangan penerima manfaat dan membesarkan lagi cakupan kawasan yang menerima manfaat daripada program yang dijalankan selama ini.

“Kami juga bercita-cita membuka sekolah untuk membantu pelajar yang masih lemah membaca dan menulis walaupun sudah berada di sekolah rendah dan menengah.

“Kita mahu bantu pulihkan mereka terutama dalam subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik serta Fardu Ain. Selepas satu tempoh mereka akan dihantar semula ke sekolah biasa. Ini adalah perancangan besar yang kami harap dapat laksanakan dengan bantuan sahabat kami, Akademi i-Sinar,” katanya.

Berkaitan pembabitan wanita dalam bidang ini, katanya peranan kaum itu amat dialu-alukan malah tidak semestinya terbabit dalam projek kebajikan atau sukarela yang besar.

Sebaliknya, beliau berpendapat peluang untuk melakukan kebajikan sentiasa terbuka termasuklah dalam komuniti sendiri contohnya membantu anak jiran tetangga yang tertinggal atau lemah dalam pelajaran yang tidak mampu membayar kelas tuisyen.

Selain itu katanya, wanita boleh menghulur bantuan dalam hal berkaitan alam sekitar dan pelbagai perkara yang boleh dilakukan di sekitar tempat tinggal dan kerja.

“Perkara kebajikan paling mudah kita boleh lakukan ialah memberi makanan kepada anjing atau kucing jalanan yang terbiar atau menghantar haiwan ini ke klinik haiwan untuk dimandulkan.

“Saya juga galakkan wanita untuk memulakan kerja amal ini secepat mungkin, lebih baik jika dilakukan pada usia muda. Ini kerana jika kita sudah mula melakukannya dari muda, kerja kebajikan ini akan menjadi perkara biasa dan boleh memasukkannya dalam jadual harian kita. Insya-Allah sikap atau minat ini akan berkembang dan berpanjangan hinggalah ke usia tua nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2017 @ 11:59 AM