SEKITAR 5,000 orang menyertai demonstrasi baru di Guwahati.
AFP

GUWAHATI: Angka maut akibat bantahan ganas di timur laut India menentang undang-undang kerakyatan kontroversi meningkat kepada enam orang, kata pihak berkuasa hari ini.

Ketegangan kekal tinggi di pusat utama bantahan di bandar ini, terletak dalam negeri Assam dengan tentera mengawal jalanan di tengah kawalan keselamatan ketat.

Kira-kira 5,000 orang mengambil bahagian dalam bantahan baharu di sini hari ini dengan ratusan polis memerhati ketika penunjuk perasaan menyanyi dan membawa kain rentang dengan kata-kata ‘panjang umur Assam.’

Pihak berkuasa berkata, pengeluaran gas dan minyak di negeri itu terjejas akibat perintah berkurung walaupun sekatan dilonggarkan pada waktu siang dengan sesetengah kedai dibuka.

Perundangan itu, diluluskan Parlimen India Rabu lalu membolehkan kerakyatan diberi kepada jutaan pendatang haram kecuali beragama Islam yang memasuki India dari tiga negara jiran pada atau sebelum 31 Disember 2014.

Di Assam, empat orang maut ditembak polis, sementara seorang terbunuh apabila kedainya dibakar ketika tidur dan mangsa keenam maut selepas dipukul ketika bantahan, kata pihak berkuasa.

Di negeri Bengal Barat di mana bantahan masuk hari ketiga, Ketua Menteri Mamata Banerjee, yang lantang mengkritik undang-undang itu, menggantung perkhidmatan internet di beberapa daerah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 11:37 PM