SUSPEK ditemubual wartawan. FOTO Agensi
Agensi

MANILA: Seorang lelaki ditahan di wilayah Misamis Oriental, Filipina selepas dipercayai memenggal dan memakan otak seorang wanita dengan nasi.

Channel News Asia (CNA) yang memetik Ketua Polis Talisayan, Maribeth Ramoga, berkata, Lloyd Bagtong, 21, diberkas kerana disyaki membunuh seorang wanita.

Katanya, mayat tanpa kepala dan tangan diikat dijumpai kira-kira empat kilometer dari rumah suspek di Barangay Punta.

The Daily Tribune melaporkan Bagtong melihat seorang wanita berhampiran tanah perkuburan sebelum memukulnya dengan batang besi.

Suspek kemudiannya memenggal kepala mangsa menggunakan pisau.

Ketika disoal siasatan, Bagtong memberitahu, dia memakan otak mangsa dengan nasi yang dimasaknya, sebelum mencampakkan tengkorak dalam lubang yang terletak tidak jauh dari rumahnya.

Ramoga berkata, Bagtong berkemungkinan mengalami penyakit mental berdasarkan maklumat daripada mereka yang mengenalinya.

Polis menjumpai pakaian dengan kesan darah di rumah Bagtong dan dipercayai digunakan untuk membawa kepala mangsa dari lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 12:04 AM