ANAK babi yang dikacukkan dengan DNA monyet. FOTO State Key Laboratory of Stem Cell and Reproductive Biology
Agensi

BEIJING: Dua anak babi yang dikacukkan dengan DNA monyet yang dicipta saintis bagi kajian pemindahan organ ke tubuh manusia dilahirkan di makmal China.

Haiwan berkenaan hibrid monyet-babi pertama di dunia dan dilahirkan dengan sempurna selepas saintis berusaha mempersenyawakan lebih 4,000 embrio. Bagaimanapun, kedua-duanya mati tidak sampai seminggu selepas dilahirkan.

Saintis belum mengenal pasti punca kematian dua anak babi berkenaan yang mengandungi bahan genetik monyet Cynomolgus dalam jantung, hati, limpa, paru-paru dan kulit.

Menurut laporan Daily Mail, saintis berkata, penyelidikan itu bertujuan mencari kaedah menumbuhkan organ dalam haiwan untuk pemindahan ke tubuh manusia.

Haiwan kacukan atau kimera itu dicipta dengan menyuntik sel stem monyet ke dalam embrio babi berusia lima hari sebelum disenyawakan dalam khinzir betina.

Saintis berkata, lapan anak babi biasa yang disuntik DNA monyet turut mati dan saintis berpendapat berlaku masalah ketika proses persenyawaan in-vitro (IVF).

Bagaimanapun, penyelidikan itu menerima kritikan daripada segelintir saintis yang memberi amaran menghasilkan haiwan kimera bertentangan dengan etika.

Pada Julai lalu, saintis di China mencadangkan untuk mencipta monyet yang mempunyai otak manusia bagi mengembangkan penyelidikan terhadap beberapa jenis penyakit seperti Alzheimer.

Satu embrio hibrid babi-manusia dicipta pada Januari 2017 di Institusi Salk, San Diego, namun mati 28 hari kemudian.

Penyelidikan itu bertujuan mencari alternatif kepada derma organ manusia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 6:40 AM