HUKUMAN yang dilaksanakan di Aceh. FOTO hiasan
AFP

IDI, Indonesia: Seorang lelaki pengsan ketika menjalani hukuman sebat 100 kali kerana berzina di Aceh semalam, namun diberi rawatan dan sebatan terhadapnya diteruskan selepas itu.

Lelaki berusia 22 tahun itu merayu kepada tukang sebat yang bertopeng supaya memberhentikan sebatan sebelum pengsan. Dia diberi rawatan segera sebelum hukuman sebat itu diteruskan dan sebaik selesai, dikejarkan ke hospital.

Lelaki itu didapati bersalah berzina dengan wanita yang turut dihukum sebat 100 kali di perkarangan sebuah masjid di daerah Aceh Timur, bersama seorang lagi lelaki yang turut mempunyai hubungan dengan wanita itu.

Julai lalu, tiga penduduk disebat 100 kali kerana melakukan hubungan seks tanpa nikah. Tahun lalun dua lelaki yang melakukan hubungan seks dengan remaja perempuan bawah umur juga disebat 100 kali.

Oktober lalu, pihak berkuasa Aceh mengumumkan pemburu haram yang mengancam keselamatan orang utan, harimau dan hidupan liar lain akan turut disebat 100 kali.

Aceh yang diberi pemerintahan autonomi melaksanakan undang-undang syariah dan mengenakan hukuman sebat bagi beberapa kesalahan, termasuk zina, hubungan sejenis, berjudi dan minum arak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 8:29 PM