TERESHIN memiliki lengan yang besar selepas menyuntik gel petroleum sebanyak tiga liter. FOTO Agensi
Agensi

MOSCOW: Seorang lelaki yang dikenali sebagai Popeye kerana memiliki lengan yang besar selepas disuntik dengan gel petroleum terpaksa menjalani pembedahan membuang bahan itu yang merosakkan tisunya.

Doktor memberi amaran tindakan Kirill Tereshin, 23, itu boleh membawa maut dan dia boleh kehilangan dua lengannya sekiranya ketulan itu tidak dikeluarkan secepat mungkin.

Tereshin yang popular di media sosial disebabkan otot palsu itu sudah menjalani pembedahan selama dua jam untuk membuang sebahagian otot mati seberat 1.36 kilogram dari lengannya.

Dia bersetuju untuk mendapatkan rawatan kecemasan selepas didesak Alana Mamarva, aktivis yang membantu mangsa pembedahan plastik.

Memetik laporan Daily Mail, ketulan terbabit menyebabkan Tereshin sering menghidap demam panas tinggi, kesakitan teruk dan badannya menjadi lemah.

Pakar bedah Universiti Perubatan Pertama Negeri Moscow, Dmitry Melnikov berkata, pemuda itu masih perlu menjalani tiga lagi pembedahan.

“Saya sudah menjelaskan gel petroleum yang disuntik ke dalam lengannya menyebabkan ototnya mati.

“Setakat ini, pembedahan yang dilakukan cuma 25 peratus,” katanya.

“Tereshin menyuntik tiga liter bahan itu dalam setiap lengannya, menyebabkan tisu otot menjadi tepu sehingga menyekat aliran darah.

“Dia bernasib baik kerana kerosakan itu belum merebak ke bahagian badan lain,” katanya.


DOKTOR mengeluarkan ketulan sel yang sudah mengeras dari lengan Tereshin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 11:52 AM