VASKULAR aterosklerosis amat berkait rapat dengan kolesterol.
UBAH gaya hidup untuk mencegah penyakit vaskular aterosklerosis
AWASI paras kolesterol.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


Vaskular aterosklerosis adalah istilah perubatan bagi penyakit yang menyebabkan arteri (salur darah) tersumbat. Jika salur darah itu di jantung, ia akan menyebabkan serangan jantung dan jika di otak, ia boleh mengakibatkan strok.

Melalui bukti saintifik menyatakan masalah vaskular aterosklerosis berkait rapat dengan kolesterol. Kolesterol adalah bahan berlilin seakan-akan lemak yang menjadi komponen penting dalam penghasilan dinding sel dan hormon.

Kebanyakan kolesterol dihasilkan sendiri oleh badan dengan sumbangan kecil daripada makanan yang diambil. Oleh itu, kolesterol adalah bahagian penting badan setiap manusia.

Menurut Perunding Kardiologi Dr Kannan Pasamanickam, kolesterol berkait dengan penyakit jantung apabila kandungan kolesterol yang terlalu tinggi menjadi toksik dan menyumbang kepada penyakit vaskular.

Menurutnya, terdapat beberapa bukti yang menyokong kenyataan ini antaranya:

• Epidemiologi : Kajian mengenai kekerapan berlakunya penyakit dan sebab penyakit berlaku pada manusia. Antara kajian epidemiologi yang terkenal adalah kajian MRFIT dan FRAMINGHAM. Kajian ini secara konsisten menunjukkan semakin tinggi aras kolesterol di dalam darah, semakin tinggilah risiko menghidap penyakit vaskular.

Epidemiologi juga menunjukkan vaskular aterosklerosis adalah penyakit berbilang faktor. Ini bermakna beberapa keadaan (faktor risiko) menyumbang kepada perkembangannya. Antara yang khusus ialah tekanan darah tinggi, diabetes (kencing manis), merokok dan sejarah penyakit vaskular dalam keluarga. Semakin banyak faktor risiko ini ada pada seseorang, semakin tinggilah risikonya. Oleh itu, mengurangkan paras kolesterol darah lebih penting bagi pesakit diabetes berbanding dengan seseorang yang tidak menghidap diabetes.

• Patologi : Cabang sains perubatan menentukan punca dan sifat penyakit dengan cara mengkaji tisu badan. Kajian patologi sejak pertengahan 1800-an sehingga kini menunjukkan salur darah aterosklerosis mengandungi banyak kolesterol berbanding dengan salur darah normal.

• Kajian genetik : Kajian keturunan. Seseorang itu boleh dilahirkan dengan keabnormalan genetik yang menyebabkan paras kolesterol yang sangat tinggi sejak usia muda. Mereka akan mendapat serangan jantung atau strok pada usia 20-an dan 30-an. Ini satu lagi bukti aras kolesterol darah yang tinggi menyebabkan penyakit vaskular. Pada 1985, Dr Joseph Goldstein dan Dr Michael Brown memenangi Hadiah Nobel bagi bidang perubatan kerana membuktikan perkara itu.

• Percubaan klinikal terhadap ubat penurun aras kolesterol. Banyak kajian menunjukkan mengurangkan kolesterol dengan menggunakan ubat, terutamanya kumpulan ubat statin, boleh mengurangkan risiko mendapat serangan jantung dan strok. Statin yang baru juga dibuktikan mampu mengurangkan saiz mendapan kolesterol di dalam jantung.

Menurut Dr Kannan, ada dua kes pesakit sebenar yang pernah ditemuinya menunjukkan hiperkolesterolemia boleh membawa maut.

“Antara pesakit saya yang menghidap penyakit vaskular, yang paling muda ialah adik-beradik perempuan yang berusia antara 18 hingga 21 tahun. Mereka dilahirkan di dalam keluarga yang menghidap hiperlipidemia (paras kolesterol tinggi) yang teruk. Mereka menghidap penyakit vaskular aterosklerosis dan salah seorangnya meninggal dunia pada usia awal 20-an akibat penyakit ini,” katanya.

Seorang lagi pesakit yang pernah dirawat adalah individu yang mendapat serangan jantung kira-kira 18 tahun dulu. Pesakit itu hampir kehilangan nyawa kerana jantungnya berhenti beberapa kali. Mujurlah, dia pulih selepas diberi rawatan segera dan sehingga kini masih hidup sihat.

“Semasa pesakit itu berada di hospital, darahnya sangat ‘berminyak’. Ini menandakan aras lipid yang sangat tinggi, terutama komponen trigliserida. Dia memberitahu pemakanannya tidak pernah dijaga, iaitu gemar mengambil teh tarik dua hingga tiga gelas, makan mi goreng dan roti canai setiap hari,” ujarnya.

Disebabkan serangan jantung itu, Dr Kannan mengawal pemakanannya dengan ketat yang memberi perkembangan positif pada paras kolesterolnya.

Ubat statin

Ubat statin memang ada kesan sampingan, tetapi hakikatnya ia boleh meninggikan sedikit aras enzim hati seperti yang ditunjukkan pada hasil ujian darah. Namun kenaikan ini tidak berkait dengan perubahan fungsi hati dan kegagalan hati jarang berlaku. Pengawasan yang baik oleh doktor boleh mencegah kesan yang tidak diingini.

“Ada risiko kecil berlakunya diabetes apabila statin digunakan, terutamanya bagi mereka yang berisiko tinggi mendapat diabetes, iaitu individu gemuk dan ada sejarah diabetes yang meluas di dalam keluarga.

“Namun begitu, kajian menunjukkan manfaat yang diperoleh daripada terapi statin melambatkan perkembangan penyakit vaskular aterosklerosis jauh mengatasi risiko kecil mendapat diabetes,” katanya.

Katanya, statin dibimbangi boleh menyebabkan hilang ingatan tetapi berdasarkan kajian klinikal, tiada bukti ataupun terdapat sedikit sahaja bukti yang menyokong hakikat itu.

“Kesan sampingan yang paling lazim ialah sakit otot tetapi kerosakan otot jarang berlaku. Doktor boleh mengubah dos statin yang anda ambil untuk mengurangkan kesan sampingan ini jika anda berdepan dengan kesan tertentu,” ujarnya.

Langkah pencegahan

Dr Kannan berkata, mengubah gaya hidup untuk mencegah berlakunya faktor risiko adalah langkah terbaik dan tepat. Caranya ialah mengurangkan berat badan, bersenam dengan tetap, merancang pemakanan yang menyihatkan, tidak merokok dan jalani pemeriksaan perubatan berkala terutamanya bagi golongan yang melebihi usia 50 tahun.

“Terapi statin diperlukan untuk mengawal penyakit ini, khususnya bagi mereka yang mempunyai faktor risiko iaitu diabetes, hipertensi (tekanan darah tinggi), hiperlipidemia yang teruk dan sejarah penyakit yang meluas di dalam keluarga.

“Terapi statin bermanfaat bagi mereka yang disahkan berpenyakit, misalnya pesakit yang pernah mengalami serangan jantung dan yang pernah menjalani pembedahan pintasan jantung atau angioplasti. Pesakit begini tidak boleh berhenti mengambil ubat tanpa berbincang dengan pakar terlebih dulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2017 @ 1:20 PM