NAYAK memiliki 19 jari kaki dan 12 jari. FOTO Mail Online
Agensi

NEW DELHI: Dia diejek dan dihina hingga digelar sebagai perempuan sihir oleh jirannya kerana dilahirkan cacat apabila mempunyai 19 jari kaki dan 12 jari.

Kumar Nayak, 63, sedar keadaan dirinya tidak seperti manusia normal lain apabila disahkan mengalami kecacatan dikenali sebagai polydactyly yang hanya berlaku pada setiap 700 hingga 1,000 kelahiran di seluruh dunia, lapor Daily Mail.

Namun, sikap penduduk di kampungnya Ganjam, Odishi yang melemparkan pelbagai cacian menyebabkan dia lebih rela berkurung di rumah.

“Saya dilahirkan dengan keadaan seperti ini dan tidak mampu untuk mendapatkan rawatan kerana keluarga terlalu miskin.

“Sudah 63 tahun saya hidup seperti ini dan penduduk yakin saya adalah perempuan sihir lalu menjauhkan diri. Ada juga yang datang melawat tetapi saya lebih rela berkurung di rumah kerana layanan buruk daripada orang ramai,” katanya.

Pembedahan boleh dilakukan untuk memulihkan keadaan itu namun ia bergantung kepada setiap individu selain disyorkan untuk mereka yang berusia setahun hingga enam tahun.

Bulan lalu, seorang lelaki di China yang lahir dengan sembilan jari kaki kiri menjalani pembedahan untuk membuang empat daripada jari terbabit.


POLYDACTYLY berlaku pada setiap 700 hingga 1,000 kelahiran di seluruh dunia. FOTO Mail Online

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 10:32 PM