RM827,000 harga kaca mata John Lennon
AFP

LONDON: Sepasang kaca mata hitam yang pernah dipakai John Lennon dari The Beatles berjaya dilelong Jumaat lalu hampir AS$200,000 (RM827,000) dalam satu lelongan dalam talian di London.

Diangkat sebagai salah satu kaca mata paling terkenal dalam zaman ‘rock-and-roll’, cermin bulat dengan warna hijau dan berbingkai emas itu adalah milik Alan Herring iaitu pemandu kepada pemain dram Ringo Starr dan George Harrison.

Menurut Herring, sebelah bingkai kaca mata bulat itu patah dan satu dari cerminnya tercabut namun dia tidak pernah membetulkannya.

Pun begitu, kaca mata bulat itu berjaya dilelong dengan harga £137,500 paun (RM762,081) dalam lelongan dalam talian kepada pembeli yang tidak diketahui namanya.

Lelongan itu turut menampilkan beberapa koleksi Fab Four lain, termasuk kalung ‘hippy’ berlocengkan lembu yang dipakai Harrison dijual pada harga £10,000 paun (55,500RM).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 2:26 PM