DR Lim menunjukkan struktur tulang tangan dan kaki.
PESAKIT sukar terima hakikat ada penyakit kronik pada usia muda.
Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Sistem imun tubuh atau disebut imuniti (kekebalan) adalah sistem yang berfungsi untuk melindungi tubuh daripada ancaman yang membahayakan badan seperti jangkitan bakteria, virus dan fungus.

Namun, apabila sistem imun tubuh gagal membezakan sel atau tisu badan dan menganggapnya sebagai benda asing, ia boleh menyerang pelbagai organ serta tisu.

Apabila sistem imun tubuh seseorang menyerang sel atau tisunya sendiri, inilah yang dipanggil sebagai penyakit autoimun.

Ketika usia sekitar 10 hingga 19 tahun, satu demi satu perubahan dapat dilihat dalam kalangan remaja seperti perubahan kitaran haid, fizikal, psikologi, emosi dan sosial.

Disebabkan itu, ibu bapa adalah individu yang perlu memainkan peranan penting dan mengambil berat mengenai setiap perubahan atau masalah yang berlaku sepanjang proses tumbesaran anak agar dapat mengesan sebarang perkara yang tidak normal dengan lebih awal.

Menurut Perunding Pakar Reumatologi Kanak-Kanak IMU Healthcare, Dr Lim Sern Chin, setiap perubahan yang berlaku dalam kalangan remaja berbeza antara satu sama lain.

“Kebiasaannya, perubahan dalam kalangan remaja berusia antara 10 hingga 19 tahun dapat dilihat menerusi tempoh datang haid, fizikal, psikologi, emosi dan sosial.

“Ketika tempoh perubahan ini, ada sesetengah remaja yang dikesan mengalami beberapa penyakit kronik disebabkan masalah autoimun. Dianggarkan 85 peratus daripada kanak-kanak dengan penyakit kongenital atau kronik ini mampu meneruskan kehidupan hingga ke usia remaja.

“Namun kebanyakan daripada pesakit sukar menerima kenyataan mereka menghidap penyakit kronik kerana berasakan masih terlalu muda untuk sakit,” katanya.

Jelasnya, kira-kira 20 hingga 30 peratus penyakit kronik ini terjadi dalam kalangan remaja dan lebih mengejutkan apabila ia lebih banyak dialami remaja perempuan.

“Antara penyakit berkaitan masalah autoimun yang biasa dialami dalam kalangan remaja adalah artritis idiopatik juvana (JIA) dan serangan lupus atau sistemik lupus eritematosus (SLE),” katanya.

Ujarnya, penyakit kronik itu boleh mengganggu perkembangan biologi, psikologi dan sosial pesakit. Antara kesannya pada perkembangan pesakit adalah:

1. Biologi

- Kelewatan atau tempoh baligh terjejas.

- Tubuh yang pendek.

- Jisim tulang berkurangan.

2. Psikologi

- Masalah tingkah laku.

- Egosentrik.

- Rendah harga diri.

- Perkembangan kognitif terjejas.

3. Sosial

- Prestasi di sekolah yang lemah atau tidak mahu menyertai apa-apa aktiviti.

- Kurang keupayaan hidup berdikari.

- Tiada kemahiran berkawan atau menjalin hubungan.

SERANGAN JIA

Siapa sangka, penyakit berkaitan sendi dengan gejala seperti artritis atau radang sendi boleh menyerang kanak-kanak, sekali gus mampu menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan normal mereka ketika dalam tempoh membesar.

Justeru, jika terdapat sebarang tanda bengkak pada mana-mana sendi sama ada di rahang, tengkuk, bahu, siku, pergelangan tangan dan kaki, jari, paha, lutut atau tulang belakang, segeralah berjumpa doktor untuk melakukan pemeriksaan.

“Artritis biasa yang menyerang kanak-kanak dikenali sebagai artritis idiopatik juvana (JIA). Ia boleh menyerang kanak-kanak tanpa sebab tertentu dan sehingga kini tidak diketahui punca sebenar, namun ia dipercayai ada kaitan dengan genetik.

“Tempoh kanak-kanak membesar sangat penting, namun ia boleh terjejas disebabkan penyakit kronik ini. Malah, ada juga yang terkejut apabila anak mereka dikesan mengalami masalah ini kerana ibu bapa tidak pernah mengalami radang seperti ini,” katanya.

