PEMILIHAN kasut bersaiz tepat antara langkah menjaga kaki.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


Kaki perlu diberi perhatian khusus kerana anggota penting itu mempunyai peranan terbesar dalam kehidupan seharian iaitu sebagai pelengkap diri, melancarkan pergerakan dan menampung berat badan.

Wajah dan bentuk badan yang cantik tidak memberikan apa-apa makna sekiranya kaki tidak dijaga rapi yang akhirnya meninggalkan kemudaratan pada kesihatan seseorang.

Pastinya penjagaan anggota yang tidak dapat ditukar ganti itu memerlukan keprihatinan dalam memastikan kaki sentiasa berada pada tahap kesihatan yang baik.

Antara kaedah menjaga kesihatan kaki adalah melalui pemakaian kasut bersaiz tepat, selesa dan bersesuaian dengan aktiviti dilakukan.

Kira-kira 75 hingga 80 peratus golongan dewasa di negara ini mengalami masalah berkaitan kaki, tetapi kebanyakannya enggan mendapatkan khidmat nasihat pakar untuk mengatasi masalah terbabit sehinggalah ia berlarutan.

Menurut Pakar Ortotik Datuk Dr Edmund Lee, di Malaysia 80 peratus individu mempunyai masalah kaki tertentu.

“Satu daripada lima individu mengalami sakit kaki, kebas atau kaki berdenyut manakala mereka yang lebih berusia cenderung untuk mengalami masalah kaki pada kadar yang lebih tinggi. Namun kajian mendapati terdapat peningkatan masalah kaki yang turut dialami kanak-kanak dan remaja.

“Mereka yang lebih berusia lebih cenderung mengalami sakit kaki dan sekiranya mempunyai penyakit kronik, sakit itu biasanya akibat kematu, kaki mengeras dan kecacatan jari yang 75 peratus ialah benjolan sendi (bengkak menyakitkan pada sendi pertama ibu jari kaki),” katanya.

Menurut Dr Lee, sakit kaki dalam kalangan muda kebiasaannya datang daripada sakit otot dan tekanan pada tulang.

“Kira-kira 30 peratus daripada warga emas yang sakit kaki mengalami kaki yang mengeras dan kira-kira 15 peratus mempunyai masalah kematu pada jari kaki mereka.

“Kebanyakan masalah ini berpunca daripada pemakaian kasut yang tidak sesuai seperti kasut bertumit tinggi dengan muncung hadapan yang tajam,” katanya.

Dr Lee berkata, individu yang lebih berusia atau gemuk, wanita, pesakit diabetes dan jantung, mereka yang sering sakit lutut, pinggul atau belakang lebih ramai mengalami masalah kaki.

“Wanita lebih kerap alami masalah sakit pada jari kaki dan bahagian bawah jari kaki berbanding lelaki. Keadaan ini biasanya semakin teruk apabila usia meningkat.

“Bagaimanapun, keadaan berbeza dengan sakit pada tumit yang semakin berkurangan apabila usia semakin meningkat,” ujarnya.

Kata Dr Lee, bermula pada usia bayi, kanak-kanak sekolah, eksekutif, ahli sukan, wanita hamil sehinggalah mereka yang sakit terutama pesakit diabetes dan warga emas, berisiko mengalami masalah kaki berbeza.

Antara kaedah boleh dilakukan untuk menjaga kesihatan kaki:

• Pilih kasut yang sesuai dengan ukuran kaki.

• Lakukan pemeriksaan dan rawatan kaki berjadual.

• Jangan kerap berjalan tanpa memakai kasut.

• Jangan sesekali mengabaikan rasa sakit pada kaki atau pergelangan kaki.

• Angkat kaki seketika terutama selepas lama berjalan atau berlari.

• Periksa keadaan kaki dengan teliti.

• Jaga kebersihan kaki dan kuku kaki.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2017 @ 1:23 PM