PESAWAT QF575 ke Perth berpatah kembali ke Sydney sejurus berlepas berikutan isu hidraulik. FOTO REUTERS
Reuters

SYDNEY: Qantas Airways Ltd terpaksa menurunkan penumpangnya melalui slaid kecemasan selepas pesawat itu berpatah balik ke lapangan terbang Sydney, hari ini.

Dalam satu kenyataan, Qantas berkata pesawat QF575 ke Perth berpatah kembali ke Sydney sejurus berlepas berikutan isu hidraulik.

“Setiba di pintu masuk, kapten membuat keputusan mengosongkan pesawat itu sebagai langkah keselamatan dan menyediakan tiga slaid kecemasan untuk penumpang,” kata kenyataan itu.

Menurut Qantas, jurutera ketika ini membuat pemeriksaan ke atas pesawat Airbus A330-200 yang boleh membawa sehingga 271 penumpang.

Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) melaporkan, pesawat itu tersangkut di landasan selepas mendarat dan asap mula memenuhi kabin.

“Kami berada di dalam pesawat sambil menunggu untuk ditunda dan mula terbau sesuatu seperti terbakar,” kata penumpang Dillon Parker kepada ABC.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 12:30 PM