Ujarnya, JIA boleh menyebabkan sakit sendi atau kejang, mengganggu pertumbuhan, kecacatan sendi, radang mata dan boleh mengancam nyawa.

Malah, ada sesetengah daripada pesakit memerlukan alat bantuan khas seperti splin atau kerusi roda untuk bergerak. Selain itu, penyakit kronik ini juga mampu mengganggu persekolahan atau kehidupan sosial pesakit kerana perlu menghadiri pemeriksaan di klinik atau dimasukkan ke wad dan tidak mampu mengikuti aktiviti yang dianjurkan.

Sebanyak 70 peratus daripada pesakit dapat mengawal penyakit berkenaan dalam tempoh dua tahun manakala 30 hingga 50 peratus pula boleh sembuh selepas lima tahun jika mendapatkan rawatan yang betul.

“Pesakit yang mencapai umur 30 tahun selepas dikesan mengalami JIA masih memerlukan ubat-ubatan (40 peratus) dan hidup dengan gejala yang masih aktif (28 peratus).

“Penyakit ini boleh berlanjutan melebihi 10 tahun dan ia boleh mendatangkan kerosakan yang lebih teruk pada sendi pesakit. Kebiasaannya, apabila wujud beberapa tanda biasa seperti sakit sendi, bengkak dan kejang selepas diperiksa, doktor akan menjalankan pemeriksaan lanjut termasuk menerusi sinaran-X, imbasan pengimejan resonans bermagnet (MRI) serta ujian makmal bagi mendiagnosis serta mengesahkan jika kanak-kanak itu mengalami JIA,” katanya.

GANGGUAN SLE

Selain JIA, SLE juga adalah penyakit kronik autoimun yang boleh menjejaskan beberapa organ dalam badan seperti kulit, sendi, buah pinggang, otak, hati, jantung dan sel darah merah.

Namun kesan yang dialami pesakit berbeza-beza dan serangan boleh membabitkan lebih daripada satu organ pada satu masa. SLE adalah penyakit kronik yang berlaku akibat kecelaruan sistem pertahanan badan, tetapi punca sebenar masih tidak diketahui.

“Penyakit ini biasanya membabitkan buah pinggang, otak, hati dan jantung. Ia boleh menyebabkan pesakit berasa lesu yang keterlaluan, keguguran rambut, ruam kulit atau ulser, kecacatan sendi, mengubah ‘mood’ dan mengganggu aktiviti di sekolah.

“Kebiasaannya ia menyerang wanita dalam tempoh ‘subur’ iaitu antara umur 20 hingga 40 tahun. Namun, 15 hingga 20 peratus kes berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja,” katanya.

Punca sebenar SLE tidak diketahui, namun bukan bermakna ia boleh dipandang ringan kerana ia adalah penyakit sepanjang hayat. SLE mungkin berpunca daripada gabungan kecenderungan genetik, pengaruh hormon dan pelbagai faktor alam sekitar yang mendorong penyakit ini terjadi.

Beberapa pencetus diketahui menyebabkan SLE termasuk pendedahan berlebihan terhadap matahari, sesetengah jangkitan virus, ubat tertentu dan ketidakseimbangan hormon ketika mencapai usia baligh.

Gejala biasa dialami pesakit adalah selesema, kerap letih, sakit kepala, sakit otot dan sendi, hilang selera makan dan berat badan menurun. Setakat ini, masih belum ada penawar untuk SLE dan rawatan yang dilakukan bertujuan untuk mengawal keradangan dan mencegah komplikasi penyakit agar tidak menjadi lebih teruk.

“Kebiasaannya, apabila kanak-kanak atau remaja mengalami penyakit ini, mereka pastinya mengharapkan ibu bapa dan orang sekeliling dapat memahami kesukaran yang dialami.

“Ada kalanya, mereka mahukan layanan yang sama seperti rakan sebaya lain dan mengharapkan peluang untuk meneruskan kehidupan dengan baik.

“Justeru, ibu bapa seharusnya sentiasa memberi galakan, kepercayaan dan rasa hormat kepada anak-anak di samping mengenal pasti kelebihan atau bakat yang dimi­liki mereka untuk dikembangkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2017 @ 3:01 PM