ANTARA hasil kreativiti Yuslinda dalam menggamit nostalgia suasana kampung.
Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Ramadan semakin menghampiri dan kebanyakan individu yang mengusahakan perniagaan secara langsung atau dalam talian turut mengambil peluang memperkenalkan produk masing-masing untuk sambutan musim perayaan.

Sama seperti kad raya. Biarpun ia semakin dilupakan, namun masih ada insan yang sudi mempamerkan idea kreatif mereka untuk menghidupkan kembali tradisi pemberian kad raya kepada keluarga, insan tersayang atau sahabat- handai.

Usaha berkenaan turut dilakukan Yuslinda Yusof, 40, dalam menyemarakkan lagi suasana riang menyambut musim perayaan selepas sebulan berpuasa.

Pengasas jenama Rose by Linyusof ini menambah, idea mencipta rekaan kad raya eksklusif dengan tema ‘desa tercinta’ tercetus selepas tertarik melihat koleksi setem dikeluarkan Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia).

“Selain itu, ramai generasi pada hari ini yang berasal dari kampung berhijrah ke kota metropolitan untuk mencari rezeki bagi mengubah taraf kehidupan.

“Pada masa sama, idea ini juga bertujuan mengimbau kenangan lalu ketika kad raya dihantar melalui perkhidmatan pos yang sangat popular.

“Memandangkan umat Islam akan menyambut ketibaan Ramadan tidak lama lagi, saya mengambil ‘semangat’ memeriahkan sambutan bulan puasa dan perayaan dengan melancarkan koleksi pertama iaitu edisi terhad kad raya lukisan tangan,” katanya.

Jelasnya, koleksi yang dijual menerusi Facebook dan Instagram itu dihadkan kepada 10 pek saja dan setiap satunya mengandungi enam jenis kad yang berbeza dengan berkonsepkan lakaran hitam putih.

Menariknya, koleksi kad raya rekaannya turut boleh diwarnakan mengikut kreativiti masing-masing sama ada dengan menggunakan pensel warna, pen ‘marker’ atau warna air.

Setiap kad mempunyai lakaran yang berbeza dan nilai sentimental yang tersendiri. Yuslinda memilih lakaran suasana persekitaran kampung seperti berlatarbelakangkan sawah padi yang terbentang luas, gunung, pokok tropika dan buah-buahan.

Selain itu, terdapat juga lukisan ayam, kambing, itik, tupai dan kucing jalanan yang berada di merata tempat mencari makanan. Bagi menguatkan lagi konsep yang dipilih, dia turut memasukkan elemen kenderaan lama seperti Vespa dan kereta Volkswagen dalam menggamit nostalgia.

“Secara tidak langsung, semua unsur yang ada pada setiap lukisan dapat mengembalikan kenangan. Memandangkan ramai antara kita yang berasal dari kampung berhijrah ke bandar dan ada pula yang menetap terus, saya berharap koleksi ini dapat mengubati perasaan rindu pada kampung halaman.

“Bagi mereka yang membesar di bandar seperti saya, ini satu cara untuk merasai suasana kampung dengan lebih dekat walaupun hanya melihat lakaran pada kad saja,” katanya.

Jelasnya, dia menjual 10 set kad raya lukisan tangan yang baru dilancarkan itu dalam masa dua hari. Pastinya, sambutan menggalakkan itu tidak disangka-sangka memandangkan penggunaan kad raya tradisional jarang dipraktikkan pada masa kini.

Namun, dia percaya tradisi pemberian kad raya ini masih dihidupkan oleh sesetengah peminatnya yang menjadikannya sebagai pilihan pertama sebagai pengganti diri dalam menyampaikan rasa kemaafan, keikhlasan dan tanda ingatan kepada si penerima.

“Bagi saya, tradisi kad raya harus dihidupkan semula untuk memberi peluang generasi muda sekarang merasai keseronokan menghantar dan menerima kad raya seperti zaman dulu.

“Teringat kembali suasana ketika era 80-an dan 90-an, saya berasa sangat seronok dan menanti kehadiran posmen yang menghantar kad raya.

“Perasaan menerima kad raya fizikal dan maya sangat berbeza, malah ada kalanya ia tiba dengan membawa nostalgia. Walaupun kita sekarang hidup dalam zaman serba maju, namun ada sesetengah perkara yang dianggap klasik perlu dikekalkan dan ini termasuklah kad raya,” katanya.

Selain dijadikan kad raya, ia juga boleh digunakan untuk hiasan dinding. Pastinya, kad raya dengan kata-kata istimewa yang terkandung di dalamnya berserta tanda tangan pengirim memberi senyuman kepada penerimanya.

Namun, jangan dilupa adab dan tertib ketika menulis agar kiriman itu menjadi kenangan manis kepada penerimanya untuk disimpan sebagai memori terindah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2017 @ 2:06 PM