AMBER-Rose Rush
Agensi

WELLINGTON: Seorang doktor menceroboh bilik tidur remaja perempuan berusia 16 tahun sebelum menikamnya hingga mati kerana bimbang mangsa mendedahkan perbuatan mencabulnya.

Venod Skantha, 32, didapati bersalah membunuh Amber-Rose Rush, 16, selepas memecah masuk ke bilik tidur di rumah keluarga mangsa di Dunedin pada malam 2 Februari tahun lalu.

Dia turut didapati bersalah atas empat tuduhan mengancam membunuh di Mahkamah Tinggi Dunedin, lapor New Zealand Herald.

Mahkamah sebelum ini diberitahu, Skantha membunuh Amber-Rose selepas gadis itu memuat naik perbualan antara mereka berdua di Instagram yang dibimbangi memusnahkan kerjayanya sebagai doktor.

Skantha ditahan dua hari selepas kematian Amber-Rose tetapi menafikan mempunyai hubungan rapat dengan mangsa, malah dilaporkan berkata: “Tak mungkin saya melepak dengan budak berusia 16 tahun. Tak masuk akal.”

VENOD Skantha

News.com.au melaporkan, Skantha mengenali mangsa melalui seorang rakan remaja lelaki di satu majlis diadakan di kediaman doktor berkenaan pada pertengahan 2017.

Amber-Rose pernah mengadu kepada seorang kawan yang dia dicabul Skantha pada penghujung 2017, malah doktor itu menawarkannya wang untuk menidurinya.

Mangsa yang tidak tahan diganggu Skantha kemudian mengongsikan perbualan dengannya di media sosial menyebabkan tertuduh semakin tertekan dan mengancamnya sehingga akhirnya pergi ke rumah Amber-Rose untuk membunuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 10:22 PM