WANITA Palestin berjalan bersebelahan sekatan yang mengasingkan Tebing Barat dari Baitulmaqdis, semalam. FOTO AFP
BERNAMA

PRESIDEN Palestin Mahmoud Abbas pada Jumaat berkata satu perjanjian berkaitan pilihan raya dengan pihak yang berpangkalan di Gaza semakin hampir namun isu yang terpaksa diselesaikan ialah bagaimana mengadakannya di Baitulmaqdis Timur, lapor agensi berita China Xinhua.

“Kini selepas mengatasi isu dengan Gaza, masih terdapat satu lagi isu penting mengenai Baitulmaqdis Timur,” kata Abbas sambil menegaskan bahawa pilihan raya itu perlu diadakan di Tebing Barat, Baitulmaqdis Timur dan Gaza.

“Jika penduduk Baitulmaqdis Timur tidak boleh mengambil bahagian dalam pilihan raya di bandar mereka, kami akan kembali ke meja rundingan untuk memutuskan apa yang boleh kami lakukan,” kata presiden itu ketika merasmikan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) di pejabatnya di Ramallah.

Anggota Jawatankuasa Eksekutif PLO dan Setiausaha Agung Parti Rakyat Palestin Bassam Salhi berkata, semua pihak sudah bersetuju untuk mengadakan pilihan raya itu.

“Bagaimanapun terdapat beberapa perkara yang masih perlu diselesaikan sebelum itu, dan rangka kerja umum ialah mengadakan pilihan raya parlimen dan presiden,” kata Salhi.

Jawatankuasa Eksekutif PLO adalah badan eksekutif tertinggi dalam pertubuhan itu yang dipengerusikan Abbas selepas kematian bekas Presiden Palestin Yasser Arafat.

Abbas dipilih menjadi Presiden Pihak Berkuasa Palestin pada Januari 2005.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 11:41 AM