GOTABAYA Rajapaksa
AFP

COLOMBO: Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa menamakan abangnya Mahinda sebagai Perdana Menteri negara itu, mengukuhkan lagi cengkaman kuasa keluarga itu.

Mahinda pernah menjadi presiden selama dua penggal, mengangkat sumpah hari ini selepas peletakan jawatan Ranil Wickremesinghe selepas partinya mengalami kekalahan memalukan pada pilihan raya presiden baru-baru ini.

Adik-beradik Rajapaksa dipuji kerana menghapuskan militan Harimau Tamil bagi menamatkan perang saudara Sri Lanka selama beberapa dekad.

Jurucakap pentadbiran baharu berkata, Mahinda, 74, akan mengangkat sumpah di hadapan adiknya, Gotabaya, 70. Dua saudara lelaki mereka, Basil dan Chamal juga aktif dalam politik.

“Perdana Menteri Mahinda akan melantik anggota kabinetnya sejurus selepas mengangkat sumpah,” kata jurucakap Vijayananda Herath.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 11:19 AM