ORANG ramai berkumpul di atas bangunan hospital bagi menyelamatkan diri. FOTO Reuters
Reuters

LAHORE: Lebih 100 peguam menyerang sebuah hospital di sini, bagi membalas perbuatan doktor yang didakwa menyerang rakan mereka menyebabkan seorang pesakit tua meninggal dunia ketika kekecohan itu, hari ini.

Menurut jurucakap pentadbir Lahore, Kamran Ali, peguam terbabit marah kerana mendakwa doktor memukul seorang peguam yang enggan beratur ketika mendapatkan rawatan ditambah dengan tindakan doktor hospital berkenaan memuat naik rakaman kejadian itu di media sosial.

Ketua Polis Lahore, Zulfikar Hameed berkata, kumpulan peguam yang merusuh itu memecahkan tingkap, pintu dan merosakkan peralatan di Institut Kardiologi Punjab (PIC) serta membakar beberapa kenderaan.

Malah, ada yang melepaskan tembakan dan melempar batu serta bata kepada polis yang tiba.

Menurut seorang doktor, Ashraf Nizami, dia melihat beberapa peguam ditahan dan seorang pesakit wanita berusia 70 tahun meninggal dunia.

“Serangan itu menyebabkan ada pesakit yang tidak mendapat perhatian selama beberapa jam, termasuk di wad kecemasan dan unit rawatan rapi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 9:33 PM