MANGSA maut akibat pendarahan di kepala serta kedua-dua lengan dan kaki. FOTO hiasan
AFP

LILLE: Seorang wanita hamil maut diserang anjing perburuan ketika membawa anjing peliharaannya berjalan di kawasan hutan di Perancis.

Mayat mangsa berusia 29 tahun itu ditemui pada Sabtu lalu di kawasan hutan oleh teman lelakinya di pekan Villers-Cotterets, kira-kira 90 kilometer ke timur laut Paris, kata pejabat pendakwa di Soissons.

Laporan bedah siasat mendapati mangsa maut disebabkan ‘pendarahan akibat gigitan anjing pada kepala serta kedua-dua lengan dan kaki,’ kata pendakwa Frederic Trinh.

Menurutnya, beberapa gigitan berlaku selepas kematian mangsa.

Trinh berkata, ujian dijalankan terhadap 93 anjing termasuk beberapa haiwan perburuan dan lima anjing peliharaan mangsa untuk mengenal pasti binatang yang menyerangnya. Polis turut melancarkan siasatan bagi kesalahan menyebabkan kematian menerusi serangan anjing.

Akhbar tempatan, Le Courrier Picard melaporkan anjing perburuan berkenaan digunakan untuk memburu rusa.

Wanita itu dilaporkan sempat menghubungi teman lelakinya untuk mengadu kehadiran ‘anjing yang mengancamnya,’ kata pejabat pendakwa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 11:46 PM