GILAD Erdan
AFP

BAITULMAQDIS: Pihak berkuasa Israel menutup beberapa pertubuhan Palestin di Baitulmaqdis semalam termasuk saluran televisyen, kata menteri dan pegawai pertubuhan.

Pejabat Palestine TV, rangkaian yang dibiaya Pihak Berkuasa Palestin (PA) dan pejabat Kementerian Pendidikan Palestin diarah tutup selama enam bulan, kata anggota staf yang tidak mahu namanya disiarkan.

Pengarah syarikat pengeluaran al-Araz yang menjadi hos Palestine TV ditahan sementara, manakala wartawan saluran televisyen itu dipanggil untuk disoal siasat, kata sumber Palestin.

Menteri Keselamatan Umum Israel, Gilad Erdan, mengesahkan penutupan pejabat yang digunakan Palestine TV dan kementerian pendidikan.

Erdan menuduh Palestine TV menerbitkan kandungan anti Israel yang digambarkan sebagai bertanggungjawab bagi jenayah perang dan pembersihan etnik.

Penduduk Palestin mengutuk penutupan itu.

Pertubuhan Palestin, MADA, yang mempertahankan kebebasan bersuara berkata penutupan itu sebahagian usaha Israel untuk mendiamkan media dan menghalang berita penduduk Palestin tersebar, menerusi penindasan terhadap media dan wartawan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 10:38 AM