SEKILAS pandang, peplum biru diraja ini nampak ringkas dan cukup menawan. Memperlihatkan perincian manik, bunga, batu kristal dan cangkerang di bahagian bawah dada dan lengan, peplum ini membawa imaginasi busana indah si duyung jelita. Pastinya pasangan dan anak teruna berbangga sedondon bersama.
SABAN tahun rona hijau zamrud tidak pernah lapuk dek zaman. Serlahan warnanya saja sudah cukup untuk menonjolkan ciri busana elegan. Helaian ini adalah satu-satunya busana peplum yang direka polos tanpa sebarang perincian. Begitupun, anda masih boleh bergaya dengan memadankan pelbagai aksesori seperti rantai pinggang. Pasangan nampak maskulin menyarung baju sedondon di sisi.
PEPLUM rona merah jambu pudar ini cukup manis digayakan sedondon ke rumah terbuka. Dihias dengan renda Perancis, busana ini nampak cukup ayu dan lembut untuk digayakan sedondon dengan anak perempuan. Lebih beruntung jika pasangan anda seorang yang terbuka dan tidak kisah menggayakan baju Melayu rona sama!
ANDAI pagi raya sudah menyarung kurung dan peplum, gaun hijau pudina ini mungkin pilihan tepat untuk memenuhi jemputan ke majlis rumah terbuka. Tidak kira jenis bertingkat atau gaun kembang, kedua-duanya cukup menawan! Manik mutiara dan renda kembangnya menonjolkan gaya manis bak puteri, manakala susunan bertingkat menampilkan ciri mewah. Pasangan juga nampak ceria dengan baju Melayu rona sama.
JARANG sekali kita memilih rona hitam untuk berhari raya. Namun, busana dengan perincian renda Perancis ini langsung tidak nampak janggal, malah bergaya. Padanan tudung rona merah jambu terangnya menaikkan seri busana, menjadikan gaun kurung ini begitu unik dan eksklusif untuk digayakan.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Fesyen sedondon sememangnya menjadi pilihan menjelang lebaran, terutama bagi mereka yang berkeluarga. Ia umpama tradisi turun-temurun untuk mewujudkan tema raya, sekali gus memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri dengan cara tersendiri.

Suami segak berbaju Melayu, anak berseri dengan gaun kembang, manakala isteri kekal anggun mengenakan rekaan peplum labuh bertatahkan labuci, manik dan kristal Swarovski. Ini tentunya menambah kemeriahan saat mengunjungi rumah terbuka.

Begitupun, dalam tempoh terhad ini, pakaian siap jahit di butik paling banyak mencuri tumpuan. Ia bukan setakat mudah dimiliki, tetapi turut menyediakan pelbagai rekaan terkini yang tidak ketinggalan zaman.

Bagi penduduk Shah Alam, koleksi pakaian sedondon di Butik Zurfauzie Classic di SACC Mall mungkin sesuai dengan tema lebaran kali ini. Butik milik Faudziah Yusoff itu bukan saja menjadi pilihan golongan biasa, malah mencuri tumpuan selebriti tempatan serta golongan kenamaan yang mahukan kelainan dalam gaya.

Kata Faudziah, butiknya menawarkan kelainan dari segi potongan busana, pemilihan fabrik dan perincian, seiring cogan katanya, elit, eksklusif serta elegan.

“Jika diperhatikan, baju peplum biasa kebanyakannya pendek dan terlalu menonjol sehingga ramai yang tidak sesuai menggayakannya. Tetapi kami tampil dengan idea lebih kreatif iaitu menjadikan baju peplum lebih labuh dan nampak sopan.

“Malah ada antara pelanggan kami yang bertubuh besar, namun masih cantik menggayakan peplum. Secara tidak langsung, ia bukan setakat berjaya menyerlahkan gaya wanita, malah turut meningkatkan keyakinan mereka untuk berfesyen,” katanya.

Selain rekaan peplum, pelbagai rekaan baju moden lain turut disediakan antaranya fesyen baju kurung moden dan gaun bertingkat dengan perincian renda, manik serta batuan kristal untuk wanita dan kanak-kanak.

“Untuk rekaan peplum tahun ini, saya banyak bermain dengan lipatan, padanan corak renda Perancis, manik serta susunan batu Swarovski untuk menonjolkan kemeriahan lebaran.

“Fokus perincian adalah di bahagian bawah dada, sisi ke pinggul serta lengan. Ada juga rekaan yang menonjolkan lipatan bertingkat di bahagian depan untuk ciri elegan dan mewah.

“Sementara di bahagian belakangnya sengaja dibuat labuh mengikut potongan ekor ikan untuk menampakkan ilusi kurus yang menyerlahkan penampilan sopan. Jenis potongan ini sesuai untuk semua, khususnya golongan ibu, wanita pertengahan usia serta mereka yang kurang yakin untuk tampil bergaya disebabkan perubahan bentuk tubuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2017 @ 11:31 AM