ANTARA aktiviti ketika program berlangsung
SESI bergambar menyeronokkan bersama keluarga.
PEMENANG utama memenangi hadiah wang tunai.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Kelaziman terhadap penyakit ekzema semakin meningkat terutama di kawasan bandar dan ia menjejaskan kira-kira satu dalam lima bayi dan kanak-kanak di Malaysia.

Oleh itu, pentingnya Bulan Kesedaran Ekzema Kebangsaan (Nezam) untuk memperkasakan ibu bapa, penjaga dan pesakit mengenai pengurusan jangka panjang yang betul dan penjagaan ekzema.

Baru-baru ini, krim peranti perubatan untuk ekzema, Atopiclair mengadakan program Pencarian Harta Karun Ibu Bapa dan Anak Nezam sebagai sebahagian kempen tahunannya.

Diadakan di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, program itu menarik kira-kira 250 peserta terdiri daripada ibu bapa dan kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah.

Ia bertujuan mendidik orang ramai mengenai ekzema dengan cara menyeronokkan melalui pembabitan keluarga yang mengambil bahagian untuk bekerjasama dalam pencarian harta karun. Beberapa permainan pendidikan lain juga disediakan semasa aktiviti berlangsung.

Nezam, kempen kesedaran di seluruh negara untuk pengurusan jangka panjang ekzema oleh Atopiclair, yang bertujuan mendidik orang ramai mengenai kepentingan menguruskan ekzema dalam kalangan kanak-kanak pertama kali dilancarkan pada 2015 dan sejak itu ia dijadikan acara tahunan di bawah sokongan Persatuan Dermatologi Malaysia (PDM).

Tahun ini, Persatuan Alergi dan Imunologi Malaysia (MSAI) turut menyertai kempen dalam usaha menyebarkan kesedaran ini.

Pengurus Produk Atopiclair Pan Jen Lin berkata, setiap tahun, produk itu akan menganjurkan pelbagai acara unik untuk membuatkan pembelajaran mengenai ekzema menarik dan menyeronokkan untuk seisi keluarga.

Katanya, mereka turut menggunakan pelbagai pendekatan untuk mendekati pesakit dan orang ramai termasuk akhbar serta ceramah umum di hospital.

“Kami berharap menyebarkan mesej mengenai implikasi peningkatan kes ekzema kepada ahli farmasi tempatan dan pengamal perubatan am dengan harapan mereka boleh membantu menjana kesedaran lebih baik kepada orang ramai.

“Melalui inisiatif ini, kami turut berharap lebih ramai akan belajar menangani ekzema dengan lebih berkesan kerana ini akan meningkatkan kualiti kehidupan mereka dan seisi keluarga,” katanya.

Mendapat sokongan PDM dan MSAI, Nezam turut melancarkan buku edisi kedua mereka yang disumbangkan bersama oleh Pakar Perunding Pediatrik Dermatologi Hospital Kuala Lumpur, Dr Leong Kin Fon dan Pakar Perunding Alahan dan Imunologi Pusat Perubatan Gleneagles Kuala Lumpur, Dr Kent Woo.

Melengkapi buku edisi pertama yang dilancarkan pada 2015, buku itu menggali cara efektif untuk menguruskan ekzema, menawarkan panduan untuk mendidik penjaga dan ibu bapa. Buku itu membincangkan antara topik lain termasuk punca gatal dan menggaru, titik utama kebiasaan ekzema, pencegahan dan pengurusan ekzema, menggunakan krim pengawal berkesan dan juga 8 Mitos Biasa Ekzema.

Antara tip ketara yang boleh didapati di dalam buku ini termasuk langkah pencegahan untuk diambil semasa tanda awal ekzema. Kebersihan memainkan peranan penting dalam mengurangkan ledakan ekzema yang turut disentuh dalam buku itu tetapi ada juga kaedah lain untuk membantu menguruskan keadaan itu.

Menggunakan krim pengawal untuk memerangi ekzema adalah salah satu cara yang boleh memberikan bantuan kepada kanak-kanak tetapi penting untuk mengetahui bagaimana cara terbaik menggunakan dan memilih krim itu.

Salinan percuma buku edisi kedua Nezam boleh didapati melalui hospital terpilih, klinik dan rakan kongsi runcit Atopiclair, farmasi Caring. Buku itu juga boleh dimuat turun melalui kod QR atau http://eczema-­management.com.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2017 @ 2:07 PM