BERI kefahaman kepada anak-anak mengenai kewajipan berpuasa.

Sabtu ini umat Islam dijangka memulakan ibadat puasa Ramadan. Pastinya berpuasa pada zaman kanak-kanak mengukir memori indah yang sukar dilupakan terutama kepada yang baru belajar berpuasa.

Ada yang berpuasa ‘yang-yok’, cuba minum atau makan secara curi-curi, lemah longlai kerana menahan lapar, tidak terkecuali tertidur hingga waktu berbuka.

Semua perkara itu antara detik yang dialami kebanyakan kanak-kanak dalam proses mula mempelajari ibadat berpuasa.

Dalam proses pembelajaran ini, ibu bapa menjadi tulang belakang dalam memupuk semangat berpuasa dan sedikit demi sedikit membentuk si anak menjadi umat bertakwa dalam setiap ibadat diwajibkan.

Apa yang pasti, jangan sesekali memaksa si kecil tersayang terutama anak yang masih terlalu kecil dan belum bersekolah.

Cuba beri kefahaman kepada mereka sedikit demi sedikit dan dari situ, anak-anak akan mula memahami mengenai kewajipan berpuasa bagi setiap umat Islam.

Langkah yang boleh dilakukan bagi melatih anak berpuasa:

- Bersahur dengan sajian yang digemari anak tetapi pastikan ia berkhasiat dan bukan makanan ringan bergoreng seperti kentang goreng atau nuget ayam.

- Pilih sajian lengkap dan membekalkan tenaga seperti nasi, kurma dan buah-buahan.

- Elak daripada mendedahkan makanan yang sudah siap dimasak di depan anak yang berpuasa.

- Sekiranya anak merengek meminta makanan, cuba lengahkan permintaan itu dan minta dia bersabar.

- Janjikan ganjaran yang tidak keterlaluan jika berpuasa.

- Jangan paksa anak berpuasa kerana setiap kanak-kanak mempunyai daya ketahanan diri berbeza.

- Perlu tahu ‘tahap’ kebolehan anak.

- Beri tempoh tertentu supaya anak dapat menyesuaikan diri tidak makan sepanjang berpuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2017 @ 1:15 AM