DR Nazirin (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Byron Origins Pty Ltd (dua dari kanan) Jason McCombie pada pelancaran produk Meditree Tea Tree.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Memiliki kulit bebas jerawat menjadi idaman setiap orang namun ia salah satu keadaan kulit paling biasa dalam kalangan remaja dan dewasa dengan 15 hingga 20 peratus populasi di dunia mengalami jerawat.

Jerawat terjadi disebabkan banyak faktor antaranya perubahan hormon iaitu peningkatan paras androgen dalam kanak-kanak lelaki dan perempuan ketika akil baligh menyebabkan kelenjar sebum membesar dan menghasilkan lebih banyak sebum.

Selain itu, perubahan hormon selama tempoh haid, kehamilan dan sindrom ovarium polisistik turut menyumbang kepada kemunculan jerawat.

Pakar Dermatologi Hospital Pantai Dr Nazirin Ariffin berkata, penggunaan ubat tertentu misalnya kortikosteroid, androgen atau litium memburukkan lagi masalah jerawat selain sejarah keluarga atau genetik turut menyumbang kepada keadaan itu.

Menurutnya, tekanan dan pendedahan terhadap alam sekitar yang kurang bersih juga antara faktor berlaku jerawat. Keadaan boleh bertambah buruk jika seseorang itu tidak mengamalkan penjagaan wajah yang betul dan baik.

Beliau berkata, jerawat kadang-kadang tidak dirawat sehingga ia menjadi teruk yang boleh membawa kepada masalah fizikal dan psikologi seperti parut kekal, keyakinan diri yang rendah, kemurungan dan kemungkinan juga pengasingan sosial pada peringkat kemudiannya.

“Memilih produk yang betul dan sesuai dengan jenis kulit anda adalah penting kerana kulit perlu dibersihkan setiap hari supaya bebas kotoran, minyak berlebihan dan bakteria yang berpotensi untuk menyumbatkan liang pori dan menyebabkan jerawat.

“Punca masalah jerawat, bintik hitam dan putih juga boleh berlaku disebabkan kelenjar kulit yang terlalu aktif. Kelenjar ini mengandungi sejenis bahan berminyak dipanggil sebum yang berguna untuk melembapkan bulu roma dan bahagian kulit tubuh.

“Bakteria pada kulit akan menjadikan sebum sebagai makanan, membiak berkali ganda dan mendiami kawasan bermasalah itu. Kelenjar berminyak lebih banyak terdapat pada bahagian wajah, bahu atau belakang tubuh dan dada menyebabkan kawasan itu mudah mengalami masalah,” katanya.

“Antara kategori jerawat boleh berlaku adalah bintik hitam dan putih, kemerahan dan mengandungi nanah yang agak kritikal dan meninggalkan kesan parut apabila kering.

“Oleh itu, penggunaan bahan semula jadi antara produk terbaik bagi memastikan kesihatan kulit sentiasa terpelihara,” katanya pada majlis pelancaran rangkaian produk penjagaan kulit bermasalah, Meditree Tea Tree.

Katanya, bagi mengatasi masalah kulit berjerawat beberapa cara dikenal pasti untuk mengawal kulit bermasalah dengan lebih berkesan.

Antaranya, penggunaan minyak tea tree dapat membantu mengawal bakteria yang berpunca daripada penghasilan sebum berlebihan.

“Kelenjar kulit dirangsang dan sebum berlebihan terhasil menyebabkan radang dan bengkak pada bahagian kulit. Jadi, penggunaan minyak tea tree dikenali sebagai ejen antibakteria, antivirus dan antiseptik amat membantu bagi mengurangkan masalah kulit berjerawat.

“Minyak itu mengeluarkan bahan dinamakan ‘terpenoid’ membantu membunuh kulat dan bakteria. Minyak ini juga menggantikan antibiotik dan produk berasaskan kimia untuk merawat penyakit kulit biasa. Ia juga dianggap sebagai satu kaedah rawatan bagi mengatasi banyak masalah kulit dan jangkitan bakteria,” katanya.

Dalam pada itu, dirumuskan khas untuk kulit berminyak, kombinasi dan berjerawat, rangkaian produk Meditree Tea Tree menggabungkan bahan semula jadi tea tree dan ekstrak kulit pokok willow yang bertindak secara sinergi untuk menyediakan dua tindakan dalam mengurangkan akne dan jerawat supaya meninggalkan kulit berasa segar dan bersih.

Tea tree mempunyai ciri antiseptik sementara ekstrak kulit pokok willow mengandungi asid salisilik semula jadi yang paling tinggi dan menjadikan ia sesuai sebagai agen antiradang pada kulit.

Rangkaian produk itu termasuk Tea Tree Facial Cleanser, Tea Tree Face Scrub & Mask, Tea Tree Hydrator, Tea Tree Acne Gel dan 100% Tea Tree Oil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2017 @ 11:33 AM