CEF melayan kerenah kanak-kanak .
KANAK-kanak Living Hope dan Yayasan Generasi Gemilang menghias biskut raksasa .
DARI kiri, Dr Peggy Wong, Cef Hisham Jaafar, Alan Pryor, Angeline van den Broecke, Chen Soo Yoong dan Cef Jamaluddin Zainul Abidin menilai biskut raksasa.
DARI kiri, Alan Pryor, John Burke dan Dorai Raj Kolandapayan menyampaikan duit raya.
PASUKAN Pengurusan Kanan KLCC bersama kanak-kanak dari Living Hope dan Yayasan Generasi Gemilang.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Saban tahun Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) tidak ketinggalan menghidupkan semangat bersedekah khususnya ketika Ramadan. Menganjurkan majlis amal berbuka puasa tahunan buat kali ke-10, tahun ini KLCC menyambut kedatangan 100 kanak-kanak dari Living Hope dan Yayasan Generasi Gemilang (GG) serta 50 pesakit Yayasan Buah Pinggang Negara (NKF) Malaysia bersama keluarga mereka ke jamuan berbuka puasa yang meriah lagi menyeronokkan.

Majlis keramaian itu dimulakan dengan acara menghias biskut raksasa bertema hari raya oleh tetamu VIP kecil diketuai cef dan pasukan kulinari KLCC bersama rakan media.

Selain aising, mereka menggunakan taburan gula-gula halus, butang coklat dan aneka hiasan lain yang lazat. Sebaik sahaja azan Maghrib berkumandang menandakan tibanya waktu berbuka, tetamu jemputan diraikan dengan jamuan bertema Kampung Klasik.

Ia menggabungkan pelbagai sajian makanan kontemporari dan tradisional yang menambat selera.

Pengurus Besarnya Alan Pryor berkata, KLCC sentiasa berbesar hati menganjurkan majlis istimewa berkenaan, khusus untuk menceriakan sambutan Ramadan bagi golongan kurang bernasib baik.

“Senyuman dan derai ketawa kanak-kanak sepanjang majlis berlangsung bukan sahaja menyentuh hati kami, tetapi turut menceriakan tempat ini.

“Apa yang penting, kami berbangga menganjurkan majlis berbuka puasa ke-10 dan berharap dapat meneruskan hubungan dengan Living Hope, Yayasan Generasi Gemilang serta Yayasan Buah Pinggang Negara (NKF) Malaysia untuk tahun seterusnya.

“Tahniah kepada Living Hope sempena ulang tahun ke-10 mereka. Saya kagum dengan kejayaan mereka membantu kanak-kanak miskin, memerlukan dan terpinggir di Malaysia. Usaha mereka untuk memberikan masa depan yang lebih baik kepada kanak-kanak kurang bernasib baik patut disanjung tinggi,” katanya.

Kemuncak malam istimewa itu, Alan Pryor dan pasukan pengurusan kanannya mengagihkan manisan yang disediakan pasukan kulinari dan duit raya kepada tetamu kecil dari Living Hope dan GG, serta pesakit NKF bersama keluarga mereka.

Terima kasih, tahniah

Ternyata kemurahan hati pengurusan KLCC meninggalkan kesan mendalam di hati setiap tetamunya. Bagi mereka, inisiatif diambil KLCC itu membawa makna cukup besar kepada kanak-kanak, apalagi mereka yang masih kecil.

Pengasas GG, Daniel Tan berkata, pihaknya berterima kasih kepada KLCC kerana menganjurkan majlis amal yang cukup gah untuk menggembirakan anak-anak jagaannya.

“KLCC sentiasa merancang yang terbaik setiap tahun untuk menggembirakan serta mengukir senyuman di wajah kanak-kanak. Mereka adakan pelbagai aktiviti kreatif dan menyeronokkan.

“Pastinya setiap aktiviti dan makanan lazat yang disediakan menjadi kenangan indah buat mereka pada Ramadan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengasas dan Pengerusi Living Hope, Dr Peggy Wong turut menyampaikan ucapan tahniah kepada KLCC. Beliau menghargai undangan serta kerjasama KLCC dalam merealisasikan impian kanak-kanak setiap kali bulan puasa.

“Kami sudah menjadi sebahagian daripada acara berbuka puasa Pusat Konvensyen sejak 2008 dan setiap tahun, ikatan hubungan antara kakitangan KLCC dan anak-anak semakin akrab.

“Kami teruja melihat sebuah organisasi seperti KLCC sanggup berkongsi keceriaan musim perayaan dengan kanak-kanak yang kurang bernasib baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2017 @ 12:53 PM