REVEREND Chris
Agensi

LONDON: Seorang paderi digelar Hot Priest (paderi menawan) mempunyai 117,000 peminat di Instagram, dengan ada antara mereka menghantar pelbagai pesanan serta gambar peribadi termasuk yang berunsur lucah.

Reverend Chris Lee, 36, dari London menjadi popular selepas ruangan 60-second sermons (khutbah 60 saat) yang dikongsikan di media sosial.

Gelaran Hot Priest berdasarkan watak seorang paderi dalam drama bersiri popular di United Kingdom bertajuk Fleabag.

Ramai peminat Lee menyukainya kerana perkongsian ilmunya, namun tidak kurang juga yang hanya berminat dengan paras rupanya walaupun dia rajin mengongsikan gambar bersama isteri dan dua anak perempuannya.

Antara komen lucu peminatnya termasuk seorang wanita yang berkata, sanggup pergi ke gereja semata-mata mahu menemuinya, lapor news.com.au.

Seorang lagi pula berkata: “Mana mungkin (bintang Hollywood) Chris Hemsworth, Chris Evans dan Chris Pratt menandinginya?”

Lee turut mengakui kepada The Telegraph baru-baru ini dia kerap menerima pesanan menggoda malah gambar bogel daripada peminat wanitanya.

“Apabila saya menerima gambar bogel, isteri akan terus menyuruh saya menyekat pengirimnya,” katanya.

Bagaimanapun, Lee langsung tidak ‘perasan’ dianggap kacak sebaliknya rasa malu dengan perhatian diberikan kepadanya.

“Bayangkan, ketika majlis pengebumian ada orang meminta mengambil swafoto bersama saya. Agak memalukan pada saya.

“Saya percaya isi kandungan khutbah yang saya kongsikan di media sosial lebih penting dan sepatutnya diberi perhatian.

“Ramai lagi orang lebih kacak daripada saya. Tidak dinafikan seronok juga dianggap ‘paderi menawan’ tetapi bukanlah hebat mana pun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 10:42 PM